KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO diminta melupakan kisah-kisah lama parti itu sebaliknya membuka cerita baharu dengan idea yang lebih segar dan mencabar kemampuan parti Melayu terbesar ini.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, jasa baik UMNO akan tetap dikenang tetapi tidak akan menyebabkan rakyat berbondong-bondong untuk mengundi parti ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
”Kepada pemimpin UMNO, sudah sudahlah terus berpaut bahawa UMNO sangat berjasa hinggakan rakyat dipaksa untuk memilih UMNO dalam PRU akan datang,” katanya.
Beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak bernolstalgia dengan kejayaan masa lalu, tak payah hendak mengingatkan rakyat tentang kejayaan yangg telah dicapai selama menerajui kerajaan.
Hakikatnya, rakyat telah tolak UMNO dalam PRU lepas, bermakna rakyat tak mahu dengar lagi cerita indah walaupun ianya benar belaka.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat mahu dengar apa silap UMNO dan bagaimana untuk mengatasinya malah jauh sekali mahu mengulanginya.
Rakyat mahu tahu berhubung ketirisan ekonomi yg berlaku hinggakan membantutkan kemajuan negara.
Tambahnya, rakyat mahu tahu mengapa sasaran pembahagian peratus ekonomi gagal dicapai malah jurang pemilikan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera semakin melebar.
Malah jurang pemilikan kekayaan sesama kaum juga semakin melebar, bermaksud yang kaya semakin kaya manakala yang miskin terus papa kedana.
Begitu juga dengan kecurangan yang berlaku dalam perancangan pembangunan negara hinggakan graduan universiti dalam dan luar negara berakhir dengan menganggur di rumah.
Khir berkata, sekarang rakyat ingin tahu apa yang UMNO akan lakukan untuk mengubah semua ini dengan kata lain rakyat dahagakan idea dan cara tadbir negara yang baharu.
”Boleh dirangkumkan rakyat perlu new deal dari UMNO.Apa Umno boleh lakukan untuk melepaskan negara dari kesulitan yangg semakin melelah lagi menyesakkan rakyat utk terus hidup bahagia.
”Jangan kita warnai buku baru ini dengan cerita buruk masa lalu, cerita perpecahan, politik wang, warlords dan sebagainya.
”Lebih baik jadi Mat Jenin selalu memikir untuk benda baru dari Si Luncai suka tak terkira menang ayam laga tapi telah jadi milik orang,” ujar Khir penuh makna. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan