MALAYSIAKINI
Bekas perdana menteri Najib Razak tidak bersetuju dengan jangkaan bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) tidak memberi impak terhadap ekonomi negara.
Katanya, meskipun PKP 3.0 tidak memberi kesan terhadap ekonomi peniaga-peniaga besar, tetapi ia memberi kesan kepada ekonomi rakyat.
"Maaf, saya tak setuju bahawa PKP 3.0 tak beri impak kepada ekonomi. Ekonomi ini ada dua jenis. Jangan dipukul rata. Ekonomi eksport / pembuatan dan ekonomi rakyat tempatan.
"Ekonomi eksport dan pembuatan terutamanya barang elektronik adalah kukuh pada masa kini sebab ekonomi-ekonomi gergasi seperti Amerika Syarikat dan China sedang catat pertumbuhan ekonomi yang luar biasa tinggi pada masa kini.
"Tapi yang dapat manfaat adalah tauke-tauke dan pemilik asing kilang-kilang besar.
"Manakala ekonomi rakyat tempatan seperti 'Mak Cik Kiah' sudah tentu terjejas dan sedang berpeluh menghadapi dengan PKP 3.0 hanya dua bulan selepas PKP 2.0 berakhir," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 berkuat kuasa dari 12 Mei hingga hingga 7 Jun.
Sebelum itu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu mengumumkan larangan rentas daerah dan negeri, larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan - yang berkuat kuasa 10 Mei hingga 6 Jun.
Namun, semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
Muhyiddin juga berkata, hanya tiga individu dibenarkan berada dalam satu kenderaan termasuk pemandu bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.
Dalam pada itu Najib berkata, jika ingin tahu rakyat terkesan ataupun tidak kerajaan boleh bertanyakan kepada pengusaha bas sekolah, bas ekspress mahupun pemilik gerai tepi jalan.
"Cuba tanya pengusaha bas sekolah dan pengusaha bas ekspress yang tidak dapat beroperasi. Tanya pemilik gerai tepi jalan serta restoran yang penjualannya terjejas akibat 'no dine-in' masa PKP.
"Tanya pada sesiapa yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hiburan yang langsung tidak dibenar beroperasi berbulan-bulan lamanya.Tanya peniaga-peniaga kecil bazar Ramadan, bazar Aidilfitri atau pasar malam," kata Najib.
Oleh itu tambah Najib, bantuan adalah masih amat diperlukan sebab pemulihan ekonomi sekarang dalam bentuk "K" dan tak sama rata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan