AGENDA DAILY
Jawatan presiden UMNO akan menjadi rebutan antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.
Beberapa pemimpin UMNO dilihat mempertikaikan kelayakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri jika parti itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Secara tradisinya, presiden sesebuah parti atau gabungan politik yang menang dengan majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan dilantik menjadi perdana menteri.
Namun, memetik laporan Utusan Malaysia beberapa pimpinan UMNO mempersoal siapa calon yang layak untuk diangkat sebagai perdana menteri daripada parti itu jika menang PRU15.
Laporan itu memetik mereka yang enggan mendedahkan namanya berkata, UMNO harus berfikir adakah Zahid sememangnya layak untuk memegang jawatan tersebut atau ada individu lain.
Jika difikirkan Zahid tidak layak menjadi perdana menteri, maka UMNO harus melakukan perubahan dalam barisan kepemimpinannya dengan segera.
“Kalau Bersatu dah buka pintu untuk pegang jawatan tertinggi sekalipun, siapa calon Perdana Menteri yang layak dari UMNO? Ini persoalan utama yang masih lagi tidak ada jawapan sehingga hari ini,” kata mereka.
Namun, yang menjadi persoalannya ialah mampukan UMNO melakukan perubahan kepemimpinan sekiranya Zahid sekarang ini dilihat seolah-olah mahu menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021.
Jika pemilihan diadakan, pastinya jawatan presiden UMNO akan menjadi rebutan antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.
Sekiranya Zahid mahu mempertahankan jawatannya, sudah pasti agak sulit kerana beliau kini berdepan dengan beberapa pertuduhan kes jenayah di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan