HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Apa jadi jika UMNO tunduk dengan syarat Anwar jadi PM?

AGENDA DAILY

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir.

UMNO akan berpecah dan akan mengecewakan penyokong setia mereka sekiranya parti itu tunduk kepada syarat menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri (PM), seperti mana terma yang diletakkan DAP jika parti itu mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpandangan, adalah sangat tidak wajar untuk UMNO tunduk dengan permintaan itu, sedangkan suara akar umbi menolak perkara tersebut.

“UMNO akan berpecahlah sebab dalam parti itu ada tiga kelompok. Yang pertama itu kelompok Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), kelompok kedua gerakan yang kononnya nak menentang Zahid, kelompok yang ketiga ini pula memang setia dengan UMNO tidak kiralah siapa pun ketua… aku setia, akar umbi yang bekerja daripada bawah.

“Mereka tidak peduli siapa yang memimpin, asalkan mereka tetap dengan UMNO, jika tindakan ini diambil ia akan mengecewakan kelompok ketiga ini,” katanya kepada Agenda Daily.

Katanya, kelompok ketiga merupakan tunjang UMNO yang membolehkan parti itu memerintah negara sehingga ke saat ini, meskipun pernah seketika berhadapan saat getir setelah UMNO jatuh pada PRU14 yang lalu.

“Menteri-menteri UMNO ini berada dalam Kabinet kerana kuatnya tunjang ini, jika tunjang ini tiada ingat mereka boleh berada seperti mana sekarang? Jadi pada saya kenapa perlu ikut kata parti lain.

“Saya tidak nampak kewajarannya di situ, pada saya UMNO masih boleh diperbaiki, dalam banyak-banyak parti, UMNO lebih baik… jadi tidak perlu mendengar saranan atau syarat orang luar,” katanya.

Jelasnya, sekiranya perkara ini menjadi realiti, agenda musuh untuk melihat keretakan UMNO akhirnya berjaya.

“Memang itu agenda mereka, undi orang Melayu nanti akan berpindah kepada mereka, mungkin undi pergi kepada PKR,” katanya.

Sementara itu cubaan Agenda Daily untuk mendapat respons balas perkara ini kepada beberapa pemimpin akar umbi UMNO tidak berjaya setelah mereka enggan mengulas lanjut.

“Kena tanya mereka yang ‘atas’…saya tak boleh komen,” kata sumber yang juga seorang Ketua UMNO Bahagian di Pahang.

Sumber turut memberitahu pemimpin akar umbi seluruh diberikan arahan supaya tidak membuat kenyataan kepada media secara terbuka dan sebaliknya mereka diarahkan supaya menunggu hala tuju parti yang akan diputuskan selepas ini.

“Kami pemimpin akar umbi diberikan arahan supaya mengunci mulut dan tidak membuat kenyataan yang akan memberikan kesan buruk kepada parti.

“Namun, suara-suara dibawah sudah penat menunggu dan seakan tidak halu hala tuju parti… jika mahu bersama dengan PKR atau DAP, penerangan yang munasabah perlu diperjelaskan kepada akar umbi supaya mereka dibawah seperti kami ini tidak berada dalam gelap situasi yang berlaku diatas pucuk pimpinan parti,” kata sumber itu lagi.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata mana-mana parti termasuk UMNO yang hendak bergabung dengan PH sama ada sebelum atau selepas PRU15 mesti menerima Anwar sebagai calon perdana menteri.

Khabar angin semakin kuat kedengaran wujud rancangan untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, PH untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Malah, klip audio tular Anwar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Tiada ulasan: