HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Mei 2021

'Pemuda Umno Seremban putus hubungan dengan MCA bukan keputusan parti'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Keputusan Pemuda Umno Seremban untuk tidak lagi bekerjasama dengan MCA Negeri Sembilan hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili keputusan parti, kata Setiausaha Pemuda BN Fadzmel Fadzil.

Begitu juga dengan kenyataan Pemuda bahagian itu yang mahu mengambil semula kerusi Parlimen Seremban daripada MCA, kata Fadzmel.

"Pemuda BN ingin memaklumkan bahawa keputusan yang diambil bukan ketetapan yang mewakili keputusan parti tetapi hanya lebih berbentuk pandangan peribadi.

"Pemuda UMNO sentiasa diingatkan untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti komponen BN di pelbagai peringkat," katanya yang juga exco Pemuda Umno dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussein dalam kenyataan berkata keputusan itu berkuat kuasa serta-merta, susulan apa yang menurutnya sebagai provokasi berterusan daripada MCA negeri itu.

"Pemuda Umno Seremban memandang serius isu yang dibangkitkan oleh MCA di dalam akhbar Cina dan ini menunjukkan kami pemuda tegas dengan pendirian serta prinsip kami untuk meletakkan calon di Parlimen Seremban," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporan Umno Seremban juga telah mengemukakan usul agar kerusi Parlimen Seremban - yang telah dipegang Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke selama tiga penggal - ditandingi mereka pada PRU15.

Dalam pada itu, Fadzmel berkata keputusan berhubung hubungan antara parti komponen BN hanya akan ditentukan dalam Dewan Tertinggi gabungan itu.

"Semoga BN dapat terus dapat mengukuhkan kerjasama serta bersatu-padu dalam memastikan BN terus kembali gemilang dan bersama memenangi PRU15 nanti," katanya lagi.

Tiada ulasan: