HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mei 2021

Penyelesaian dua negara: Muhyiddin khianat rakyat Palestin, kata AMK

 MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia menyokong penyelesaian konflik Israel - Palestin melalui Penyelesaian Dua Negara (Two-State-Solution) merupakan pengkhianatan kepada rakyat Palestin, kata Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman

"Kerajaan Malaysia tidak seharusnya menyokong langkah ini kerana penyelesaian melalui rundingan dua negara ibarat Malaysia mengiktiraf kewujudan negara Israel.

"Sebaliknya kerajaan perlu memberikan sokongan padu ke arah penubuhan negara Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menceroboh tanah milik Palestin," katanya dalam kenyaatan.

Semalam, Muhyiddin berkata Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

"Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan," katanya dalam perutusan khas mengenai situasi di Palestin semalam.

Mengulas lanjut, Syed badli berkata dunia Islam perlu bangkit bersatu bagi mengiktiraf penubuhan negara Palestin, sekali gus menggesa Israel berundur dari bumi Palestin.

"Justeru itu saya menggesa kerajaan segera memanggil sidang khas parlimen bagi meluluskan usul tergempar terhadap sokongan bagi menubuhkan negara Palestin," katanya.

Untuk rekod, kenyataan Syed Badli itu bertentangan dengan pendirian diambil presidennya sendiri, Anwar Ibrahim pada 2012.

Pada masa itu Anwar menyatakan pendirian untuk menyokong usaha Penyelesaian Dua Negara dalam isu Palestin-Israel.

Malah tegas Anwar, pengiktirafan terhadap negara Israel dibuat berasaskan kepada kehendak rakyat Palestin sendiri yang mahu mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada mereka seperti yang dipersetujui Hamas dan Fatah.

Sebelum itu, Anwar pada wawancaranya dengan majalah Wall Street Journal (WSJ) dilaporkan berkata dia menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan Israel. 

Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Tiada ulasan: