MALAYSIAKINI
Pemuda MCA menyifatkan langkah kerajaan Selangor mengeluarkan notis pengusiran kepada suku Mah Meri dari Kampung Orang Asli Bagan Lalang sebagai tidak berperikemanusiaan, kata Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Siew Shen Kae.
Siew mengulas arahan kerajaan Selangor melalui Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) agar masyarakat Orang Asli berkenaan mengosongkan kawasan kediaman mereka untuk memberi laluan kepada projek pembangunan pelancongan.
"Suku Mah Meri memahami bahawa kawasan kediaman yang telah didiami selama 20 tahun itu bukan hak milik mutlak mereka, tetapi tindakan pihak PNSB mengeluarkan notis pengusiran sebelum mengadakan rundingan, penyelarasan serta pengaturan yang sepatutnya merupakan satu tindakan yang sangat tidak berperikemanusiaan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Siew, meskipun projek pembangunan itu akan menambah sumber pendapatan kerajaan Negeri Selangor, namun ia mengorbankan hak asasi suku Mah Meri.
"Ini juga mengundang persoalan sama ada projek ini akan memusnahkan persekitaran tempatan kawasan tersebut.
“Setidak-tidaknya kerajaan Negeri Selangor harus melakukan perkara yang sepatutnya terhadap suku Mah Meri yang terlibat, termasuk memberi pampasan dan bantuan yang sewajarnya, bukan hanya mengutamakan kepentingan pembangunan kawasan tersebut semata-mata.
"Jika tidak, kerajaan Negeri Selangor hanya merupakan sebuah kerajaan yang hanya mementingkan pendapatan dan tidak berperikemanusiaan," jelasnya.
Semalam Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan laporan berita yang mendakwa bahawa Orang Asli suku Mah Meri di Bagan Lalang diusir dari perkampungan mereka oleh syarikat milik kerajaan negeri, PNSB.
Menerusi Twitter, Amirudin berkata kawasan yang dimaksudkan itu bukan perkampungan tanah Orang Asli seperti didakwa.
"Tanah yang disebut bukannya perkampungan Orang Asli Mah Meri seperti yang didakwa tetapi hanyalah pos sementara untuk memudahkan pekerja Orang Asli yang berulang alik dari kampung asal mereka ke tempat kerja di Bagan Lalang," katanya.
Malah, jelas Amiruddin, komuniti Orang Asli di kawasan itu bersetuju untuk mengosongkan tanah berkenaan dan telah menulis surat untuk memohon pelanjutan tempoh pengosongan.
Terdahulu, pengguna media sosial menyatakan solidariti terhadap komuniti Mah Meri di Bagan Lalang yang dilapor diusir PNSB untuk memberi laluan kepada projek tarikan pelancong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan