AGENDA DAILY
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengarahkan beberapa individu dipercayai penyokong Datuk Seri Najib Razak keluar dari kamar mahkamah dibimbangi membawa wabak penyakit kerana terbatuk-batuk sebelum prosiding perbicaraan hari ini bermula.
Abdul Karim berkata individu yang tidak mempunyai kaitan dalam prosiding perbicaraan kes rayuan bekas Perdana Menteri itu yang didapatinya terbatuk-batuk perlu keluar kerana ia mungkin membahayakan orang lain, malah perbicaraan sebelum ini juga ditangguh kerana salah seorang peguam Najib dijangkiti Covid-19.
“Saya tengok sebelum ada juga yang terbatuk-batuk ketika prosiding, mungkin juga demam. Yang mempunyai simptom sedemikian tolonglah keluar, jangan bahayakan diri dan orang lain. Kita kena tegas dalam tangani situasi ketika ini,” katanya dipetik portal MalaysiaGazette.
Prosiding hari ini sepatutnya dijalankan pada 6 Mei lalu namun terpaksa ditangguh selepas seorang peguam Najib dikuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memohon pasukan pembelaan rayuan yang mewakili Najib berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) supaya menghabiskan hujah mereka pada hari ini.
Beliau menegur pasukan pembelaan Najib yang membuat hujahan berjela-jela dan memberikan fakta-fakta baharu seperti baharu hendak memulakan hujah pada hari pertama prosiding.
“Ketika hujahan diberikan kepada kita hari ini, ianya seperti hari pertama prosiding, semuanya berulang dan begitu panjang berjela-jela. Ada speaking notes lagi.
“Kita mohon supaya hujah pembelaan dihabiskan dan tidak ada tempoh masa diminta lagi. Kita mohon supaya terus kepada perkara utama dan tidak terpesong. Nota yang ditulis juga panjang lebar dan asyik berulang,” katanya ketika memulakan prosiding di hadapan tiga panel hakim itu.
Peguam bela, Harvinderjit Singh kemudian bangkit dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan selesai berhujah dalam tempoh dua hingga tiga jam, sekurang-kurangnya sebelum waktu rehat tengah hari.
Prosiding bersambung di hadapan Abdul Karim dan dua lagi panel hakim iaitu Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salahguna kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan