MALAYSIAKINI
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan perisytiharan darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu, dengan menyatakan bahawa ia perlu bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin gawat di negara ini.
“Maka, perisytiharan darurat yang dilaksanakan hari ini adalah satu tindakan proaktif dalam menangani keadaan yang semakin gawat.
“Apa yang paling penting ialah langkah pencegahan, rawatan dan kawalan yang tegas serta berani,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di Facebooknya.
Menurutnya, sudah ada negara yang menghadapi penularan wabak secara tidak terkawal, sehingga mengalami situasi kekurangan peralatan dan anggota barisan hadapan.
“Maka kerajaan mengambil langkah yang pantas, bermula daripada persediaan peralatan dan anggota yang mencukupi, termasuklah persediaan anggota sokongan yang perlu ditambah dan dilatih,’ kata anggota parlimen Marang itu.
Hadi juga menyokong agar tindakan tegas terhadap pengacau tugas barisan hadapan pada masa darurat ini kerana menurutnya pengacau itu boleh melemahkan semangat barisan hadapan dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.
“Mereka yang bertindak menjadi makhluk perosak, hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.
“Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau.
“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” katanya.
Menurut presiden PAS itu, dalam tempoh darurat hari ini, rakyat hendaklah melupakan perbezaan agama, bangsa, fahaman politik dan segala kepentingan termasuk kepentingan harta perniagaan dan diri setiap individu.
Malah, katanya, rakyat wajib tolong-menolong bagi menyelamatkan semua nyawa.
“Semua pihak wajib memberikan sumbangan harta dan tenaga masing-masing, bahkan boleh dikerahkan untuk memberikan sumbangan secara paksa yang dilakukan dengan sistematik dan terkawal,” katanya.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mewartakan Ordinan Darurat 2021 yang membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana kumpulan wang yang disatukan untuk mendapat perbekalan tambahan tanpa kelulusan Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan