HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mei 2021

'Veteran tentera nak tanding PRU atas tiket individu, bukan persatuan'

Malaysiakini

Penglibatan pesara-pesara tentera dalam Parti Kemakmuran Negara (Kemakmuran) untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tidak melibatkan mana-mana persatuan atau kelab veteran, kata parti tersebut.

Menurut pengerusi penaja Kemakmuran, Brig Jen Abdullah Mohamed, sebaliknya, penglibatan veteran dalam parti itu adalah atas dasar peribadi dan sukarela mereka.

“Penubuhan protem Kemakmuran telah diterajui oleh beberapa veteran secara individu dan tidak melibatkan mana-mana persatuan veteran yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) atau pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Penglibatan veteran dalam perjuangan ini pula adalah atas dasar peribadi dan secara sukarela, yang mana dalam erti kata sebenarnya, tidak melibatkan mana-mana persatuan atau kelab veteran yang ada…

“... (Hal ini) kerana pematuhan terhadap Akta Veteran tahun 2012 (Akta 740) yang melarang persatuan dan kelab veteran daripada terlibat dalam aktiviti politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian sebagai respons terhadap amaran JHEV Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa ROS boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti politik kerana menyalahi Akta 740.

Menurut jabatan yang diselia Kementerian Pertahanan itu, berdasarkan Seksyen 14, Akta Veteran 2012, sesebuah persatuan veteran yang berdaftar di bawah JHEV ATM hendaklah menjalankan aktiviti persatuan tanpa diskriminasi jantina, bangsa, agama, asal usul, bahasa, kecenderungan politik atau apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh ahlinya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Persatuan Veteran ATM (Veteran) pada 4 Mei lalu membuat sidang media memaklumkan mengenai hasrat pesara-pesara tentera untuk bertanding dalam PRU-15 di bawah tiket Kemakmuran.

Menurut persatuan itu, keputusan itu dibuat setelah kerajaan didapati tidak memandang serius tuntutan dikemukakan Veteran selama ini berkaitan isu pesara tentera, selain kelemahan dalam menangani isu-isu rakyat.

JHEV ATM menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha memperjuangkan nasib veteran ATM.

Dalam kenyataan susulan hari ini, Kemakmuran mendakwa kerajaan gagal menyelesaikan isu anamoli pencen veteran setelah isu itu berlarutan hampir sepuluh tahun, sehingga menyebabkan “untold hardship” (kesukaran yang tak dihebahkan) di hujung usia veteran yang terlibat.

“Ramai sahabat-sahabat veteran yang telah meninggal dunia dalam penantian dalam tempoh tersebut,” kata Abdullah.

Salah seorang ahli jawatankuasa penaja Kemakmuran, Major Kaha Othman, mendakwa kenyataan JHEV tidak tepat, serta menyifatkan hasrat pesara untuk bertanding dalam PRU-15 tidak harus menjadi isu memandangkan sebelum ini pun ada pesara tentera menjadi wakil rakyat.

“Kita ini memanglah pesara (ATM), tetapi kita kumpulkan orang-orang kita untuk menubuhkan Kemakmuran, bukan atas tiket veteran. Memang kita pesara, siapa kata (tentera) bersara tak boleh masuk politik?

“Selama ini sikit punya ramai pesara kita menjadi ahli politik,” katanya yang memberikan bekas ahli parlimen Lumut Mohamad Imran Abd Hamid sebagai contoh.

“Tapi oleh kerana kami melibatkan secara berkelompok pesara ini, jadi digertak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malah, katanya, ada juga ahli Kemakmuran yang bukan merupakan ahli persatuan Veteran, tetapi katanya, yang penting, mereka semua adalah veteran (pesara) ATM.

Bendahari penaja Kemakmuran itu menyifatkan calon-calon Kemakmuran mempunyai peluang cerah kerana mendakwa mempunyai banyak sokongan, dan menganggap apa yang berlaku kini sebagai cabaran parti berkenaan.

“Kita seronok juga (ada) cabaran. Baru mereka tahu kita betul-betul pejuang atau tidak,” katanya lagi.

Kemakmuran sebelum ini berkata mereka telah mengemukakan permohonan ke ROS untuk penubuhan parti berkenaan sejak dua bulan lalu, dan kini sedang menunggu pertimbangan untuk kelulusan ROS.

Dalam kenyataan terbaru juga, Abdullah memberi jaminan bahawa perdana menteri dan kerajaan memerintah tidak perlu bimbang dengan penubuhan Kemakmuran, memandangkan parti itu mempunyai pendirian untuk menyebelahi kerajaan yang memerintah

Tiada ulasan: