HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Mei 2021

PULASAN l Cincau yang tak berdosa

Malaysiakini

PULASAN l Barangkali kerana kita memang sukakan debaran, maka Tuhan yang Maha Kuasa itu - dengan limpah kurnia kasih dan sayang-Nya - menjawab doa diam-diam kita.

Bertahun-tahun lamanya kita yang dirantai dengan nostalgia mengeluh apabila tidak ada lagi debaran menunggu pengumuman penyimpan mohor besar raja-raja Melayu mengenai tarikh permulaan puasa atau hari raya.

Kemajuan teknologi dan pengetahuan baru membolehkan tarikh puasa dan hari raya diketahui jauh lebih awal daripada detik yang selalu membuat orang berdebar itu.

Selama sekurang-kurangnya satu dasawarsa ke belakang, prosedur rukyah di sekian banyak tempat strategik hanyalah untuk formaliti sebelum pengumuman mengenai tarikh keramat itu dinyatakan oleh stesen radio dan TV.

Namun barangkali Tuhan mahu memberikan kelegaan untuk kita yang merindui detik tersebut. Maka Dia kini memberikan debaran itu dalam bentuk yang lain. Ia adalah suatu pengumuman yang mengundang rasa debar sekali gus meresahkan.

Iaitulah pengumuman Ismail Sabri Yaakob. Menteri kanan itu kadang-kadang menyampaikan khabar yang 'langkah kiri' terutama akhir-akhir ini.

Berbanding menanti tarikh bermulanya puasa, sambutan 1 Syawal atau Aidiladha, kita kini berdebar-debar menanti khabar tentang masalah perut dan tekak yang perlu disuap.

Saban minggu kita menanti apakah nasib kita untuk seminggu dua mendatang - sama ada dibebaskan, dirantai atau separa rantai. Pada masa sama hidup perlu terus. Tak ada pilihan - perut perlu terus diisi.

Seperti amat susah diselamatkan

Justeru muncul 'demam' cincau di alam maya. Di media sosial cincau tiba-tiba menjadi popular. Berpuluh-puluh tahun selepas berakhirnya era orang membungkus ketulan ais dengan serbuk kayu untuk mengelakkan ia cepat cair, kita menjadi masyarakat yang mesra cincau.

Namun tidaklah semua orang faham. Sama seperti cincau itu, di sesetengah tempat dikenali sebagai lengkong.

Tapi cincau atau lengkong bukanlah isunya. Garis bawah kepada isu semasa ini ialah apa yang dimaknakan oleh cincau atau lengkong itu. Ia bukan seperti difahami oleh golongan 'taqdis' yang tiba-tiba muncul.

Untuk rekod, taqdis adalah tafsiran longgar bahasa Arab untuk sikap manusia 'holier than thou' yang menjadi berlagak suci sambil menempelak jenaka cincau.

Disebabkan budaya kita yang selalu menganggap apa saja perkataan, perbuatan, sikap atau objek yang berbahasa Arab adalah 'Islamik' dan suci, maka taqdis sengaja dipilih untuk merujuk sikap perasan suci tapi sebenarnya banal-banal saja.

Cincau bukan sekadar jenaka mencarut semata-mata. Cincau pada 2021 adalah jeritan dari dalam sanubari rakyat yang berasa meluat lagi jengkel akan keadaan negara yang seakan-akan sudah terlalu susah untuk diselamatkan.

Tidak ada hari yang berlalu kecuali rakyat merasakan mereka semakin diheret ke dalam dunia gagal yang semakin gelap.

Sama seperti golongan taqdis yang menganggap secara borong bahawa jenaka hasut maya cincau adalah lelucon lucah, ahli politik juga semakin hari semakin jauh dari lecah yang menyalut kaki rakyat marhaen saban hari.

Kata-kata yang dihambur sekadar mengukuhkan lagi hakikat bahawa mereka sebenar-benar orang kayangan. Mereka - ahli politik itu - bercakap seolah-olah faham benar mengenai penderitaan rakyat, kesukaran mencari rezeki, keperitan bergerak ke sana sini dan siksanya dibelenggu sekian banyak 'P' saban minggu.

Daripada PKP kepada PKPB, kepada PKPP, kepada PKPD, dan kembali kepada PKP. Ia bagaikan hidup dalam lingkaran syaitan yang disumpah ke atas rakyat bawahan.

Tafsiran hati yang panas

Pada masa sama golongan kayangan itu berbangga menunjukkan apa yang mereka ada, apa yang mereka pakai, apa yang mereka dapat saban bulan, apa yang mereka pandu, apa yang mereka jadikan unta merah dan sebagainya.

Apabila datang tarikh penghujung sesuatu 'P' kita pun menanti dengan debar untuk mengetahui nasib untuk minggu seterusnya sama ada dibelenggu 'P' yang mana sambil didendangkan dengan ancaman demi ancaman. Kita ini adalah kelompok yang dilabel "rakyat terbanyak di bawah" oleh orang kayangan itulah.

Dan sesekali golongan berada, golongan kayangan, bangsa peniaga yang menyolek diri mereka dengan agama berbuat itu ini dengan bangga. Menyindir, misalnya. Atau berbuat apa yang orang biasa tidak dapat buat. Mereka melakukannya tanpa rasa malu malah mungkin berasa bangga.

Walaupun dikecam berjemaah mereka dengan selamba berbasa basi. Dan itu - jika mahu ditafsir secara hati yang panas - merupakan jari tengah untuk marhaen yang meradang melihat kelaku mereka.

Nasib rakyat - yang kebanyakannya malang - akan terus menjadi bahan dagangan. Justeru apa yang boleh dibuat selain meluahkan rasa marah di media sosial? Nak mengadu, dengan apa? Nak merayu? Kepada siapa?

Kadang-kadang menteri pun munculnya mengalahkan bulan purnama. Ketika kita tahu tarikh untuk bulan menjadi sempurna bulatnya, menteri pula munculnya ikut kesesuaian perut mereka saja nampaknya. Kadang-kadang tidak muncul langsung.

Tapi itulah, sama ada mereka itu muncul atau tidak, kadang-kadang sama saja. Atau mungkin lebih baiklah mereka bertapa terus di pejabat masing-masing daripada memunculkan diri dan menyakitkan hati.

Diketawakan dari kayangan

Kebanyakan mereka - yakni orang politik dan mereka yang berkuasa itu - selalu saja gagal berlakon untuk membawa watak sebagai manusia berhati perut. Mereka adalah makhluk dari dunia luar yang cuma berpura-pura ada hati dan ada perut.

Dan mereka menjanjikan bulan dan bintang ketika yang dihidangkan kemudian untuk rakyat adalah hutan dan binatang. Apa yang mahu dibimbangkan, kan, kerana memerintah tanpa mandat memang begitulah - tiada ikatan, tiada ikrar bertulis atau yang seumpamanya.

Sedangkan janji yang dimeterai dan ditandatangani pun sanggup dimungkiri, apa sangatlah labun-labun penyedap telinga yang timbul sesekali semasa orang ramai mencari ruang untuk bernyawa. Ia adalah debu-debu yang singgah di tunggul mati sementara menanti datangnya angin.

Maka kerana itulah munculnya cincau. Hidup bernafas di antara henyakan ekonomi, gaya hidup menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC, ahli parlimen dan penjawat jawatan lantikan politik yang mencolok mata dan ancaman undang-undang mengerikan - begitulah. Cincau pun, cincaulah.

Cincau itu selain sedap dimasukkan ke tekak bersama ais, ia juga menyejukkan badan.

Dari segi bahasa, cincau dikatakan dari bahasa Cina yang maksudnya agar-agar rumput. Sesuailah rakyat di bawah yang selalu diketawakan dari kayangan sana menelan cincau itu. Biar reda sedikit panas yang membara dalam jiwa.

Cincau bukan sekadar jenaka carutan atau makian. Ia bukan isu dengki atau cemburu. Cincau adalah simbolik rasa amat meluat rakyat yang terus dirantai oleh aksi-aksi menyakitkan hati daripada orang politik atau kayangan serta orang yang berkuasa.


(*) AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tiada ulasan: