MALAYSIAKINI
Bekas perdana menteri Najib Razak menyambut baik kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang mengakui telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila tidak mengambil suhu badan ketika masuk ke sebuah surau di Langkawi pada Sabtu lalu.
Katanya, seperti dirinya, Dr Mahathir berpendirian supaya tidak ada dwi-standard atau layanan berbeza terhadap golongan yang berlainan.
“Terbaik Tun (Dr Mahathir Mohamad)! Tak mahu double standard. Kita geng,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, Dr Mahathir mengakui tindakannya itu merupakan satu kesalahan dan tidak seharusnya berlaku.
Sambil memohon maaf, perdana menteri keempat dan ketujuh itu berkata dia akan menerima tindakan mengikut undang-undang berkaitan.
Sebelum ini, tular video Dr Mahathir yang dirakamkan pada 8hb Mei lalu ketika dia menyampaikan sumbangan bulan Ramadan serta Aidilfitri kepada penduduk di Surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang, Kuah, Langkawi yang didakwa tidak mematuhi SOP.
Video itu juga dikongsi oleh beberapa pemimpin Umno termasuk bekas presidennya Najib Razak.
Najib baru-baru ini didenda RM3,000 kerana melanggar SOP Covid-19 tidak merekodkan kehadirannya di Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng di Bukit Bintang selain tidak membuat pemeriksaan suhu badan ketika memasuki premis berkenaan pada 19 Mac lalu.
Restoran nasi ayam yang dikunjunginya pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.
Najib dalam hantarannya juga secara sinis meminta pandangan Dr Mahathir susulan kenyataannya bahawa Covid-19 adalah wabak yang serius dan SOP harus dipatuhi tidak kira oleh sesiapa.
“Jadi, apa pandangan Tun berhubung gambar-gambar ini. PM8 berjalan-jalan tanpa pakai mask di lobi hotel. PM8 pulang dari Arab Saudi dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) tapi dia dan rombongan dia tak asingkan diri untuk kuarantin.
“Terus meeting dengan menteri kanan tak HD serta geng dia yang datang sambut dia sebaik sahaja turun dari kapal terbang.
“Menteri kanan tak HD buat meeting beramai-ramai hanya enam hari selepas pulang dari luar negara di mana dia banyak kali buat meeting (mesyuarat) beramai-ramai di sana,” katanya.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas, perdana menteri keenam itu merujuk kepada Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.
Najib turut melontarkan soalan kepada Dr Mahathir sama ada wartawan sepatutnya menyoal semua pelaku itu atau meminta penjelasan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis?
“Ataupun Tun yang tak suka double standard akan terus terang soal mereka?
“Saya pernah tanya tapi mereka tak layan. Tengok nasib Tun pula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan