HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Sebar berita merosakkan boleh dijatuhkan hudud – Hadi

Manzaidi Mohd Amin
MGF13122020_DIALOG-BERSAMA-MEDIA_-29
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pihak yang menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan kerosakan sehingga ke tahap kemungkaran besar boleh dijatuhkan hudud atau sekurang-kurangnya hukuman takzir.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kemungkaran itu adalah sesuatu yang wajib dicegah dan dikenakan tindakan undang-undang serta hukuman yang keras.

“Kita tengok kebelakangan ini, peranan media sosial dalam menyebarkan kerosakan sudah mencapai tahap kemungkaran besar, suatu perkara yang wajib dicegah dengan dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman yang keras.

“Sehingga ada situasi yang sampai ke peringkat boleh dijatuhkan hudud dan sekurang-kurangnya dijatuhkan hukuman takzir, khususnya kini menjadi masalah dalam situasi darurat akibat penularan wabak di seluruh pelosok dunia,” katanya menerusi petikan Minda Presiden, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tindakan menyebarkan berita dan maklumat yang negatif boleh berlaku bukan sahaja dalam perkara bohong, salah dan nyata fitnahnya, bahkan boleh juga berlaku pada berita yang benar dan betul apabila salah pendekatan dan caranya.

“Kita berada pada zaman kemunculan media sosial terkini dengan tersebarnya fahaman liberal yang tidak beragama atau tidak mempedulikan agama dan moral.

“Aliran liberal yang bergerak atas nama hak kebebasan media yang dihayati oleh masyarakat barat sudah tenggelam dan hanyut manusiawinya.

“Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi makhluk perosak dalam masyarakat kita yang masih mempunyai sifat agama, malah golongan ini mula menunjukkan keberanian dengan menghentam pihak agama dan para ilmuwan,” katanya.

Beliau berkata, polemik perang siber semakin merebak dengan parah dan secara melampau hari ini, apabila ada pihak mereka menggunakan bantuan ejen dan suntikan dana untuk menyelamatkan golongan yang terlanjur dalam perang maklumat yang semakin maju, sama ada ke arah kebaikan mahupun kemungkaran.

Kata Abdul Hadi, cara yang paling mudah untuk tergelincir ialah melalui penyebaran ilmu dan maklumat ke mana sahaja, menggunakan teknologi paling canggih dan pesat kemajuannya dengan menggerakkan jari sahaja.

“Sepatutnya teknologi dimanfaatkan untuk mengerjakan amal yang soleh, menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut sempadan Allah. Namun, terdapat mereka yang menyalahgunakan akal dan kebolehannya pada kemungkaran dengan mudah.

“Malahan terdapat mereka yang tidak tahu menilai kurniaan Allah sehingga tidak mengambil manfaat bagi diri sendiri dan orang lain. Bahkan ada dalam kalangan mereka, laksana kera mendapat bunga yang indah, lalu dikoyak dan dimusnahkan.

“Ada juga sekelompok manusia menjadi makhluk perosak yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal. Mereka terdapat dalam kalangan manusia menyebarkan maklumat yang merosakkan ke seluruh pelosok dunia sejak pagi hingga petang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: