HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Undi
masyarakat Melayu-Islam tetap tidak akan dapat diraih DAP meskipun
pelbagai usaha dilakukan bagi mendekati golongan berkenaan.
Penganalisis
Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia berhubung kenyataan
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang mendakwa parti
itu bersedia untuk bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita
dapat melihat sekarang ini DAP sedang rancak membuat pelbagai program
bagi mendekati masyarakat Melayu, termasuk dengan memberikan bantuan
kepada golongan susah, membuka kedai pakaian raya percuma dan
sebagainya.
“Ini kerana mereka tahu bahawa setelah BERSATU tidak
lagi bersama mereka dalam PH, dan kerana parti PAN terbukti tidak mampu
menguasai sokongan majoriti Melayu, maka mereka terpaksa berusaha
sendiri mendekati orang Melayu.
“Begitupun, adalah diyakini
bahawa walaupun mereka berusaha, mereka tetap akan gagal kerana dari
dulu hingga sekarang orang Melayu dapat melihat bahawa mereka dari
kalangan Melayu yang menyertai DAP hanya dipergunakan.
“Bukan
sahaja dari segi pemilihan sebagai wakil rakyat, malah pemilihan sebagai
pemimpin DAP sendiri seperti apa yang sedang berlaku di peringkat
negeri-negeri sekarang, lumrahnya jika ada wakil Melayu pun hanya
seorang dua saja terpilih.
“Begitu juga dengan isu-isu yang
pemimpin DAP perjuangkan sejak dulu hingga kini adalah isu-isu yang
tidak dekat dengan orang Melayu, dan pemimpin DAP pun tahu jika mereka
bekerjasama dengan Umno sebelum PRU15 mereka akan gagal,” ujarnya kepada
Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, Umno dan DAP masing-masing
menyedari hakikat bahawa tidak akan wujud sebarang pertalian politik
antara kedua-duanya memandangkan prinsip parti yang tidak boleh menerima
antara satu sama lain.
“Sebab itulah beberapa kali keluar
kenyataan daripada pemimpin DAP, termasuk dari Anthony Loke yang
disebut-sebut sebagai bakal Setiausaha Agung DAP yang baru bahawa DAP
sedia bekerjasama membentuk kerajaan dengan Umno selepas PRU15.
“Kenyataan
dan strategi begini, pada hemat saya, bukanlah sesuatu yang mengejutkan
kerana ia adalah selari dengan kedudukan DAP sebagai parti yang telah
pernah mengecapi kuasa yang akan membuat apa saja untuk mendapatkan
balik kuasa.
“Kerjasama membentuk kerajaan dengan Umno selepas
PRU15, pada fikiran mereka, tidak akan mampu ditentang dengan berkesan
oleh ahli-ahli Umno dan ahli-ahli DAP berbanding penolakan besar yang
boleh berlaku jika ia dibuat dalam PRU15,” ujar beliau lagi.
Bagaimanapun
katanya, perancangan DAP ini tidak mudah direalisasikan ekoran
penolakan ahli-ahli partinya yang sentiasa teguh dalam mempertahankan
prinsip mereka.
“Saya tidak fikir perancangan DAP ini akan mudah
menjadi kenyataan kerana ahli-ahli Umno tidaklah sebodoh itu untuk
menerima mereka, dan adalah dijangkakan dalam pemilihan Umno nanti
pemimpin yang mesra DAP akan tersingkir,” kata Kamarul lagi.
Beliau
tidak menafikan DAP akan melakukan apa sahaja bagi membolehkan mereka
menguasai Putrajaya, termasuk bekerjasama dengan Umno.
Namun
beliau menegaskan, kerjasama bagi membentuk jaringan politik dengan Umno
tidak akan tercapai meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi mendekati
masyarakat Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan