HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2021

Sedarlah Hamzah, kerusi Larut pun pinjam daripada UMNO, kata Tajuddin

AGENDA DAILY

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerusi Parlimen Larut milik UMNO.

UMNO akan tetap meletakkan calonnya bagi bertanding kerusi Parlimen Larut selepas wakil rakyatnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin keluar UMNO untuk menyertai Bersatu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerusi itu sememangnya milik UMNO yang hanya ‘dipinjam’ oleh Hamzah, dan sudah tiba masanya parti itu mengambil semula kerusi tradisi mereka itu.

“Setuju dengan kenyataan Aminuddin (Setiausaha UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah), kita kena ambil balik sebab itu kerusi UMNO, sekarang Bersatu dah ambil, dan dah lompat Bersatu pun, kira pinjam sampai sekarang. Cukup masa kita ambil balik.

“UMNO akan ambil balik kerusi UMNO yang dipinjam Bersatu. Sebab kita pun tak ada nak bising-bising bila dia pinjam, kan?,” katanya kepada Agenda Daily.

Terdahulu, Aminuddin dalam satu kenyataan berkata UMNO Perak akan meletakkan calon menentang Menteri Dalam Negeri itu di kerusi Parlimen Larut sekiranya pemimpin Bersatu kekal bertanding di kawasan itu.

Menurutnya, semua kerusi ditandingi UMNO pada PRU14 lalu akan kekal ditandingi oleh parti itu termasuk kerusi Parlimen Larut yang dimenangi Hamzah atas tiket UMNO sebelum melompat menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, partinya belum membuat keputusan siapa calon yang terbaik untuk diletakan di kerusi berkenaan.

“Kita belum buat keputusan siapa nak bertanding di situ (Larut),” katanya.

Hari ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan khabar angin mengatakan kononnya akan diletak bertanding di kerusi Parlimen Larut.

Sebaliknya, Saarani menjelaskan mungkin akan bertanding kerusi yang dipegangnya kini pada pilihan raya akan datang atau kemungkinan kerusi Parlimen Lenggong.

Saarani berkata, calon anak tempatan adalah yang paling sesuai diletak untuk bertanding di Larut bagi mencabar Hamzah dan ia akan diputuskan oleh bahagian UMNO di kawasan itu sendiri.

Pada PRU14, 2018, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.

Tiada ulasan: