AGENDA DAILY
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mahu kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berpendapat peluang UMNO Perlis untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu adalah cerah jika kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Katanya, cara untuk mencapai kemenangan adalah dengan membentuk satu gabungan sebagaimana formula dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Adalah lebih baik untuk kekal bersama. Jika kita kekal bersama, kita bukan sahaja akan menang 100 peratus, tapi mungkin ada kerusi yang akan menang tanpa bertanding.
“Formula bagaimana kami boleh menang di Perlis sepanjang masa adalah mudah. Kami cari lebih ramai kawan berbanding musuh. Jadi akhirnya kami akan dapat lebih ramai kawan,” katanya dipetik daripada portal Malaysia Insight.
Ketika ini sebahagian kecil sahaja kepemimpinan UMNO peringkat pusat khususnya yang diketuai ‘kluster mahkamah’ sudah mula menolak kerjasama dengan kerajaan PN, sedangkan persetujuan yang mereka sendiri buat ialah sehingga PRU15.
Pemimpin kluster mahkamah itu sekarang ini giat melakukan serangan bertali arus dalam laman sosial mereka untuk memupuk kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Namun, Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau menjadi antara pemimpin veteran yang paling lantang bersuara dan berjanji akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan sekarang.
Akibatnya, beliau disingkirkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.
Di bawah kerajaan PN, Shahidan dilantik mempengerusikan Perbadanan PR1MA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan