Beberapa pemimpin Pemuda Umno bersetuju jika pemilihan parti itu ditangguhkan sementara susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini semakin tidak terkawal.
Exco Pemuda Umno Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata buat masa ini tumpuan penuh harus diberikan kepada usaha untuk memperkukuhkan parti dan menyekat penularan wabak Covid-19.
"Saya setuju sekiranya pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini ditangguhkan memandangkan situasi Covid-19 kini semakin meruncing.
"Bagi saya tiada keperluan untuk kita tegesa-gesa dalam situasi ancaman kesihatan yang berbahaya ketika ini," katanya kepada Malaysiakini.
Pun begitu Mustafa mengakui keputusan muktamad masih terserah kepada pucuk pimpinan Umno khususnya majlis tertinggi (MT) parti itu.
Sebelum ini beberapa media melaporkan spekulasi bahawa pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung pada Jun depan akan ditangguhkan.
Menurut laporan media, penangguhan itu dbuat ekoran peningkatan kes Covid-19.
Sebelum ini beberapa pemimpin kanan Umno seperti Khairy Jamaluddin ada membuat gesaan Umno supaya menyegerakan pemilihan parti itu.
Bagaimanapun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi - yang mungkin berdepan dengan pencabar untuk jawatan itu - tidak pernah mengumumkan sebarang cadangan bagi menangguhkan pemilihan parti.
Demi kestabilan politik
Terbaru mesyuarat MT Umno baru-baru ini membuat ketetapan untuk mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengadakan pemilihan parti.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor, pula berkata memberitahu Malaysiakini, Umno tidak perlu mengikut rentak paluan gendang musuh yang sememangnya mahu melihat parti itu berpecah-belah.
Katanya, Umno perlu memberi tumpuan kepada agenda yang lebih besar iaitu menghadapi pilihan raya umum (PRU).
"Umno parti besar. Tidak seperti parti lain kerana pemilihan nanti akan melibatkan 20,000 cawangan induk dan tiga sayap utama parti.
"Gerak kerja pilihan raya menjadi fokus utama kepada Umno. Kalau pemilihan dibuat, segala penyusunan organisasi yang telah lengkap diberi latihan simulasi sebelum ini akan berubah, tentunya akan memberi masalah kepada Umno," katanya.
Naib Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak, Mohd Riziqin Hillan Md Hasbullah turut bersetuju sekiranya pemilihan Umno ditangguhkan.
"Sebenarnya, pilihan raya umum yang perlu diadakan terlebih dahulu. Bukannya pemilihan parti.
"Ini bagi mengembalikan mandat kepada rakyat dalam memilih kerajaan yang mereka mahu demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Jika PAS boleh menangguhkan pemilihan parti bagi mengukuhkan parti, mengapa tidak Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan