HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mei 2021

Lim: Bantu rakyat tangani kesan PKP 3.0, bukan remehkan kesannya

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz harus mencari jalan membantu golongan miskin ketika perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0), dan bukannya memandang remeh kesannya, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Saranan itu dilontarkan selepas Tengku Zafrul menyifatkan PKP 3.0 yang bermula hari ini tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi kerana kebanyakan sektor ekonomi masih beroperasi.

"Lebih baik Zafrul menghulurkan bantuan segera kepada keluarga yang telah terkesan selama lebih dari satu tahun.

"Tanpa pertolongan di bawah PKP3.0, orang miskin tidak akan dapat mengatasi kesan buruk terhadap pendapatan mereka, penutupan sekolah dan tekanan psikologi," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim turut memetik tinjauan yang dilakukan untuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPF) Malaysia yang mendapati empat daripada 10 keluarga miskin bandar telah menggunakan simpanan mereka untuk bertahan dalam situasai sukar ketika ini walaupun telah menerima pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Lim turut mengkritik Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerajaan yang tidak konsisten dan mengelirukan.

"Sangat tidak masuk akal Ismail mempertahankan SOP flip-flop, dengan menyatakan bahawa kerajaan perlu terus menyesuaikan SOP dengan perkembangan terkini situasi Covid-19 di negara ini.

"Ismail Sabri harus ingat bahawa tidak ada yang lebih menyedihkan dan tercela daripada berusaha mempertahankan sesuatu kerja yang tidak dapat dilakukan dengan baik," katanya.

Lim menyorot bahawa pakar kesihatan membantah keputusan kerajaan berhubung larangan bersenam di luar rumah dan keputusan itu kemudiannya diubah.

Dalam pada itu Lim turut mengkritik tindakan kerajaan menutup pusat membeli belah yang hanya merekodkan kurang lima peratus kluster Covid-19 berbanding 48 peratus yang direkodkan oleh kilang.

Kerajaan sebelum ini mempertahankan tindakan itu, dengan mendakwa bahawa ia juga mengarahkan kilang-kilang tertentu ditutup tetapi tidak menghebohkannya.

Lim menambah bahawa Malaysia menunjukkan prestasi buruk dalam memerangi Covid-19 jika dibandingkan dengan rakan serumpunnya.

"Di Indonesia, 3.2 peratus populasi telah divaksin sepenuhnya, sementara 5.0 peratus populasi diberikan satu dos yang mencapai kadar harian 260,112 dos vaksin.

"Di Malaysia, hanya 2.1 peratus populasi telah diberi vaksin sepenuhnya, sementara 3.3 peratus populasi diberikan satu dos dengan kadar harian 42,968 dos.

"Putrajaya pada awalnya berhasrat untuk memberi vaksin sehingga 75,000 orang setiap hari di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaan, tetapi ia jauh dari sasaran ini. Mengapa?" soal Lim.

Tiada ulasan: