PUTRAJAYA: ‘Kebersamaan’ Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dengan pemimpin DAP dalam satu majlis memberi bayangan pembentukan jajaran politik baharu UMNO-DAP akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, kemungkinan itu boleh berlaku kerana UMNO tidak mempunyai satu kekuatan parti dominan selepas PRU-15 untuk membentuk kerajaan.
Justeru, kata beliau, UMNO akan banyak bergantung kepada pelbagai rundingan dengan parti-parti politik lain selepas pilihan raya.
“Jadi, kemungkinan berlakunya jajaran baharu ini boleh berlaku. Persoalannya adakah tidak wajar sekiranya ia berlaku? Banyak orang kata sekarang ialah ia tak wajar.
“Bagaimanapun, kejatuhan Barisan Nasional (BN) dahulu pun kerana jajaran baharu juga antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PKR dan DAP. Makna kata kalau itu sebagai sesuatu yang tidak betul, kenapa pula dulu boleh diterima oleh Bersatu?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Tajuddin berkata, jajaran politik baharu UMNO bersama parti DAP dan PKR tidak mustahil boleh berlaku memandangkan Pas dahulu pun pernah bersama kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat.
Kata beliau, dalam hal itu, ahli-ahli UMNO khususnya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika norma baharu politik tersebut benar-benar berlaku.
Namun, beliau berkata, timbul persoalan adakah ketiga-tiga parti boleh duduk semeja dan menyesuaikan ideologi masing-masing di bawah satu bumbung.
“Persoalan sekarang ini ialah kesesuaian dari segi ideologi sama ada DAP, PKR dan UMNO boleh duduk semeja bergantung kepada kesesuaian ideologi.
“Tetapi kalau tengok kepada yang ada hari ini, memang kesesuaian itu tidak ada dan ia sekali lagi bergantung kepada jajaran untuk disatukan berdasarkan kesesuaian dari segi ideologi. Kalau bertegas dengan masing-masing ideologi yang ada sekarang tak mungkin boleh berlaku,” katanya.
Rabu lalu, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar melawat Azura Omar, pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang berjuang melawan penyakit kanser yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.
Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, pertemuan itu adalah secara kebetulan dan tidak membabitkan sebarang arahan daripada pimpinan UMNO, sedangkan Kian Ming pula menyatakan sebaliknya dan ia adalah jemputan Noraini.
Dua pemimpin politik itu membuat kenyataan bercanggah dan menjadi perdebatan di media sosial seolah-olah membuktikan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan untuk mewujudkan Perikatan 3.0 bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan