KUALA LUMPUR – Wanita yang dikompaun RM2,000 kerana dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana menziarah suaminya seorang anggota polis bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) dilihat tidak wajar.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memahami kesedihan yang dialami keluarga berkenaan yang menghadapi situasi sukar di bulan yang mulia ini.
“Tidak terucap dengan kata-kata, sedih. Itulah dilema dihadapi oleh rakyat biarpun individu yang terlibat adalah anggota polis. Ya, benar lelaki itu anggota penguatkuasa tetapi beliau juga manusia biasa.
“Perasaan ahli keluarganya siapa yang tahu. Mereka sebak, orang tersayang tiada di hari bahagia,” katanya di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga meluahkan kekeliruan beliau berkaitan SOP Aidilfitri yang diumumkan baru-baru ini.
“Apakah definisi ziarah sebenarnya yang dibenarkan kerajaan? Adakah menjenguk suami yang bertugas di lapangan menjadi satu kesalahan sedangkan wanita berkenaan dan anaknya menaiki dua kereta berbeza.
“Mereka tinggal di kawasan berdekatan iaitu di Putrajaya atau kompaun itu dikenakan selepas foto mereka tular di laman sosial sekaligus mahu menutup kes.
“Lagipun dalam kes ini wanita berkenaan mahu memberikan juadah Aidilfitri. Mahu memberikan sokongan moral kepada suami supaya tabah berkhidmat untuk negara. Maka wajarkah dia dikompaun RM2,000?” soal Pengerusi Barisan Nasional itu lagi.
Menurutnya, adakah pihak berkuasa sengaja mahu menyelesaikan kes ini kerana khuatir dengan pandangan segelintir pihak berkenaan penguatkuasaan yang disifatkan berat sebelah.
“Polis Putrajaya mengesahkan wujud pelanggaran SOP. Cepat pula siasatan dibuat sedangkan untuk selebriti masanya begitu lama.
“Kita tahu untuk artis kertas siasatan perlu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dahulu. Tetapi bagi kes ini hanya tiga hari. Mungkin juga bagi mengelak tanggapan double standard gamaknya.
“Tetapi saya pelik. Portal sebuah berita menyebut tiada pelanggaran SOP. Jika tiada pelanggaran SOP kenapa dikenakan kompaun?” soalnya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan