AGENDA DAILY
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan UMNO tidak boleh lagi mengamalkan tradisi kelaziman mengangkat presiden parti sebagai calon perdana menteri, ia sekaligus mengesahkan parti itu masih tidak mempunyai nama calon untuk diangkat dalam pilihan raya nanti.
Katanya, konsep ‘one man show’ atau seorang tokoh saja bertindak sebagai dominan dan menguasai segala-galanya perlu diubah sejajar dengan perubahan politik yang berlaku ketika ini.
Katanya lagi, tambahan sehingga hari ini keputusan untuk mengangkat calon perdana menteri daripada UMNO masih ‘kabur’ dan tidak ada dikalangan pucuk pimpinan sedia ada yang dilihat mempunyai kelayakan serta berkemampuan menggalas tanggungjawab itu.
“Hari ini belum ada sebarang keputusan walaupun kita ada presiden, timbalan presiden, naib presiden, kita tahu. Maknanya kita bakal berdepan dengan keadaan itu sehingga sampai pilihan raya.
“Pilihan jajaran baru yang kita nak bergantung juga pada penerimaan kepimpinan UMNO hari ini bahawa inilah masa untuk berubah, inilah masa untuk memberi cara yang baru.
“Kita tidak perlu balik semula kepada keaadan kaedah presiden UMNO mesti jadi perdana menteri,” katanya dalam temu bual Bicara Tokoh, yang disiarkan di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN), hari ini.
UMNO sebelum ini dikenali sebagai sebuah parti dominan dan secara tradisinya presiden UMNO menjadi perdana menteri.
Namun sehingga hari ini UMNO masih belum mencadangkan nama calon perdana menteri daripada parti itu.
Sebelum ini seorang Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menegaskan bahawa berdasarkan keadaan semasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini tidak sesuai untuk dicalonkan bagi jawatan berkenaan.
Ahmad turut meminta Zahid mencadangkan nama calon lain untuk menjadi perdana menteri seandainya UMNO membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Dalam pada itu, Shahrir berkata telah tiba masanya UMNO memiliki dua orang tokoh yang berkebolehan untuk menjaga parti, dan seorang lagi bertindak mengetuai kerajaan.
Mengambil contoh kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn, yang mana pernah memberitahu akan tiba masa UMNO berbeza kepimpinan parti, dan berbeza daripada kerajaan.
“Dia kata perkara itu akan terjadi. Sebab parti itu akan jadi lebih besar dan kerajaan akan jadi kompleks. Jadi soal urus tadbir kerajaan dan juga kepimpinan parti mungkin perlu kepada kemahiran atau kemampuan yang berlainan.
“Kita kata itu mungkin akan berlaku, tapi bukan semasa waktu dia sebab pada ketika itu masih mudah lagi, tidak kompleks lagi seperti kini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, beliau melihat UMNO mampu membentuk jajaran baharu untuk membentuk parti politik dan kerajaan, oleh kerana dianggotai oleh wakil-wakil parti yang mempunyai kebolehan urus tadbir yang tertentu.
“Apa yang kita lihat dan saya terangkan, parti sendiri sudah ada jurucakap dari bidang tertentu, dan sudah mula terima kunjungan duta-duta asing.. jadi keadaan ini adalah kes istimewa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan UMNO sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan