AGENDA DAILY
UMNO kena terima Anwar jadi PM, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mesti menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri (PM).
Katanya, PH mempunyai struktur kepemimpinan yang jelas di mana Anwar adalah pengerusinya dan layak untuk diangkat sebagai perdana menteri.
“Apa yang telah diputuskan ialah Datuk Seri Anwar adalah calon PM bagi Pakatan Harapan. Jadi kami memberi tawaran yang jelas kepada rakyat.
“Tetapi jika kami gagal mendapat kerusi majoriti memerintah sudah tentu akan ada kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk UMNO, bukan Bersatu kerana Bersatu pernah mengkhianati kami.
“Namun begitu mereka perlu menerima hakikat bahawa calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar,” katanya dalam wawancara di BFM hari ini.
UMNO dan BN setakat ini belum menyatakan siapa calon perdana menteri mereka walaupun parti itu ketika ini mempunyai presiden yang juga pengerusi BN iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Keengganan UMNO menamakan calon PM mengakibatkan akar umbi parti semakin resah dengan hala tuju parti tersebut dan mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) jika ia diadakan dalam masa terdekat.
Sudah menjadi lumrah presiden UMNO yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menjadi perdana menteri Malaysia sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum.
Anthony berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi adalah yang paling sengit kerana akan menyaksikan pertandingan tiga gagasan parti politik, jika UMNO benar-benar tidak lagi bersama Perikatan Nasional (PN).
“PRU15 ini akan menyaksikan gabungan PN, PH, dan Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO benar-benar keluar dari PN. Pastinya sengit dan jika mana-mana pihak tidak mendapat majoriti, maka kerjasama akan berlaku,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah akan bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan