HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

UMNO bakal buat pusingan-U kekal bersama PN selepas Ogos, beri alasan Covid

AGENDA DAILY

Perhimpunan Agung UMNO 2020. Foto kredit UMNO Online

Meskipun UMNO telah membuat ketetapan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos ini, keputusan itu mungkin berubah selepas berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang semakin mencanak naik ketika ini, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, UMNO membuat keputusan itu pada perkiraan awal pandemik itu mungkin landai menjelang Ogos namun perkiraan itu tersasar dan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dapat dilaksanakan.

Menurutnya, jika UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan keputusan menarik balik sokongan terhadap PN pada Ogos ini, parti itu akan melihat semula berapa lama tempoh yang akan ditetapkan untuk terus menyokong kerajaan PN.

“Kita tahu Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan pada Ogos ini sebagai tamatnya sokongan kita terhadap kerajaan PN dan selepas sokongan ditarik balik, kita berharap Parlimen akan dibubarkan dan PRU-15 akan diadakan.

“Kita andaikan ketika itu kes Covid-19 sudah reda dan darurat ditarik balik, tapi kalau kes Covid-19 mencanak sampai 10,000 kes, pada waktu itu, kita akan pertimbangkan semula (keputusan tarik balik sokongan terhadap PN)..

“Kalau kes Covid-19 masih tinggi, bermakna, pilihan raya tak boleh nak dilaksanakan. Ketika itu kita akan tengok semula apa yang perlu dibuat, kita mahukan tempoh berapa lama lagi,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Memberi perumpamaan bagi menceritakan situasi itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu menegaskan bahawa UMNO kini akur dengan keadaaan Covid-19 yang menyebabkan parti itu kini dalam keadaan ‘tunggu dan lihat’ sebelum mengambil sebarang keputusan baharu.

“Ibarat kita nak merentasi jambatan, apabila kita sudah sampai di jambatan barulah kita fikir macam mana nak melaluinya, tapi, sekarang kita belum sampai lagi ke jambatan itu. Buat sementara ini, kita akur keadaan Covid-19 masih tinggi,” katanya.

UMNO sebelum ini mengumumkan akan kekal menyokong kerajaan PN sehingga Ogos depan sebagaimana keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Tiada ulasan: