HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Tajuddin marah UMNO dituduh main politik ketika pandemik

AGENDA DAILY

UMNO mendesak supaya pilihan raya diadakan dengan segera.

Tuduhan terhadap UMNO hanya tahu bermain politik ketika negara sedang bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 adalah tidak tepat, kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berkata tidak adil tuduhan tersebut dilemparkan terhadap UMNO hanya kerana mereka mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera dan menyifatkan langkah tersebut sebaliknya adalah demi membela nasib rakyat dibawah.

“Saya marah betul orang kata UMNO asyik nak nak politik saja. Itu tak betul, kalau asyik berpolitik saja, negara kita tak macam ini. Tolong betulkan persepsi dan cakap-cakap yang menyakitkan hati.

“Ingat kita tak ada perasaan, kita pun ada perasaan juga, cakap sedap UMNO ini politik saja bukan kira nasib rakyat, yang tukang cakap tu bagi apa (kepada rakyat),” katanya lapor portal.

Kenyataan Tajuddin ini dilihat berbeza dengan pendirian awal Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendesak PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Terdahulu, Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk 3 Januari lalu memberi contoh lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan.

“Kita menunggu agar mandat rakyat segera dikembalikan. Rakyat rindu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali untuk menjadi kerajaan semula. Kita mempunyai trek rekod dan sejarah panjang memerintah negara. Semua golongan rakyat diberikan kepedulian.

“Saya khuatir bukan sebab takut Covid-19 untuk adakan pilihan raya tetapi takut perkara lain,” kata Zahid.

Mengulas lanjut Tajuddin berkata, UMNO tidak akan mendesak supaya PRU15 disegerakan ketika negara terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Tiada ulasan: