AGENDA DAILY
MCA menuntut UMNO membuat penjelasan berhubung penyebaran klip audio suara mirip Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tular baru-baru ini.
Jurucakap rasmi MCA, Wong Siew Mun berkata, sehingga sekarang tiada penafian atau kenyataan jelas yang dikeluarkan oleh UMNO sehingga mencetuskan tanda tanya sama ada benar parti itu mahu menjalin hubungan dengan blok pembangkang bagi membentuk jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Katanya, sebagai rakan komponen Barisan Nasional (BN), MCA berhak mengetahui perkara sebenar berhubung isu klip audio berkenaan.
“Sekarang MCA pun keliru, sama ada UMNO kerjasama dengan siapa, kerana dekat PAU kata No Anwar, No DAP, No Bersatu, tetapi selepas itu isu audio (Presiden UMNO) tular, jadi sampai sekarang kami pun tidak tahu sama ada itu sahih atau tidak, kalau sahih sepatutnya UMNO tampil, untuk jelaskan sebenarnya apa yang sedang berlaku,” katanya kepada Agenda Daily.
Agenda Daily sebelum ini melaporkan, satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) tular di media sosial.
Perbualan antara mereka itu sangat mesra dengan kedua-dua mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.
Mengulas lanjut, Wong yang juga Timbalan Ketua Penerangan MCA berkata, parti itu kini berada dalam persimpangan kerana UMNO sekarang ini dilihat tidak jelas hala tuju perjalanan politik mereka.
“Sedangkan MCA bekejasama dengan UMNO kami tidak tahu apa yang terjadi dengan UMNO ini, dan mereka kata dulu hendak muafakat nasional, iaitu bekerjasama dengan PAS, sekarang, macam nak berpisah dengan PAS pula.
“Jadi sekarang pandemik (Covid-10) sedang menaik, jadi lupakan perebutan kuasa dulu, fokus kepada rakyat, selesaikan semua masalah dulu, sekarang bukan sahaja pandemik, masalah ekonomi juga…. banyak yang hilang pekerjaan, kena potong gaji,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan