AGENDA DAILY
Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat rakyat akan menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selagi parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, UMNO kini sudah tidak kuat seperti dahulu, malah sekarang ini berpecah kepada empat kumpulan.
“Jika UMNO buat pemilihan parti sekali pun, UMNO tidak boleh diterima rakyat selagi kepimpinan lama yang terpalit dengan kluster mahkamah masih lagi menerajui parti,” katanya dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu juga membayangkan tidak ada mana-mana parti yang akan memenangi majoriti dua pertiga kerusi pada PRU15 nanti untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Katanya, pada masa ini terlalu banyak parti yang mahu bertanding, tetapi tidak ada satu pun parti dominan.
Setiap parti hanya akan memperoleh bilangan kerusi sedikit, justeru mana-mana parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mendirikan sebuah kerajaan minoriti, katanya.
Dr Mahathir berkata kerajaan minoriti tidak akan kekal dan parti itu akan mula mencari ‘kawan’ untuk menubuhkan satu gabungan bagi menguatkan kerajaan yang dibentuk.
“Saya fikir PRU-15 ini tidak menyelesaikan masalah. Kita dapati banyak parti bertanding. Semua parti kecil-kecil belaka. Tidak ada dominan parti. Jadi bila tidak dominan, yang dapat terbanyak berhak untuk mendirikan kerajaan minoriti.
“Tapi kerajaan minoriti tak kekal, dia nak kena cari kawan. Bila nak jadi kawan, dia cari parti lain yang akan menang akan ditubuh satu gabungan very loose (longgar),” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa gabungan pasca pilihan raya tidak sama dengan gabungan pra pilihan raya sebagaimana pembentukan Barisan Nasional (BN) dahulu apabila setiap parti komponen sudah berada dalam gabungan sejak awal.
Katanya, gabungan baharu selepas pilihan raya akan terdedah kepada ‘tawar-menawar’ kepada parti lain supaya menyertai gabungan itu.
“Kedudukan kerajaan tidak akan stabil, pasal mana-mana satu parti tarik diri, jatuh. Jadi itulah yang akan jadi dalam PRU-15,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan