ANALISIS
KENYATAAN dua pemimpin pembangkang berhubung isu yang ada kaitan dengan UMNO agak menarik untuk dikupas.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kepemimpinan parti itu memberi kebebasan penuh kepada perwakilan membahaskan dakwaan kerjasama parti tersebut dengan UMNO termasuklah rakaman perbualan kontroversi yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Kata beliau, semua perwakilan diberi ruang ‘seluas langit dan bumi’ untuk berbahas.
Semalam Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pula berkata, UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan Pakatan Harapan mesti menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau juga menegaskan, jika Pakatan Harapan gagal mendapat kerusi majoriti memerintah sudah tentu akan ada kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO.
Kenyataan dua pemimpin pembangkang itu menunjukkan mereka tidak lagi ‘alergi’ dengan UMNO. Dan ia juga membuktikan rakam audio yang heboh diperkatakan adalah benar manakala tekaan ‘jajaran baharu’ yang begitu teruja diperkatakan oleh Ahmad Zahid sebelum ini tidak mustahil akan melibatkan PKR dan DAP.
Bagaimanapun setakat ini tiada mana-mana pemimpin termasuk Ahmad Zahid mengulas kenyataan kedua-dua pemimpin pembangkang tersebut. Memang betul, itu kongres PKR tetapi ia menyentuh soal yang akan mewujudkan keraguan dalam kalangan ahli UMNO terhadap kepemimpinan parti itu.
Jadi kenapa pemimpin-pemimpin UMNO diam? Kenapa Ahmad Zahid yang sebelum ini begitu tegas menyatakan akan membuat laporan polis kerana menganggap rakaman itu sebagai politik keji tidak berkata apa-apa?
Masihkah kita ingat kata Ahmad Zahid ini;
‘’Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana audio rakaman tersebut, malah ingin tegaskan tiada sebarang perbualan saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020.
‘’Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat, jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO. Saya percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.’’
Soalnya, kalau rakaman itu dianggap ‘percaturan politik yang jahat, jijik, permainan keji’, kenapakah perwakilan kongres PKR akan dibenarkan membahaskannya? Adakah perbahasan itu bertujuan mendapat kepastian atau bagi menyatakan sokongan?
Sepatutnya Ahmad Zahid atau mana-mana pemimpin UMNO yang berani, buatlah kenyataan dengan menegaskan, biar apapun hasil kongres berhubung rakaman itu UMNO tetap berpegang kepada prinsip ‘NO DAP, NO ANWAR’ dan berpegang kapad kenyataan Ahmad Zahid rakaman tersebut ‘politik yang jahat,jijik..’
Begitu juga soal kemungkinan DAP bekerjasama dengan UMNO. Adakah itu yang dimaksudkan dengan ‘Jajaran Baharu’ politik yang diuarkan-uarkan oleh Ahmad Zahid?
Tidak seperti sebelum-sebelum ini, DAP nampaknya semakin terbuka dengan UMNO, maklumlah nada beberapa pemimpin UMNO dalam mengkritik kerajaan pun hampir sama dengan DAP.
Sebenarnya penulis berpendapat, tidak ada salahnya kalau UMNO mahu merealisasikan impian mewujudkan ‘Jajaran Baharu’ seperti mana diimpikan oleh Ahmad Zahid tetapi berterus-teranglah kepada ahli-ahli akar umbi parti itu.
Cakaplah secara telus dan jujur ke mana sebenarnya UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti setelah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Jelaskan kepada mereka apakah benar UMNO bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP bagi menubuhkan kerajaan.
Pemimpin UMNO tidak perlu takut untuk berterus terang kepada ahli-ahli parti jika mereka berpendapat langkah politik ‘Jajaran Baharu’ akan menguntungkan parti itu dan orang Melayu. Jangan dilihat atau dianggap terus membohongi ahli-ahli.
Kalaulah dalam soal menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, begitu berjaya sekali ‘penjelasan’ diberikan sehingga lebih 100 bahagian bersetuju dengan keputusan itu, kenapakah dalam soal ‘Jajaran Baharu’ ini banyak sangat ‘silat pulutnya’.
Apabila ahli-ahli UMNO tahu ke mana arah tuju parti itu selepas PRU-15 maka mudah untuk mereka membuat keputusan dalam PRU-15.
Kesimpulannya, dari semasa ke semasa, dua persoalan iaitu rakaman audio dan ‘Jajaran Baharu’ yang selama ini dianggap samar-samar atau sekadar ‘sosek-sosek’ semakin jelas kebenaran.
Justeru ahli-ahli UMNO perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak boleh menganggap kerjasama dengan PKR dan DAP sesuatu yang ganjil serta anggap sahaja ketetapan l ‘No DAP, No Anwar’ hanya sekadar slogan bagi memeriahkan perhimpunan agung.
Tetapi jika mereka tetap menolak DAP, PKR dan Anwar maka ahli-ahli UMNO perlu melakukan perubahan kepemimpinan dalam pemilihan parti itu Jun ini. Siapa yang perlu diubah dan siapa yang perlu disokong terserahlah kepada mereka.
Apa yang pasti UMNO memerlukan kepemimpinan yang tegas dalam membentuk hala tuju parti demi kepentingan parti itu, orang Melayu dan rakyat bukannya retorik apatah lagi berdolak dalik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan