HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Mei 2021

Pendedahan Hamid: Meskipun pahit, pedas, terima secara terbuka demi kebaikan negara, kata PAS

AJK Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki melihat apa disuarakan oleh 
bekas KPN itu memerlukan satu usaha yang mesti diterima secara sepakat 
oleh parti dalam kerajaan dan pembangkang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Teguran bekas ketua polis negara (KPN), Abdul Hamid Bador, perlu didengar secara terbuka oleh semua pihak walaupun pedas, kata AJK Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki.

Katanya, sekiranya teguran itu demi kebaikan negara, ia perlu dipertimbangkan.

“Sebenarnya kandungan teguran bekas KPN itu selari dengan apa diperjuangkan oleh PAS seperti termaktub dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), Manifesto Malaysia Sejahtera dan Model Kerajaan Teknokrat.

“Dalam Model Kerajaan Teknokrat, PAS mengusulkan supaya tadbir urus negara dilaksanakan secara profesional, demi mengelakkan berlaku gejala politiking sekiranya dikelolakan sepenuhnya oleh ahli politik, yang sudah tentu mempunyai agenda politik kepartian,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

Beliau berkata, dalam Manifesto Malaysia Sejahtera dikemukakan PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN), teras pertamanya berkaitan “Kerajaan Berintegriti dan Amanah” jelas menyebut usaha mengembalikan sistem pengasingan kuasa dengan memberikan kuasa sewajarnya kepada cabang legislatif, kehakiman dan eksekutif.

“Teguran bekas KPN ini saya lihat menekankan tentang profesionalisme dalam cabang eksekutif, mengelakkan berlaku politiking dalam tadbir urus, sistem pengasingan kuasa dan salah guna jentera kerajaan untuk tujuan politik kepartian.

“Meskipun pahit bagi kita menerimanya, tetapi ia selari dengan apa yang diperjuangkan PAS selama ini,” katanya.

Zuhdi berkata, beliau melihat apa disuarakan oleh bekas KPN itu memerlukan satu usaha yang mesti diterima secara sepakat oleh parti dalam kerajaan dan pembangkang.

Katanya, ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 140, yang sememangnya memperuntukkan Menteri Dalam Negeri mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Saya meragui parti dalam PH mempunyai kesungguhan politik untuk meminda Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, kerana sepanjang 22 bulan mereka memerintah, sedetik pun mereka tidak bercakap tentang keperluan meminda perkara tersebut,” katanya.

Menurutnya, sekiranya mereka boleh meyakinkan pembangkang ketika itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai had umur mengundi 18 tahun, mengapa berkaitan SPP tidak boleh diusahakan.

Tiada ulasan: