Pemimpin akar umbi UMNO di beberapa cawangan sekali lagi mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak melantik 15 Ahli Parlimen (MP) yang mengkhianati sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), jika mahu selamat.
Sumber UMNO cawangan yang menganggotai jawatankuasa bahagian memberitahu sudah tiba masanya Ismail Sabri melihat secara mendalam pengkhianatan seperti itu yang boleh berulang lagi pada masa depan jika kumpulan itu diberi peluang di dalam kerajaan.
“Mereka ini menjadi duri dalam daging jika diletakkan di dalam kerajaan. Bahaya jika orang sedemikian diberi kepercayaan menerajui mana-mana kementerian atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan) kerana akan patuh kepada ketua mereka bukan kerajaan,” katanya kepada Agenda Daily, tatkala Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Kedah, semalam.
Dalam lawatan kerja pertama selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu, Ismail Sabri meluangkan masa hampir sejam meninjau tempat tragedi kepala air dan banjir lumpur, di Tupah, Kuala Muda.
Sejurus tiba, Ismai Sabri meninjau Jambatan Tupah yang rosak akibat dihentam balak hanyut Rabu lalu, dan diberi penerangan berkaitan bencana kepala air di kawasan Kuala Muda.
Mengulas lanjut sumber itu berkata, Naib Presiden UMNO yang juga MP Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid pernah menjadi Menteri Besar dan Menteri Pelajaran sebelum ini, sewajarnya antara individu yang layak dipilih.
“Kami di peringkat bawahan pun sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Malah, kami pun dengar ada di kalangan kumpulan 15 dan penyokong mereka yang meletakkan harapan menjadi menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC.
“Mencadangkan nama orang lain sedangkan sebenarnya diri sendiri mahu jawatan tertentu adalah taktik lama,” katanya.
Katanya Ismail Sabri lebih mengetahui sikap sesetengah pemimpin UMNO sekarang ini yang memburu jawatan berbanding berkhidmat kepada rakyat.
“Ismail Sabri pernah berada di dalam Kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. Beliau sudah melihat bagaimana pemimpin UMNO bermain politik.
“Apa lagi kumpulan pengkhianat itu yang berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak peduli masalah rakyat dan negara berdepan Covid-19, asal kerajaan dapat ditumbangkan,” katanya yang menjelaskan majoriti ahli UMNO tidak menolak Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Menurutnya hanya sebilangan kecil sahaja mereka yang menolak Kerajaan PN, itupun pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) yang mempunyai orang mereka tersendiri.
“Kononnya rakyat menolak Kerajaan PN adalah tidak betul. Kumpulan itu (15 MP UMNO) hanya mewakili diri sendiri, bukannya rakyat keseluruhannya.
“Mereka menggunakan rakyat sebagai alasan saja untuk merestukan pejuangan menumbangkan Kerajaan PN. Kami pemimpin di bawah ini sudah benci dengan permainan kumpulan itu. Harap Ismail Sabri bertanding jawatan presiden parti nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan