HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Jangan pisang berbuah dua kali di Melaka

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang berlaku di PRN Sabah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pengalaman PRN Sabah mendapati terdapat peningkatan kes dan kluster yang dilaporkan bukan sahaja di negeri itu, malah di negeri lain Semenanjung Malaysia yang menyebabkan gelombang Covid-19 yang sangat besar di negara ini.

Berdasarkan pemantauan KKM, katanya peningkatan ini dikaitkan dengan pergerakan rentas negeri yang melibatkan ramai individu dari negeri lain seperti di kalangan pengundi, penyokong dan petugas parti sebelum, pada dan selepas PRN.

“Aktiviti perhimpunan berkumpulan melalui kempen PRN, kita tak nak seperti kata orang, jangan sampai pisang berbuah dua kali atau jangan nasi jadi bubur. Sebab itu, kita ambil pendekatan memperketatkan SOP,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, berdasarkan pengalaman PRN Sabah, kerajaan berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang semula di Melaka.

Katanya, SOP PRN Melaka yang ketat bertujuan mempertingkatkan langkah kesihatan awam bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di Melaka dan negeri lain.

“Ini mengambil kira Melaka masih melaporkan kes Covid-19 yang tinggi. Semalam (24 Oktober), sebanyak 262 kes baharu dengan 2,651 kes aktif dilaporkan. Lebih 6,000 kontak rapat pula dalam pengawasan. Kluster aktif pula adalah 20 yang tersebar di seluruh negeri.

“Faktor risiko kes baharu dan penularan jangkitan dengan taburan kes sporadik tinggi, iaitu 36 peratus, mengambil kira aktiviti dan perhimpunan berkaitan PRN yang lazimnya sukar dikawal pematuhan SOP akan meningkatkan risiko penularan jangkitan dan seterusnya bilangan kes dan kluster,” katanya.

Oleh itu, katanya bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19 dan kes mendadak, antara langkah pencegahan ditetapkan ialah sebarang aktiviti perhimpunan dan majlis sosial tidak dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan Dr Noor Azmi terganggu apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah dengan meminta jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengambil kesempatan menggunakan majlis rasmi untuk berkempen secara senyap ketika PRN Melaka.

Timbalan Menteri Kesihatan yang meneruskan jawapan dan tidak memberikan Rayer menghabiskan soalan menyebabkan keadaan tegang, terutama apabila Dr Noor Azmi, meninggikan suara ketika berkata: “kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kita kena sedar dan insaf terhadap apa yang berlaku di Sabah, kita mahu semua selamat.”

Ketegangan reda apabila beliau duduk dan membiarkan Rayer menghabiskan soalan dan kemudian menyambung meneruskan jawapannya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: