HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Pembangkang masih ulang ‘wayang lama’ isu Ordinan Darurat

Oleh ASLANI M
 

KUALA LUMPUR: Nampaknya pembangkang masih lagi mengungkitkan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 kerana alasan politik bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Petang ini, Ahli Parlimen DAP, Amanah dan Warisan membawa ‘wayang lama’ dengan menggambarkan pelaksanaan Ordinan Darurat bagi mengekalkan kuasa politik.

Perkara itu cuba dibangkit ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menggulung perbahasan mengungkai ordinan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat adalah suatu langkah yang terbaik dan munasabah untuk membantu rakyat ketika penularan Covid-19.

“Semua perkara yang berlaku adalah dalam pengetahuan kerajaan dan kerajaan juga mempunyai kelebihan berdasar data-data saintifik wabak tersebut sebelum Ordinan Darurat dilaksanakan.

“Malah berdasarkan penjelasan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, jelas menunjukkan wabak itu berjaya dikurangkan.

“Bagaimanapun selepas muncul varian Delta, tiba-tiba wabak Covid-19 merebak dengan cepat,” katanya ketika menggulung usul mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini.

Ordinan itu meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Dr Wan Junaidi juga berkata, jika tidak dilaksanakan Ordinan Darurat, suasana dipercayai akan menjadi lebih teruk lagi.

“Saya menasihatkan hentikanlah tuduhan yang mengatakan kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat bagi tujuan politik untuk mengekalkan kerajaan.

“Bukan niat kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat bagi mengekalkan kuasa. Sedangkan tindakan kerajaan ketika itu adalah langkah yang terbaik,” katanya.

Kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 sebagai langkah membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat di seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: