HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Dr Zainal Kling: orang Melayu bakal hilang kuasa di PRN Melaka

(PN BBC) – Penganalisis politik meramalkan orang Melayu bakal hilang kuasa politik dan Pakatan Harapan (PH) akan kembali berkuasa jika berlaku pertembungan banyak penjuru membabit UMNO, BERSATU dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berkata jika UMNO bertanding bersendirian tanpa PAS dan BERSATU maka undi Melayu sudah pasti akan berpecah, sekali gus membuka ruang kepada PH untuk kembali menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Zainal berkata keadaan itu menjadi lebih parah kerana majoriti pengundi Cina dikatakan berpihak kepada DAP yang menjadi penggerak utama PH.

“Oleh itu, saya percaya jika majoriti undi kaum Cina berpihak kepada DAP dan PKR, manakala undi Melayu berpecah kepada dua atau tiga pihak, dengan manipulasi isu rasuah dan sebagainya oleh Anwar, maka tidak mustahil PH akan kembali menerajui kerajaan negeri selepas PRN Melaka, pada 20 November depan.

“Jadi semua parti mewakili orang Melayu terutama UMNO, BERSATU dan PAS wajib bersatu padu dan tidak boleh berlagak sombong dengan mengatakan bahawa kami boleh menang jika bertanding bersendirian dan enggan bertolak ansur antara satu sama lain.

“Jika pemimpin UMNO, BERSATU dan PAS mahu melihat orang Melayu kembali menguasai kerajaan negeri Melaka maka mereka kenalah bertolak ansur antara satu sama lain kerana peluang menang sekiranya mereka bertanding bersendirian adalah amat tipis,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC hari ini.

Tambahan pula, Zainal berkata wajah UMNO sudah tercemar selepas bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibicarakan di mahkamah kerana terbabit dengan skandal rasuah.

Malah, rakyat dan pengundi di akar umbi secara umumnya sudah mengetahui masalah rasuah membabitkan kedua-dua pemimpin dan tokoh berpengaruh dalam UMNO terbabit.

“Keadaan itu diburukkan lagi apabila kejatuhan kerajaan negeri Melaka yang berpunca daripada skandal rasuah dan perebutan kontrak perlombongan pasir dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Jadi bagi saya orang Melaka memang sudah sedia maklum sebab utama mereka terpaksa menghadapi PRN sekarang adalah berkait rapat dengan sikap gila kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Jika itu rakyat Melaka sedar punca masalah sebenar PRN perlu diadakan semasa negara masih dilanda krisis kesihatan COVID-19 dan kemerosotan ekonomi maka peluang UMNO menang PRN jika mereka bertanding bersendirian tanpa bergabung dengan PN terutama PAS adalah amat tipis.

“Sebelum ini UMNO dikatakan mahu bersendirian kerana menolak PAS yang rapat dengan BERSATU biarpun parti berkenaan mempunyai imej paling bersih.

“Jika UMNO mahu bertanding sendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti termasuk PAS maka ia adalah satu perjudian besar kerana beranggapan parti itu masih kuat dan mendapat sokongan akar umbi.

Beliau juga percaya PH terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan isu skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin UMNO termasuk di Melaka sebagai bahan kempen utama pada PRN nanti.

Akhir sekali, Zainal berkata pengundi Melayu juga perlu berfikir panjang dan mengulangi kesilapan sama dengan memilih PH pada PRN Melaka nanti seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sehingga menyebabkan hak orang Melayu terhakis.

Tiada ulasan: