PKR juga tidak berpuas hati dengan garis panduan dan larangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan sebarang perhimpunan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin enggan menghiraukan keselamatan nyawa rakyat yang bakal terdedah dengan ancaman bahaya Covid-19 tetapi sebaliknya menegaskan prinsip demokrasi adalah lebih penting berbanding segala-galanya.
“Pengumuman KJ (Khairy) dilihat ‘memperolok-olokkan’ sistem demokrasi yang dipaksikan dengan pilihan raya yang bebas, adil dan pengundi yang mendapat maklumat secukupnya.
“Apa manfaat pilihan raya negeri diadakan di mana mandat yang akan diberikan adalah untuk lima tahun di dalam keadaan semua parti dihalang untuk berkempen secara biasa yang difahami oleh rakyat di atas nama Covid-19,” katanya dipetik portal Malaysiakini.
Bagaimanapun, PKR terpaksa menggunakan saluran digital dan tradisional untuk berkempen.
“Namun dengan perkembangan terkini, tentunya PKR akan memberikan tumpuan kepada kempen yang bernuansa baru memanfaatkan sepenuhnya platform digital dan strategi kempen cara tradisional seperti selebaran risalah dan kempen bergerak,” katanya.
PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam mengumumkan parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang bentuk perhimpunan sepanjang PRN Melaka berkuat kuasa esok sehingga 27 November depan.
Keputusan larangan itu diambil bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak.
Larangan ini berdasarkan peruntukan di bawah Subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat mengikut Subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan