HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

PRN Melaka hanya mainan politik pihak tertentu – Tun M

 MALAYSIA POST

PRN Melaka hanya mainan politik pihak tertentu – Tun M

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan bermula 8 hingga 20 November ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pejuang bukan sahaja tidak bertanding, malah ahli-ahlinya juga tidak akan membantu pihak lain dalam pilihan raya itu.

Menurutnya, ia kerana kepimpinan Pejuang berpendapat PRN Melaka hanyalah mainan politik pihak tertentu serta tidak sepatutnya diadakan susulan wabak Covid-19 masih melanda negara.

“Sidang media ini khusus berkenaan PRN Melaka. Awal-awal lagi saya nak katakan Pejuang tidak akan ambil bahagian dalam pilihan raya ini.

“Sebabnya adalah kita anggap ini mainan politik. ‘Mereka’ ini tidak serius dalam politik..kita masuk dalam politik untuk berkhidmat kepada negara dan memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat.

“Tetapi ‘mereka’ ini cuma masuk politik untuk nak dapatkan jawatan,” katanya dalam sidang media Pejuang di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, golongan terbabit dilihat menggunakan peluang yang ada untuk mendapatkan jawatan termasuk menarik sokongan dengan harapan akan menggantikan kerajaan.

“Inilah yang berlaku di Melaka…mereka yang merancang ini bertindak tarik sokongan kepada kerajaan dengan harapan mereka akan mengganti kerajaan kerana beranggapan mempunyai majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan.

“Tetapi musuh mereka yang dari parti sama berusaha supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar dan dengan itu terpalsa diadakan PRN,” katanya.

Dr Mahathir berkata, perlu disedari bahawa ketika ini bukanlah waktu yang sesuai untuk diadakan pilihan raya kerana pandemik Covid-19.

“Pengalaman sebelum ini apabila diadakan PRN Sabah kes Covid-19 meningkat yang akhirnya hingga ke 25,000 kes.

“Sekarang kes kembali turun, tetapi jika kita adakan pilihan raya dikhuatiri akan berlaku lagi peningkatan kes yang berpunca daripada PRN Melaka pula,” katanya.

Beliau berkata, PRN tidak patut diadakan sama sekali dan kejatuhan kerajaan Melaka juga tidak patut diusahakan di mana mereka yang bertanggungjawab menjatuhkannya menganggap seolah-olah DUN adalah hak mereka.

“DUN adalah untuk menyelesaikan masalah…kalau ada masalah ada cara menyelesaikannya melalui perbahasan dan undi dalam Dewan dengan tidak menjatuhkan kerajaan.

“Di Malaysia ini menarik sokongan atau lompat parti tidak menjadi satu kesalahan, tiada undang-undang yang menghalang daripada berbuat demikian, tetapi dari segi moral mereka harus ingat mereka dipilih oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya, negara akan hancur jika ada pihak yang dengan mudah menjatuhkan kerajaan demi kepentingan peribadi seolah-olah ini adalah permainan politik mereka.

“Sebab itu Pejuang tidak ingin terlibat dengan gejala seperti ini dan kita tidak akan ambil bahagian serta percaya bahawa siapa juga yang dipilih untuk mendirikan kerajaan keadaannya sama sahaja tiada perubahan.

“Ini kerana mereka yang akan bertanding bukan memikirkan apa yang boleh buat untuk memajukan Melaka, tetapi sebaliknya untuk mereka dapat jawatan dan gaji yang baik sahaja,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: