PUTRAJAYA – Wanita UMNO menafikan sayap parti itu kelihatan lesu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Ketua Penerangannya, Datuk Nurshida Ibrahim menegaskan, walaupun pernah bersedih selepas kerajaan BN tumbang, ahli Wanita UMNO kembali bekerja seperti biasa selepas itu sehingga hari ini.
Jelas beliau, jentera Jalinan Rakyat (JR) kini bergerak aktif di akar umbi bagi memastikan sokongan rakyat kekal kuat kepada UMNO dan BN.
“Kalau kata lesu, di mana lesunya kerana Wanita UMNO sentiasa bekerja dan masih bersemangat. Apa berlaku di pimpinan atas, kami tidak gentar untuk terus bekerja kerana kami dokong parti yang bawa harapan dan mampu bela rakyat.
“Kalau kita lihat Wanita UMNO ada kekuatan tersendiri untuk buat kerja dan saya tidak nampk kata kami tidur, lesu, suam dan itu adalah dakwaan tidak berasas,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.
Nurshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat menambah, sayap itu masih menjadi tulang belakang parti kerana penglibatan ahli-ahlinya yang sentiasa aktif.
Kata beliau, ini dapat dilihat ahli-ahli Wanita UMNO menjadi penentu sama ada mesyuarat-mesyuarat cawangan ketika ini dapat dilaksanakan.
“Kita lihat penglibatan Wanita UMNO dalam parti masih kuat. Contoh dalam permulaan mesyuarat cawangan yang memerlukan penglibatan ahli wanita.
“Kalau ahli Wanita UMNO tidak hadir, korum tidak cukup dan mesyuarat akan batal. Jadi ahli Wanita UMNO memang tulang belakang parti dan kini, seiring bersama parti untuk jadi perisai agar dapat membela rakyat dan membantu politik yang stabil,” katanya.
Nurshida memberitahu, mood ahli Wanita UMNO juga ketika ini semakin tinggi selepas jawatan Perdana Menteri telah kembali kepada parti itu.
“Sebenarnya ahli Wanita UMNO memang sangat teruja dan gembira apabila kita dapat calon Perdana Menteri daripada UMNO dan dari situ saya rasa jadi suntikan yang kuat dan sangat bersemangat kepada Wanita UMNO untuk terus bekerja kerana kita melihat kepimpinan kerajaan diterajui oleh UMNO dan BN sendiri.
“Kita harap semoga dengan adanya kepimpinan nombor satu ini daripada UMNO membuatkan ahli Wanita UMNO akan bekerja kuat dan berfokus kuat dengan adanya fasiliti-fasiliti kerajaan yang dapat membantu mereka khususnya di akar umbi untuk terus bergerak dan kita anggap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai penyuntik Wanita UMNO di akar umbi,” katanya. – MalayasiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan