HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Zahid kata UMNO tolak DAP tapi cakap tak serupa bikin


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang teguh menolak idealisme DAP dan tidak pernah menjalin kerjasama politik dengan parti itu dalam apa bentuk sekali pun.

Sambil menyindir parti lain, beliau berkata ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu UMNO menentang DAP tetapi Bersatu ketika itu menjulang perjuangan parti berkenaan.

Beliau juga mendakwa Bersatu meninggalkan DAP hanya selepas melihat sokongan rakyat semakin merosot.

“Sejarah politik tanah air menyaksikan UMNO/BN parti politik yang teguh menolak idealisme DAP. UMNO/BN malah tidak pernah menjalin kerjasama politik dengan DAP dalam apa bentuk keadaan sekali pun.

“Semasa PRU-14 UMNO melawan DAP sedangkan PPBM ketika itu ke sana ke sini menjulang parti DAP. UMNO/BN mengingatkan rakyat apakah itu DAP, PPBM menghasut orang Melayu di kampung dan bandar mengundi DAP.

“Selepas PRU-14 UMNO/BN tetap menolak DAP, PPBM pula bersekutu dan berusaha mempertahankan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kenyataan Zahid bertentangan dengan perbuatan dan tindakan UMNO yang mesra DAP tatkala negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Bersatu.

Zahid sendiri bersama rakan karibnya Datuk Seri Najib Razak – kedua-duanya terpalit dengan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah – bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9.

Surat menyokong Anwar menjadi PM 9 ditandatangani Zahid dan Najib, tanpa pengetahuan Ahli Parlimen (MP) UMNO dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan mereka tidak pula menafikannya.

Sekiranya Anwar menjadi PM sekali gus akan turut mengangkat DAP, UMNO dan Amanah untuk menjadi kerajaan. Silap-silap Zahid akan kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan kes-kes mahkamahnya akan diketepikan.

Selain itu, Zahid juga pernah mendakwa akan bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan Perak ketika krisis politik di negeri itu pada Disember 2020 hingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Bersatu.

Terbaharu, pada malam sebelum kerajaan Melaka tumbang 4 Oktober lalu, UMNO cuba bersekongkol dengan DAP bagi menyelamatkan kuasa dan kedudukan yang dimiliki ketika itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri mengakui mengadakan perbincangan dengan DAP selepas mendapat restu pimpinan tertinggi UMNO.

Tapi, Rauf memberi alasan kononnya mahu mengikut jejak Kerajaan Pusat pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Peliknya, ketika memerintah Melaka selepas kerajaan PH tumbang atau setelah Ismail Sabri mengadakan MoU itu, Rauf dan UMNO tidak pula ingin mengadakan kerjasama sedemikian di peringkat negeri. Cuma apabila saat genting kerajaan UMNO Melaka akan tumbang baharu hendak mengadakan kerjasama.

Bagaimanapun, UMNO dimalukan apabila DAP menolak untuk menyelamatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu.

Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN bagi membolehkan mandat diberikan kepada rakyat memilih kerajaan negeri baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (16 November) dan pengundian biasa (20 November).

Tiada ulasan: