Larangan berhimpun yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditolak DAP Melaka kerana ia akan menyukarkan mereka untuk berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menyifatkan larangan tersebut akan menyukarkan peluang mereka untuk menang besar di Melaka dan larangan tersebut hanya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan kerana mereka terpaksa bergantung kepada kempen menerusi media sosial.
“Apabila larangan kempen pilihan raya dikuatkuasakan, BN/PN (Barisan Nasional-Perikatan Nasional) ada kelebihan untuk berkempen melalui media massa yang dikuasai kerajaan tetapi kami di Pakatan Harapan (PH) hanya terpaksa bergantung pada media sosial,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Kok Kiew mendesak supaya larangan tersebut ditarik balik supaya rakyat dapat bertemu dengan calon yang akan bertanding dalam PRN nanti.
“Kita mahu semua pihak menyaksikan siapa calon pilihan raya yang mampu memberikan idea mengenai pembangunan ekonomi, politik dan sosial secara komprehensif bagi memajukan Melaka,” katanya.
PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam mengumumkan parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang bentuk perhimpunan sepanjang PRN Melaka berkuat kuasa esok sehingga 27 November depan.
Keputusan larangan itu diambil bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak.
Larangan ini berdasarkan peruntukan di bawah Subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat mengikut Subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP bertanding lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang semuanya manakala PKR bertanding tujuh kerusi tetapi menang tiga dan Amanah bertanding enam kerusi, menang dua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan