
PETALING JAYA: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR membuat kejutan dengan membawa ayam segar ke persidangan DUN Perak hari ini, sebagai membantah kenaikan harga barang yang didakwa berlaku sejak sebulan lalu.
Ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) mengangkat seekor ayam segar dan menegur Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri supaya mengambil berat terhadap isu kenaikan harga barang.
“Saya nak hadiahkan ayam ini sebab tak ada tindakan yang diambil oleh Exco. Saya nak tanya, ada tak dialog diadakan bersama peruncit, pengusaha dan pemborong untuk melihat di mana masalah sebenar kenaikan harga ini?
“Apa peranan Exco, adakah ada tindakan diambil? Saya sendiri buat kerja macam Exco contohnya kita panggil pemborong, peruncit dan rakyat untuk dapatkan maklumat di mana salah silapnya di mana puncanya ke arah penyelesaian,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Arafat berkata, ayam itu dibeli dari sebuah premis di kawasan DUN Gunung Semanggol bagi membandingkan harga yang tinggi iaitu sebelum 7 Dis lebih kurang RM10 sekilogram dan terkini RM9.30 sekilogram berdasarkan harga kawalan musim perayaan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Sementara itu, Arafat ketika dihubungi FMT berkata tindakannya itu adalah untuk menjelaskan masalah sebenar dihadapi rakyat ketika ini.
“Tujuan nak jelaskan betapa serius kenaikan harga sekarang menyusahkan rakyat, merisaukan rakyat dan kesusahan rakyat akibat kenaikan harga,” katanya.
Katanya, isu harga ayam itu ditujukan kepada Razman kerana kenaikan harga barang berpunca di peringkat ladang.
Belanjawan 2022 Perak dibahaskan hari ini bagi sesi Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan