HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2021

Dominic, jangan cari publisiti murahan – Razlan

Nilam Oshman

Dominic, jangan cari publisiti murahan – Razlan

PRESIDEN GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai jangan cari publisiti murahan seperti Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan cara menghasut dan dendam, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau berkata, kenyataan Dominic semalam yang menyatakan Yayasan Penjaja dan Perniagaan Kecil 1Malaysia (YPPKM) yang ditubuh partinya tidak sama dengan yayasan diasaskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan tindakan terdesak untuk meraih hati rakyat.

Katanya, selain itu, difahamkan beliau juga turut melobi Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi senator, sekali gus menyebabkan ahli partinya marah kerana mereka menganggap Dominic lebih pentingkan jawatan dan dirinya.

“Saya tak faham apa maksud Presiden Gerakan ini, dia suka mencari publisiti murahan kerana sudah terdesak dalam mencari tempat di hati rakyat Malaysia.

“Terbaru, Dominic sanggup melobi Muhyiddin untuk dilantik sebagai senator. Tindakan ini telah menyebabkan ahli Gerakan marah sebab presiden hanya fikir jawatan untuk kepentingan individu.

“Sebagai presiden parti yang pernah memerintah Pulau Pinang, tindakan melobi untuk senator menunjukkan beliau tidak yakin Gerakan akan memenangi walau satu kerusi di PRU 15.

“Saya syorkan Dominic untuk hati-hati mencari kekuatan sendiri dan jangan hanya menumpang dengan kekuatan parti lain. Jangan cari publisiti murahan cara PH dengan menghasut dan dendam,” katanya.

Tambahnya, pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini sudah terbukti politik hasutan ini tidak diterima, maka elok sahaja bubar Gerakan dari menumpang. – Malaysiapost

Tiada ulasan: