HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Disember 2021

Gerakan DAP singkir Anwar sah wujud, dua wakil PKR dihantar jumpa Zahid


Spekulasi wujud gerakan dikalangan pemimpin DAP yang mahu menyingkirkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi cerita dongeng tetapi ia sah wujud dan sedang dirancang dengan rapi.

Bagaimanapun Anwar dapat menghidu gerakan tersebut selepas menerima maklumat dalaman beberapa wakil DAP dalam parti yang setia kepadanya.

Individu pertama yang mengesahkan wujud gerakan untuk menurunkan Anwar daripada mengetuai blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) adalah bekas pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Cheng Hau mendakwa terdapat beberapa mesyuarat dalam talian, Zoom diadakan dalam kalangan MP, bekas menteri dan akar umbi DAP sebenarnya cuba memujuk supaya tidak menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi PH, sebaliknya memilih Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendedahan itu juga disahkan kemudiaannya Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak yang mengakui terdapat beberapa pemimpin DAP yang cenderung menyokong Dr Mahathir sebagai calon PM dan membuat kritikan terbuka kepada Presiden PKR itu.

“Kita tak terkejut dengan pendedahan ini sebab bagi kita sikap beberapa kepimpinan DAP terhadap Dr Mahathir dan kecenderungan mereka menyokong bukan lagi perkara yang tersembunyi, ia dapat dilihat dengan jelas.

“Beberapa pemimpin DAP cenderung memihak dan lebih bersimpati kepada Dr Mahathir dan sikap kritikal beberapa pemimpin DAP terhadap Anwar juga bukan perkara yang boleh disorok lagi, ia memang berlaku,” katanya dipetik dalam satu laporan media sebuah portal.

Ia secara tidak langsung mengesahkan laporan Agenda Daily sebelum ini sememangnya wujud usaha dan gerakan tersusun yang sedang dirancang DAP bersama-sama beberapa pemimpin Parti Amanah yang tidak lagi percaya dengan kemampuan Anwar untuk membawa kemenangan kepada PH, ia susulan kekalahan teruk semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Sekiranya Anwar dibiarkan terus mengetuai blok pembangkang itu, keputusan lebih teruk akan dihadapi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sudah sampai masanya untuk rakan parti itu membuat semakan realiti terhadap Anwar.

Sumber memberitahu terdapat pemimpin dalam DAP dan Amanah yang sudah resah melihat keputusan PRN Melaka, ia menandakan isyarat penolakan yang kuat terhadap mereka dan membuktikan Anwar sudah gagal serta tidak lagi relevan di kalangan rakyat.

Laporan Agenda Daily sebelum ini akhirnya disahkan oleh dua pemimpin yang pro-Anwar sendiri dan mereka mengakui gerakan tersebut bukan cerita dongeng semata-mata.

Dalam pada itu, senario sebenar semakin jelas mengapa Anwar menghantar dua wakil pemimpin kanan PKR bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas PRN Melaka dan berterusan berkomunikasi secara sulit.

Tindakan Anwar yang menyuruh dua budak suruhannya itu bertemu Zahid sebenarnya bertujuan untuk meminta bantuan atau dalam erti kata sebenar adalah meminta nyawa politik untuk membantunya dalam berdepan tentangan DAP yang sudah tidak lagi mempercayainya.

Ia semakin difahami mengapa Anwar begitu terdesak sehingga sanggup menggadaikan prinsipnya sekali lagi apabila cuba berunding dengan pemimpin UMNO yang diketahui umum sedang berdepan dengan puluhan pertuduhan kes rasuah di mahkamah ketika ini.

Langkah Anwar itu sebenarnya cuba mengulangi gerakan sama yang dirancang bersama dengan anak muridnya sebelum ini dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya Anwar tidak pernah serik ditipu anak muridnya, ia semakin terbukti beliau sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan peluangnya daripada menjadi PM terkubur.

Oleh sebab itu, ia juga semakin difahami mengapa tiba-tiba idea untuk menggabungkan Amanah dengan PKR sebagai satu parti timbul, namun nampaknya usaha yang cuba dirancang untuk menakut-nakutkan DAP gagal apabila ia ditolak mentah-mentah pemimpin Amanah berhubung cadangan tersebut.

Sebaliknya, Anwar bertambah tersepit apabila kritikan demi kritikan dibuat terhadapnya, ia semakin terserlah semasa PRN Sarawak yang sedang berlangsung apabila DAP langsung tidak memberi muka kepada Anwar terutamanya dalam isu berkaitan pembahagian kerusi.

DAP Sarawak secara terbuka mengkritik dan membidas Anwar supaya tidak memandai-mandai dalam isu politik Sarawak, malah beliau dihina seperti bukan seorang lagi Ketua kepada PH walhal dirinya adalah Pengerusi PH.

Kekalahan dalam PRN Sarawak bukan sesuatu yang baik untuk Anwar, ia berkemungkinan menjadi penentu kepada masa depan beliau sama ada akan kekal sebagai calon PM bagi PH atau disingkirkan serta-merta.

Namun, pemimpin atasan DAP seperti Lim Guan Eng dan beberapa individu yang merupakan penyokong kuatnya, agak mustahil untuk mereka menerima idea meletak Dr Mahathir sebagai calon PM selepas ini kerana kesetiaan mereka hanya kepada Anwar.

Namun, DAP boleh memilih untuk kekal bersama dengan Anwar dan berdepan risiko bakal kehilangan lebih banyak kerusi dalam PRU-15 nanti kerana sanggup melayani strategi bodoh Anwar yang berterusan dan tidak serik berunding dengan Zahid dan UMNO.

Paling tidak boleh dilupakan orang ramai adalah bagaimana Anwar boleh mengeluarkan kenyataan mempertahankan pemimpin UMNO yang lompat parti dengan memberi label ‘katak berprinsip’ sehingga mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan kepada blok pembangkang, PH.

Tiada ulasan: