GPS memenangi 75 kerusi setakat ini, mengatasi rekod 72 kerusi dimenangi Adenan Satem yang mengetuai BN Sarawak pada 2016.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Abang Johari Openg hari ini berjaya memecahkan rekod Adenan Satem pada 2016 dalam meraih bilangan kerusi paling banyak pada pilihan raya negeri (PRN).
Keputusan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan GPS memenangi 75 kerusi UN dari 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, keputusan kerusi Mulu masih belum disahkan SPR.
Ia adalah ekoran cuaca buruk sehingga menyebabkan pengangkutan peti undi ke pusat kiraan undi rasmi di Kuching tertunda, kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.
Adenan mengetuai Barisan Nasional memenangi 72 kerusi pada PRN 2016.
Sebelum ini, GPS yang meletakkan calon di semua 82 kerusi DUN yang dipertandingkan menyuarakan keyakinannya untuk menyapu bersih kerusi DUN pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, pemerhati politik Sarawak James Chin dari Universiti Tasmania turut meramalkan kemenangan besar GPS, mengatakan GPS mungkin memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi dan mampu meraih lebih dari angka itu jika mampu mengubah pandangan pengundi.
Bercakap pada sidang media di Kuching, Ghani berkata keputusan bagi Mulu akan diumumkan esok.
Beliau berkata peti undi dari Long Seridan, Long Linei dan Sungai Belasoi mungkin tidak akan sampai di pusat kiraan undi SMK Telang pada malam ini kerana helikopter yang dijadualkan mengangkut peti undi itu tidak dibenarkan berlepas ekoran cuaca buruk.
“Keputusan bagi DUN itu akan diumumkan selepas peti undi yang terkandas diterima pusat kiraan,” katanya.
“Kadar peratusan pengundi yang keluar mengundi juga akan diumumkan pada masa yang sama.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan