SAYAP Pemuda UMNO di 176 bahagian di seluruh negara menyatakan pendirian yang mengecewakan ramai akar umbi dengan menggesa agar pemilihan parti dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pendirian yang memperlihatkan Pemuda UMNO sebagai ‘harimau tidak bertaring’ itu dinyatakan oleh Setiausahanya, Hasmuni Hassan dalam kenyataan media hari ini.
Majoriti akar umbi UMNO sangat berharap agar Pemuda UMNO dapat kembali bangkit sebagai ‘ginger group’ atau kumpulan pendesak dalam parti, seperti semas era kegemilangan sayap tersebut di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Harun Idris dahulu.
Pemuda UMNO sebelum era kepimpinan Khairy Jamaluddin dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berani menyatakan pendiriannya sendiri meskipun berbeza dengan arus perdana parti.
Sekiranya apa yang dibuat oleh kepimpinan parti adalah betul, mereka sokong. Kalau salah, mereka bantah.
Sebelum ini, Pemuda UMNO pernah melakukan kesilapan apabila ‘takut’ untuk menyuarakan pandangan yang jujur berhubung pembabitan Presiden parti ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mungkin, kepimpinan Pemuda UMNO ketika itu khuatir nama mereka tidak disenaraikan sebagai calon pada PRU-14 jika mereka berani membuka mulut.
Akibatnya, UMNO menerima padah apabila mengalami kekalahan yang memalukan dan terpaksa menjadi pembangkang selama 22 bulan di Parlimen.
Kini, mereka sedang mengulangi kesilapan yang serupa dan mungkin juga kerana takut nama tidak dicalonkan pada PRU-15.
Apakah mereka tidak sedar bahawa kepimpinan parti masih belum bebas daripada cengkaman kluster mahkamah?
Sekiranya UMNO memasuki PRU-15 dengan muka-muka kluster mahkamah sebagai pemimpin tertingginya, episod hitam PRU-14 bakal berulang.
Rakyat terutamanya generasi muda yang baru kali pertama mengundi pasti menghukum UMNO kerana gagal membersihkan imej parti yang tercemar akibat skandal salah guna kuasa dan rasuah walaupun telah diberi peluang untuk ‘bertaubat’.
Sebagai sayap yang dekat dengan golongan muda, Pemuda UMNO sepatutnya memahami hakikat ini. Kecuali mereka juga terperangkap dalam ‘sindrom syok sendiri’ lebih-lebih lagi selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Akar umbi berharap agar kepimpinan Pemuda UMNO khususnya Asyraf Wajdi berlaku jujurlah kepada diri sendiri.
Mereka yang di atas kayangan mungkin tidak memahami betapa peritnya hidup akar umbi di bumi selepas UMNO tidak lagi menjadi kerajaan dahulu.
Selain dikeji dan dihina, sebahagian akar umbi hidup menderita apabila hilang pekerjaan dan yang menjadi usahawan sukar bernafas jika diketahui ada kaitan dengan UMNO.
Kali ini, dengarlah suara akar umbi yang mahu melihat UMNO melakukan pembersihan dalaman sebelum PRU-15.
Mereka mahu melihat muka-muka pemimpin yang bersih dan amanah seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengepalai parti.
Kembalikanlah era kegemilangan Pemuda UMNO yang berani dan tahan lasak dalam membawa suara akar umbi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan