HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2021

PKR terbuka, sedia bincang cadangan tanding solo PRU-15 - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Santai Bersama Nelayan di Batu 3, Pantai Bagan Pinang, Port Dickson. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Santai Bersama Nelayan di Batu 3, Pantai Bagan Pinang, Port Dickson. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan parti itu menghormati pandangan dan tafsiran berbeza daripada anggota dan pemimpinnya dalam menentukan kedudukan PKR, sama ada perlu bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Port Dickson itu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata pihaknya mendengar dan menghormati pandangan yang diberi dan akan membuat kajian teliti.

"Semua orang nak cari dalih dan alasan mengapa parti ini kalah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini," katanya ketika ditemui media selepas program santai bersama nelayan Port Dickson di Pantai Bagan Pinang, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim dipetik menasihatkan PKR agar bertanding secara solo sekiranya perlu pada PRU-15 akan datang.

Sementara itu, Anwar berkata, semua pihak dalam PH harus mencari jawapan kepada kekalahan parti itu dalam PRN Melaka sebelum mengambil apa-apa tindakkan.

Beliau juga menyatakan kesediaan berundur jika itu yang dikehendaki parti, tetapi jalan penyelesaian perlu dicari agar parti terus relevan.

"Saya sedia menerima sebarang kritikan kenapa kita kalah di Melaka dengan pelbagai penafsiran berbeza dan juga alasan, tetapi kita harus mencari jalan penyelesaian.

"Pada masa sama, kita akan buat kajian dan dengar pendapat semua pihak (pimpinan PH) berkenaan PRN Melaka sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Mengenai kenaikan harga barang asas, termasuk ayam dan sayur-sayuran ketika ini, Anwar berkata, perlu ada satu jawatankuasa Kabinet diwujudkan bagi mencari jalan penyelesaian, antara lain membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kewangan membincangkan hal itu.

"Ini libatkan soal modal, pasaran, suntikan dana daripada kerajaan. Tidak boleh lepas tangan, soal harga baja tinggi, betul kalau naik sedikit pun mesti kawal, macam harga ayam, kenapa ada sesetengah (tempat) ada RM8.90 ada RM10. Ini soal pemasaran menyeluruh," katanya.

Tiada ulasan: