Beliau berkata persefahaman dicapai dalam mesyuarat bersama Pengerusi GPS Abang Johari Openg.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata gabungan yang diketuainya itu akan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Bercakap pada sidang media di Kuching, Muhyiddin berkata persefahaman dicapai ketika mesyuarat bersama Pengerusi GPS Abang Johari Openg beberapa minggu lalu.
Beliau berkata persefahaman itu termasuk Bersatu memberikan laluan kepada GPS dengan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan sebagai timbal balik GPS akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
“Pada PRU akan datang, kami tidak akan lawan sesama sendiri, tetapi akan bekerjasama,” katanya.
“Kami percaya, kami dapat bantu tambah lebih banyak kerusi Parlimen.”
Muhyiddin berkata Abang Johari sudahpun sedia untuk bekerjasama dengan Bersatu ketika mereka bertemu di kediamannya.
“Kami capai persefahaman bagi PRN, kami akan sokong GPS,” katanya.
“Abang Johari faham, dan dia kata bagi PRU, itu terbuka. Itulah apa yang dia kata.”
Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu berkata kerjasama itu akan memperkukuhkan kedudukan Sarawak di Parlimen.
“Sarawak dengan 18 ahli Parlimen GPS memberi sokongan penuh kepada saya ketika saya menjadi perdana menteri,” katanya.
“Tanpa mereka, kita tidak boleh bentuk kerajaan persekutuan. Apa yang kami mahu pada masa depan adalah untuk perkukuhkan dengan penyertaan kami.”
Beliau menambah Bersatu sudah berjanji untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak.
“Jadi, saya harap persefahaman itu akan dihormati.”
Beliau turut memuji Naib Pengerusi Bersatu Sarawak Ali Biju kerana menarik diri daripada bertanding di Krian.
Beliau berkata Bersatu tetap berpegang kepada janji walau sokongan akar umbi menggesa pimpinan parti itu untuk terus bertanding dalam PRN Sarawak.
“Tindakan beliau itu mulia dan sangat terhormat,” katanya mengenai Ali.
“Pengorbanan beliau itu sunggah bermakna dalam menghormati persefahaman antara Abang Johari dan saya dalam memperkasakan kerjasama Bersatu dan GPS di Sarawak.
“Ada persefahaman supaya penyokong kami tidak rasa kecewa,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan