Bernama

Pada
PRN 2016, Awang Tengah (gambar) menang tanpa bertanding sementara pada
PRN 2011 beliau menang dengan majoriti 5,063 undi mengalahkan calon PKR
Japar Suyut. - Gambar fail
LAWAS:
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari di sini dijangka menjadi
'medan pertempuran' sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Menjelang
hari penamaan calon esok, Bukit Sari, yang menjadi kubu kuat Gabungan
Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),
diramalkan menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru.
Setakat
hari ini, hanya GPS dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) secara rasmi
mengesahkan calon masing-masing iaitu penyandang kerusi, Datuk Amar
Awang Tengah Ali Hasan (GPS) yang menang tanpa bertanding di Bukit Sari
pada PRN ke-11, manakala PBK diwakili pesara tentera Riyah Basrah.
Bagaimanapun,
menurut sumber, dua calon itu dijangka berdepan saingan daripada
beberapa calon termasuk daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas.
"Difahamkan,
PSB akan hantar calon untuk bersaing dan parti pembangkang dari
Semenanjung mungkin letak calon juga pada saat akhir esok serta individu
bebas," katanya kepada Bernama.
Pada PRN
2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding sementara pada PRN 2011
beliau yang juga Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi
mengalahkan calon PKR Japar Suyut.
Sebelum
ini, berdasarkan senarai calon Pakatan Harapan pada PRN ke-12, PKR dan
DAP masing-masing tidak meletakkan calon mereka di Bukit Sari, begitu
juga dengan PAS.
Sementara itu, parti
lain yang berhasrat bertanding dalam gelanggang pilihan raya negeri kali
ini iaitu PSB dan Parti Amanah Negara (Amanah), belum mengumumkan
secara rasmi calon mereka setakat hari ini.
Suruhanjaya
Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak
sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Dis manakala hari
mengundi pula pada 18 Dis.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan