Amri
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan ‘backbenches’ menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam adalah mengulangi perkara yang pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, situasi yang secara tiba-tiba muncul itu seperti mengulangi sejarah yang pernah terjadi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
“Bila berlakunya pernyataan sekumpulan Ahli Parlimen sebegini, teringat saya kepada kenyataan yang sama terhadap kepimpinan Tun Mahathir sebelum dia sendiri meletakkan jawatan.
“Masa tu pun, tak ada ribut apa-apa. Hanya PRK Tanjung Piai bakal diadakan dan BN sudah pun menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau,” katanya di Facebook, hari ini.
Kenyataan terbaharu Shahrir ini mengundang tanda tanya sama ada beliau bersetuju atau sebaliknya dengan pendirian ‘backbenches’ itu.
“Sekarang ni, BN baru je menang besar di PRN Melaka sehingga mampu menubuhkan sebuah kerajaan yang ‘dominan’, iaitu kuat dan stabil.
“Mungkin ini caranya Ahli-ahli Parlimen kita ni sambut kemenangan Umno dan BN,” katanya.
Dalam sidang media di Parlimen semalam, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Pro Kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman menyeru Perdana Menteri perlu diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara.
Beliau berkata, kejayaan dicapai Perdana Menteri ialah sokongan majoriti dua pertiga untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, sokongan Bajet 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan