HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Disember 2021

UMNO Pasir Gudang sokong PM sampai PRU15

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

PASIR GUDANG: UMNO bahagian Pasir Gudang memberikan sokongan penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik dan negara.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sokongan itu hanya bersifat sementara hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Bila tiba waktunya, kerajaan mesti kembali mendapatkan mandat rakyat, membubarkan Parlimen dan bertanding sebagai jaguh dalam pilihan raya tanpa berlengah.

"Ia adalah kerajaan interim, kerajaan yang terbentuk tanpa mandat rakyat, tetapi berfungsi dengan kepercayaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PH untuk mewujudkan kestabilan politik demi memulihkan negara.

"Kepimpinan UMNO bertindak menyetujui aturan kerajaan pada hari ini kerana mahu kerajaan mengutamakan pemulihan negara daripada wabak COVID-19, sebab jika tidak disokong, orang Melayu akan terkesan dan terhimpit.

"Walaupun kerajaan sekarang dipimpin oleh pemimpin UMNO, ia bukan kerajaan UMNO. Ia hanya mempunyai Perdana Menteri daripada UMNO. Kerajaan sekarang terhasil daripada sokongan parti-parti kecil, tiada parti dominan dan kita berpendapat ia tidak stabil, tidak kuat. Jadi persoalan saya ialah sampai bila mahu begini?

"Kita tidak boleh membiarkan kerajaan dengan sokongan sebegini untuk menguruskan negara. Bertukar Perdana Menteri tiga kali dalam hanya tempoh 43 bulan. Apa lagi mengurus negara dengan Mou bersama pembangkang," katanya selepas perasmian Persidangan UMNO bahagian Pasir Gudang, hari ini.

UMNO bahagian Pasir Gudang mengusulkan dan meluluskan tiga perkara iaitu kerajaan persekutuan hendaklah menggubal Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Kedua, mengusulkan kepada pucuk pimpinan negara agar membubarkan parlimen dengan seberapa segera dan ketiga, berpendirian bahawa kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Pasir Gudang dikekalkan untuk UMNO, manakala kerusi DUN Johor Jaya dikekalkan kepada calon BN.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled menjelaskan UMNO bersedia bergerak secara solo pada PRU15 sebagai BN.

Katanya, UMNO dan kepimpinannya perlu yakin dengan ketahanan, kemampuan dan kekuatan untuk kembali mentadbir negara.

"Jadi, adalah lebih baik jika Umno bersedia untuk bergerak solo sebagai BN dan berdiri di atas kaki sendiri tanpa memusuhi rakan taulan dari PAS di lapangan.

"Hentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah. Apa lagi bergantung dengan BERSATU atau PH sebagai talian hayat dan nyawa simpanan," katanya.

Tiada ulasan: