Memang senang kita yang bukan mangsa banjir menasihati mangsa banjir bersabar. Mudah untuk beritahu mereka jangan berburuk sangka lalu mesti berbaik sangka.
Kita dapat saksikan sekarang mangsa banjir sedang marah dan diakui ada kalanya kemarahan mereka keterlaluan. Namun seperti dikatakan tadi, amat mudah memberi mereka bermacam-macam nasihat kerana kita bukan mangsa banjir. Kita tidak rasa secara langsung apa yang mereka rasai walaupun kita amat bersimpati atas apa yang menimpa mereka. Pun begitu berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Saya tidak bercadang menghuraikan ciri-ciri dan sebab kemarahan mereka. Cuma ingin “memperbetulkan” (jika itu perkataan yang boleh digunakan) tuduhan mangsa banjir (dan juga bukan mangsa banjir) bahawa politikus kita, khususnya wakil rakyat, tidak kira Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang bergelar YB atau Yang Berhormat tidak datang melawat kawasan banjir.
YB dan juga politikus yang bukan YB (atau bercita-cita jadi YB tetapi belum jadi YB serta bekas YB yang mengidam kembali jadi YB) semenangnya cepat dan pantas turun padang untuk bertemu dan menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa banjir.
Mereka tahu tidak melawat kawasan bencana ialah ibarat membunuh diri secara politikal atau “political suicide”. Mereka tahu tidak muncul bermakna akan ditendang pengundi pada pilihan raya akan datang, atau tidak dipilih parti jadi calon kerana dianggap sebagai bebanan. Yang mahu buat “comeback” pula kemungkinan besar menyaksikan impian mereka terkubur.
Lantas saya kata YB kita dan golongan sewaktu dengan mereka tidaklah sebodoh itu untuk tidak datang melawat kawasan banjir sekaligus mencetuskan kemarahan rakyat yang akan menghukum mereka. Mereka tahu itu semua kerana mereka (saya ulang) tidaklah sebodoh itu.
Tetapi ada juga kebodohan (lain?). Bak kata kolumnis FMT, Faisal Tehrani, menerusi salah satu artikelnya di media dalam talian: “Sebenarnya banjir berlaku kerana ada ramai yang bodoh mengatasi yang tidak berapa bodoh.
“Atau lebih dahsyat, kita yang tidak berapa bodoh memilih yang bodoh untuk menyelesaikan masalah kebodohan kita.”
Setuju atau tidak terpulang.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, “mendedahkan” ada lebih daripada kebodohan. Ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, yang mahu Perdana Menteri lebih aktif mengetuai penyelarasan operasi bantuan banjir, Nazri berkata, Wan Saiful “bangang” kerana cuba rendahkan kredibiliti Perdana Menteri. Antara “bodoh” dengan ‘bangang” mana lebih teruk?
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula buat bodoh apabila Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun beberapa hari lalu menolak permintaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan isu banjir dibahaskan atas sebab (pada pandangan saya) “teknikal”.
Berbalik soal YB di kawasan banjir.
Kalau ada rungutan rakyat yang YB mereka tidak kelihatan, besar kemungkinan ketika si YB datang mengunjungi, mereka ini mungkin berada di tempat lain dalam kawasan yang sama. Datang, mereka tetap datang. Mengapa mereka datang?
Ada yang datang untuk benar-benar membantu dan menjalankan tanggungjawab. Ini tidak boleh dinafikan. Mereka datang untuk “take charge” menyelaras operasi menyelamat dan menolong. Sama ada mereka tulus ikhlas atau lakukan demi karier politik – itu antara mereka dengan Tuhan. Hakikatnya mereka datang membantu, menolong, menyumbang, dan ini dihargai.
Ada yang datang untuk tunjuk muka (atau bermuka-muka), bersalam, dan memeluk serta mendakap mangsa tanda simpati, bergambar terutama untuk media, sesuatu yang dipanggil “photo opportunity”.
Ada juga orang kenamaan yang datang menyibuk yang membebankan pasukan keselamatan yang sedang sibuk menjalankan tugas kerana terpaksa memberi layanan khas kepada golongan pelawat kenamaan.
Hakikatnya, mereka semua datang dengan niat, matlamat, dan objektif masing-masing. Tetapi menurut beberapa penganalisis, orang politik sekarang mesti tunjukkan keikhlasan menjaga kebajikan mangsa bencana dan bukan “main wayang”, menggunakan situasi sebagai peluang berfoto untuk menonjol imej sendiri demi kerjaya politik mereka.
Rakyat masa kini, kata penganalisis tidak mudah tertipu dengan taktik lapuk yang memualkan mereka.
Lantas apa tugas dan peranan YB kita?
Media terutama yang berbahasa Inggeris kerap mengelar Ahli Parlimen dan ADUN kita “lawmakers” atau penggubal undang-undang. Oleh itu ada pendapat diuarkan bahawa selaku “lawmakers” mereka mesti menggubal undang-undang dan dasar negara dan bukannya bersihkan longkang, angkat sampah, dan bertindak sebagai anggota pasukan penyelamat.
Golongan yang berpendapat sedemikian berkata, jika YB dikehendaki melakukan kerja pembersihan sampah dan sebagainya apa yang kita perlukan ialah pegawai kebajikan bukan penggubal undang-undang.
Untuk melakukan itu semua, kata mereka, sudah ada pegawai kebajikan yang merupakan kakitangan kerajaan. Cuma kali ini ada tuduhan pegawai kebajikan tidak menjalankan tugas menolong rakyat (mangsa banjir) dengan baik.
Teringat perbualan saya dengan seorang Ahli Parlimen tahun 1990-an yang memberitahu saya di kawasan beliau, ada lebih kurang 30 buah kuil dan selang sehari ada upacara dilangsungkan. Oleh demikian, YB itu “wajib” menghulurkan bantuan kewangan selang beberapa hari. Begitu juga apabila ada majlis perkahwinan dan kematian. Lalu pertanyaan timbul adakah ini tugas seorang penggubal undang-undang?
Di Parlimen yang menggubal undang-undang ialah kerajaan. Ahli Parlimen daripada parti pemerintah yang tidak duduk dalam kerajaan tidak terbabit secara langsung menggubal undang-undang. Tugas mereka menyokong rang undang-undang yang dirangka kawan-kawan mereka dan dibentang di Parlimen.
Ahli Parlimen pembangkang tentulah tidak berperanan menggubal undang undang. Tugas mereka membahas rang undang-undang yang disediakan kerajaan dan menyatakan sokongan atau bantahan.
Oleh itu berbalik persoalan peranan YB kita.
Ringkasnya memainkan peranan efektif memastikan dasar dan perundangan negara memanfaatkan rakyat.
Pastikan undang-undang dan dasar yang lulus adalah yang paling baik. Diakui terjadi perundangan yang dibentang kerajaan dan dilihat tidak bagus diluluskan juga kerana yang membangkang tidak punyai cukup angka atau “do not have the numbers” untuk menghalang.
Apa pun kesimpulannya, YB kita selain berperanan secara langsung atau tidak dalam penggubalan undang-undang dan dasar, mesti juga turun padang apabila rakyat dalam kesusahan terutama ketika dilanda musibah.
Dalam erti kata lain, mereka bertindak sebagai penggubal undang-undang dan pegawai kebajikan sekaligus (dan memastikan kakitangan kerajaan yang berjawatan pegawai kebajikan benar-benar menjaga kebajikan rakyat kerana mereka digaji dengan wang rakyat).
Tugas amat berat untuk YB memastikan setiap aspek kebajikan dan kebaikan untuk rakyat dijaga. Jika itu tidak boleh dilakukan, jangan mengaku mewakili rakyat. Jangan menamakan diri “wakil rakyat”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan