HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Jun 2008

Pelbagai pihak gesa tambak laut Melaka diberhentikan
Zaili Muhammad


MELAKA - Sahabat Alam Malaysia (SAM), Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung (Jaring) dan Badan Bertindak Nelayan Pantai Klebang menggesa kerajaan negeri Melaka menghentikan dengan serta-merta penambakan laut di sepanjang pantai Klebang kerana ia mengakibatkan lebih 200 nelayan hidup dalam keadaan tertekan.

Penambakan yang bermula dari kawasan Tengkera hingga ke Klebang Besar itu telah menutupi hampir keseluruhan kawasan penangkapan nelayan yang mempunyai sembilan pengkalan nelayan iaitu Tengkera, Limbungan, Klebang Kecil, Klebang Besar, Batang Tiga, Lereh, Kampung Pinang, Kampung Hailam dan daerah Tanjung.

Di samping itu, kerja tambak laut tersebut hampir mencecah jarak 1 batu nautika dari pantai adalah merupakan kawasan bagi nelayan zon A (nelayan tradisional) mencari rezeki secara turun-temurun bagi menampung kehidupan.

Ia kini semakin terhad dan dengan kapasiti enjin yang kecil tidak memungkinkan mereka pergi lebih jauh lagi.

Menurut Koordinator SAM, Mohd Nizam Mahshar, kerajaan negeri perlu menghentikan projek ini dan melakukan kajian semula kerana pembangunan ini tidak memberi jaminan kepada nasib nelayan.

"Kerajaan kena buktikan kepada nelayan bahawa nasib mereka terjamin, perlulah ada kajian saintifik dan telus barulah projek ini boleh diteruskan.

"Kita akan bantu nelayan untuk usulkan isu ini kepada kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar serta memantau kesan yang akan berlaku selepas ini, seterusnya memberi tekanan kepada pihak terlibat," kata beliau.

Menurut Pengerusi Jaring, Jamaluddin Mohamad, beliau mempersoalkan apakah kerajaan tidak mengiktiraf kerjaya nelayan pantai sebab setiap polisi pembangunan yang dilakukan kerajaan tidak mengambil berat nasib nelayan.

"Kerajaan jangan hanya pentingkan keuntungan semata-semata tanpa memikirkan sumbangan mereka kepada negara sebagai penyumbang sumber protein.

"Melaka juga akan kehilangan identitinya sebagai pengeluar belacan dan cencaluk yang sepatutnya dikomersialkan oleh kerajaan dan mereka juga mengamalkan cara penangkapan yang mesra alam," ujarnya.

Suatu ketika dahulu kerajaan membantah projek penambakan Pulau Tekong di Singapura kerana menjejaskan nelayan di Johor tetapi malangnya di Melaka ia dijalankan tanpa rasa bersalah bahkan ia juga merupakan penambakan laut yang terbesar di Malaysia, ibarat kuman di seberang tampak kelihatan, gajah di depan mata tidak nampak, katanya. -
'Kami mahu umum pilihanraya kecil'
Malaysiakini


Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berlindung di kedutaan Turki, mendakwa laporan polis menggemparkan terhadapnya dibuat bagi menghalang beliau bertanding semula dalam pilihanraya.

"Inilah niat mereka. Anda tahu, kami akan mengumumkan satu pilihanraya kecil dalam satu pilihanraya kecil," kata penasihat PKR kepada agensi berita AFP.

"Saya akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu, polis juga sudah mengetahui (perancangan) itu."

Sementara itu, satu pasukan polis termasuk unit forensik hadir di kondominium di Desa Damansara - tempat yang didakwa berlaku kejadian liwat tokoh utama pembangkang itu - tengah hari tadi.

Lima buah kenderaan, bersama 15 anggota, kelihatan berada di sana beberapa jam untuk mengambil bahan-bahan bukti berhubung siasatan terhadap Anwar yang didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pembantu di pejabatnya 26 Jun lalu.

Siasatan tersebut termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), laporan buku kedatangan dan kenyataan pengawal keselamatan.

Bilik kondominium itu dipercayai dihuni oleh pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kumpulan wartawan, termasuk agensi media luar negara, menanti di tempat kejadian sejak jam 12 tengah hari.
Sanglang :PAS rayu ke Mahkamah Persekutuan
Siasahdaily


KANGAR : Calon PAS di Dun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin telah memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kangar yang memutuskan pilihan raya Dun berkenaan tidak sah.

PAS memohon dalam rayuan itu agar Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Ustaz Hashim Jasin adalah pemenang yang sah untuk pilihan raya itu bukannya setakat mengisytiharkan pilihan raya itu tidak sah.

Ini kerana, dalam perbicaraan itu, para defendan iaitu SPR dan calon BN mengaku berlaku salah pengumuman oleh Pengurus Pilihan Raya semasa pengisytiharan calon 8 Mac lalu.

Sepatutnya, calon PAS Hashim Jasin diisytiharkan menang tetapi pegawai pengurus itu mengistiharkan calon BN yang menang.

Dalam keputusannya, Hakim Pilihan Raya Kangar memutuskan pilihan raya itu batal dan tidak sah selepas petisyen dibuat oleh Hashim.

Ini kerana, selepas kes Wee Choo Keong pada tahun 2003, pindaan telah dibuat terhadap akta pilihan raya di mana Mahkamah Pilihan Raya tidak lagi boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan mana-mana calon menang tetapi hanya boleh memutuskan sesuatu pilihan raya itu sah atau sebaliknya.

Sementara itu, Umno Perlis sudah mula turun ke kawasan pilihan raya itu untuk membuat persiapan. Majlis Tertinggi Umno juga dikatakan sedang menimbangkan samada pemilihan PARTI peringkat cawangan Umno yang sepatutnya bermula Julai hendak diteruskan atau tidak ekoran kemungkinan pilihan raya kecil kawasan Sanglang.

Namun, SPR tidak boleh mengisytiharkan pilihan raya kecil diadakan sehinggalah prosedur petisyen mahkamah ini selesai.
Anwar saman Saiful
Malaysiakini


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung dengan dakwaan liwat.

Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Anwar juga mendakwa, laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan terhadapnya, adalah satu penyalahgunaan proses undang-undang.

Sabtu lalu, Saiful, 23, membuat laporan polis, mendakwa Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium mewah di Damansara.

Saman tersebut difailkan hari ini oleh peguam Anwar. Mantan timbalan perdana menteri itu kini berlindung di Kedutaan Turki selepas mendakwa nyawanya dalam bahaya.

Barisan peguamnya, yang diketuai oleh Ranjit Singh , berkata saman tersebut difail untuk membersihkan nama Anwar di mahkamah.

Naib presiden PKR dan peguam S Sivarasa, yang bercakap bagi pihak Anwar, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah meminta saman itu didengar secepat mungkin.

"Seperti yang diarahkan oleh Anwar, kami telah memfailkan saman tersebut dan memohon supaya ianya didengar secepat mungkin, kalau boleh dalam tahun ini juga," kata Sivarasa.

Ranjit kemudiannya menambah, permohonan supaya saman tersebut didengar tahun ini juga, dibuat atas alasan ianya merupakan perkara yang membabitkan kepentingan awam.

Menjelas lanjut mengenai saman tersebut, Sivarasa berkata, laporan polis yang dibuat oleh Saiful jelas merupakan satu penyalahgunaan proses undang-undang kerana dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali.

Beliau juga berkata, dakwaan yang dibuat oleh Saiful itu bermotifkan politik dan mempunyai niat buruk untuk mencemarkan reputasi Anwar.

Anwar katanya, sedia mencabar laporan yang dibuat oleh Saiful bagi mempertahankan reputasi politiknya.

Foto Saiful dengan pembantu Najib

Sivarasa juga mendakwa, isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mempunyai bukti dalam bentuk sekeping foto yang menunjukkan Saiful bergambar dengan seorang pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Najib di Putrajaya.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Najib menafikan terbabit dalam sebarang konspirasi politik untuk mencemarkan karier politik Anwar.

Katanya, foto mereka berdua itu dirakamkan ketika Saiful datang ke pejabat pegawai khasnya itu untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajarannya.

Ditanya apakah tindakan PKR selanjutnya, Sivarasa berkata, Anwar sedang menimbang untuk membuat laporan polis terhadap Saiful.

Beliau berkata, pihaknya sedang menimbang untuk membuat laporan polis itu berasaskan kepada bukti yang ada dan pihak media akan dimaklumkan mengenainya.

Sementara itu, Sivarasa juga membuat dakwaan terhadap Peguam Negara Tan (AG) Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan.


Beliau mendakwa, pihaknya menerima maklumat bahawa AG, yang mengetuai pihak pendakwaan, dan KPN, yang merupakan pegawai penyiasat, dalam kes perbicaraan kes liwat terhadap Anwar, telah memainkan peranan dalam mereka bukti.

Bendahari PKR, William Leong berkata, mereka telah menerima maklumat itu dari "saksi-saksi yang kini berani tampil ke hadapan selepas tsunami politik 8 Mac lalu".

Sementara itu, dalam samannya itu, Anwar berkata, Saiful telah bertindak dengan niat jahat dan membuat laporan polis dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.

"Defenden (Saiful) tahu bahawa tidak ada kejadian liwat berlaku antara dirinya dengan plantif (Anwar) dan dakwaannya mengenai liwat itu adalah palsu, tetapi dia masih membuat laporan polis," kata Anwar.

Tambahnya, Saiful juga tahu bahawa dakwaannya dalam laporan polis itu akan mendapatkan laporan media yang luas di dalam dan luar negara.

Anwar berkata, reputasinya telah tercemar dengan teruknya dan beliau juga tertekan dan malu akibat laporan polis tersebut.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah terbabit dengan sebarang perbuatan liwat dengan Saiful.
Kenyataan Anwar Ibrahim dari Kedutaan Turki
Oleh Anwar Ibrahim


SAYA tiba ke Kedutaan awal pagi, berlepas dari Quality Inn. Tahniah diatas kelincahan pasukan khas kita!

Pastilah keletihan kerana hampir tidak tidur malam tadi mendengarkan asakan hujah pimpinan. Pastinya kami menganggap Turki negara sahabat dan keputusan untuk ke sini adalah kerana isu keselamatan semata.

Pengalaman lalu mengajar kita bahawa tindakan ganas dan rakus bisa saja dari pendendam. Dan dalam konteks ini cadangan laporan polis saya terhadap Musa Hasan dan Gani Patail adalah berkaitan. Kita dapat buktikan bagaimana mereka berdua terlibat dalam merekayasa bukti, mendera dan menakutkan orang terlibat.

Maka apa yang dipohon adalah jaminan tegas pimpinan negara agar kecurangan lalu tidak berulang! Sebaik ada jaminan keselamatan diri dan keluarga, kami akan segera pulang.

Meskipun layanan di sini agak lumayan, tidak mungkin sama dengan keselesaan di rumah. Dan tidak diizinkan sebarang pertemuan dengan media atau sahabat. Hanya Azizah dan anak-anak dibenar menziarah saya.

Muda-mudahan pihak pemerintah segera memberikan jaminan keselamatan kepada saya sekeluarga. Jika tegas pengumuman sedemikian, saya akan segera pulang meninggalkan Kedutaan.
Semua MP pembangkang bertindak keluar dewan
Oleh Utusan


Kuala Lumpur: Semua wakil rakyat pembangkang hari ini bertindak keluar dari Dewan Rakyat selepas membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan Timbalan Perdana Menteri memberi penjelasan terhadap usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Tindakan itu diketuai oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) selepas berlaku `perang mulut' antara wakil pembangkang dengan Yang Dipertua Dewan sehingga menyebabkan ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak terganggu beberapa kali .

Kit Siang berkata, tindakan Timbalan Perdana Menteri memberi penjelasan itu merupakan sesuatu yang luar biasa dalam amalan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat mempunyai 82 wakil rakyat pembangkang.

Menjelaskan perkara itu, Pandikar Amin berkata, beliau telah menggunakan Peraturan 99 untuk membuat keputusan tersebut dan penjelasan Najib juga mematuhi peraturan Dewan.

Bagaimanapun Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) tidak mengikuti langkah ahli Parlimen pembangkang itu dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak bijak kerana hanya melibatkan perkara teknikal sedangkan isu pokok terhadap usul berkenaan tidak disentuh.
Umno cuba pulih imej kembalikan permit Harakah
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Mungkinkah ada udang di sebalik batu apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermurah hati mengembalikan kekerapan penerbitan akhbar Harakah kepada lapan kali sebulan setelah lebih lapan tahun dipasung.

Nampaknya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menenggelamkan kritikan yang pernah dilemparkan dalam perhimpunan agung parti itu selepas BN agak merudum pada pilihan raya umum 1999.

Ekoran itu Harakah terus disekat kerana dianggap berjaya membangkitkan pengaruh pembangkang sehingga PAS terus mengekalkan kerajaan di Kelantan dan menguasai Terengganu.

Ramai berhujah keputusan itu dibuat dengan berat hati semata-mata bagi memulihkan semula kedudukan Umno dan BN selepas gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen serta terlepas empat negeri.

Bagaimanapun bagi Pengerusi Kelab Penyokong PAS Malaysia, Hu Pang Chaw pihak pengurusan Harakah seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin peluang tersebut bagi menyuarakan hak rakyat dan menegak kebenaran.

“ Saya mengucap tahniah kepada pemimpin dan pendokong PAS di atas kebenaran menerbitkan semula Harakah dua kali seminggu sebagaimana sebelum ini.

“ Keputusan KDN mengembalikan hak penerbitan dua kali seminggu sangat dialu-alukan selaras dengan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat secara adil dan cepat,” katanya di sini.

Pada 23 Jun lalu pihak pengurusan Harakah menerima surat KDN bertarikh 13 Jun 2008 yang dituju kepada Pejabat Urusan Harakah mengenai kebenaran permit penerbitan dua kali seminggu.

Pang Chaw berharap pasukan editorial dan kakitangan Harakah menerima memanfaatkan sepenuhnya peluang diberi memandangkan mereka sudah berpengalaman menerbitkan akhbar terbabit dua kali seminggu.

“Rakyat sebenarnya sudah lama inginkan situasi itu berlaku, bagaimanapun baru sekarang ia terjadi. Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang politik mengharapkan laporan kemas, benar, adil dan saksama dari Harakah,” ujarnya.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, biar pun kerajaan BN menyekat penerbitan Harakah dalam tempoh begitu lama, namun kekuatan pembangkang tidak pernah susut.

Katanya, rakyat berpeluang mendapat berita semasa daripada pelbagai media yang ada sekarang termasuk sistem pesanan ringkas (SMS) dan internet.

“ Saya yakin dengan ruang yang diberi KDN, media oposisi seperti Harakah akan dapat mengatasi akhbar harian dari segi pengedaran kerana minat rakyat terhadap kerajaan BN sudah tepu,” katanya.

Hujah itu disokong anggota Parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin yang melihat kerajaan BN kini berusaha keras membersihkan imej yang pudar kerana hampir tersungkur ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, rakan-rakan media tempatan di sini turut mengucap tahniah di atas perkembangan itu bagi memberi sedikit ruang kebebasan akhbar di negara ini. - mj _
Usah percayakan 'khabar angin', fitnah saya - Ustaz Nasharudin
Awang Harun


KUALA NERUS (Hrkh)- Rakyat umumnya diingat agar tidak terlalu cepat memberi 'respons' dan mempercayai sebarang bentuk berita 'khabar angin' yang belum tentu ketepatannya bagi mengelakkan salah faham.

Ini kerana, sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai usaha serta perancangan ‘ jahat ‘ pihak tertentu bagi memecah-belahkan Pakatan Rakyat yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, lalu.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mengingat ahli serta penyokong PAS agar tidak terlalu cepat ‘respon ‘ dan mempercayai berita berbentuk khabar angin.

Katanya, terdapat usaha-usaha pihak tertentu dibuat melalui media yang mahu memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

"Sekarang ini nampaknya, ada unsur-unsur memecah-belahkan kekuatan saf dalam Pakatan Rakyat yang cuba dimainkan oleh pihak media dengan ‘mainan-mainan’ yang cukup bahaya.

"Kita sebagai orang PAS, ahli PAS usah 'respon' terlampau cepat. Sebabnya, kita (PAS) ada kepimpinan, kita ada majlis syura, kita ada pimpinan PAS Pusat, kita ada pimpinan di peringkat negeri dan kawasan.

"Jangan cepat kita 'respons' kepada berita yang rujuk 'kitabnya' Utusan Malaysia, jangan cepat kita 'respon' kepada berita yang 'kitabnya’ adalah TV3," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31, PAS Kawasan Kuala Nerus, di Masjid At-Taqwa Batu Enam, dekat sini, semalam.

Ustaz Nasharudin mendedahkan, tersiar berita 'khabar angin' yang memfitnah dirinya ketika beliau berada di London bagi menggugat keyakinan ahli serta penyokong PAS.

"Keluar berita baru-baru ini, Saya difitnah kononnya ada berjumpa dengan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di London dan 'peluk' dengan dia (Najib) di sana.

"Ini fitnah untuk menimbulkan keresahan di kalangan ahli, penyokong dan pendokong PAS supaya kekuatan yang ada pada kita (PAS) sekarang ini dapat dilemahkan,” jelasnya dihadapan lebih 500 orang perwakilan dan pemerhati.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat kini semakin kuat dan sedang meningkat naik setelah berjaya membentuk kerajaan di beberapa buah negeri selepas pilihan raya lalu.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini semakin menurun dan tidak popular lagi.

Namun begitu, katanya kekuatan yang sedang dibina sekarang adalah satu suntikan baru yang sedang berlaku dalam parti PAS hari ini./wann _
Ketua Pemuda MIC isytihar keluar parti


SHAH ALAM: Ketua Pemuda MIC S.A. Vigneswaran hari ini mengistiharkan keluar daripada parti itu yang dianggotainya sejak 25 tahun lepas.

"Saya akan meninggalkan parti dengan rasa kesal kerana tidak dapat menamatkan tempoh penggal perkhidmatan saya, tetapi dengan rasa penghargaan kerana telah diberi keistimewaan untuk berkhidmat sebagai Ketua Pemuda MIC sejak enam tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum dan selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, beliau telah mengambil daya usaha untuk menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pemuda MIC dan memenuhi visi presiden parti Samy Vellu.

Namun sejak beberapa minggu lepas, beliau mendapatinya dirinya tidak lagi mempunyai kekuatan tampuk parti untuk meneruskan usahausahanya, katanya.

Vigneswaran sebelum ini telah diarahkan oleh parti supaya berundur daripada jawatan tersebut kerana faktor usianya yang sudah menjangkau 41 tahun walaupun tempoh perkhidmatannya hanya berakhir pada 2009.

Beliau berkata: "Dengan kehilangan sokongan tampuk itu, saya percaya keputusan tidak menurut perlembagan parti itu telah pun muktamad dan oleh itu ia tidak perlu dipanjangkan lagi.

"Saya tidak mudah mengalah. Tetapi meninggalkan tugas sebelum tempohnya berakhir adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi presiden MIC berfikiran sebaliknya".

Vigneswaran berkata walaupun keluar parti, beliau akan terus berkhidmat untuk masyarakat India terutama golongan belia.

Beliau turut menasihati Samy Vellu supaya turut meletak jawatan. BERNAMA
Laporan polis, Anwar kata satu rekaan ulangi peristiwa 1998
Wan Nordin Wan Yaacob


SHAH ALAM (Hrkh) - Laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah rekaan semata-mata untuk menjatuhkannya.

"Laporan awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan.

"Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan, " kata Anwar dalam sidang medianya di sini.

Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang beliau sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang diperolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkannya saya pada tahun 1998 hingga 1999.

Serangan jahat ini tidak akan menghalangnya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam, tegasnya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya.

"Kita menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah," katanya.

"Rakan-rakanku rakyat Malaysia- kita telah mengambil langkah berani pada 8 Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.

"Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian," katanya. _
Tip menyelamatkan diri ketika kebakaran


1. Sesetengah ibu bapa lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anak-anak terbuka ketika tidur dengan alasan mudah mengawasi dan mendengar suara anak . Namun, tindakan itu hanya menyebabkan api, asap dan haba cepat merebak ke dalam bilik berkenaan jika berlaku kebakaran. Oleh itu, anda digalakkan menutup pintu semua bilik supaya mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.

2. Kebanyakan rumah kediaman tidak mempunyai pintu rintangan api, jadi berhati-hati ketika membuka pintu. Jika terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, anda dinasihatkan merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan sebelum membuka pintu. Jika terasa panas jangan buka pintu sebaliknya cari jalan alternatif.

3. Jika daun pintu tidak panas, anda dinasihatkan supaya melutut dan melekapkan bahu ke daun pintu terlebih dulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan itu perlu bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian atas ruang.

4. Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan turut semua ruang atau lubang di bawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa saja yang terdapat di dalam bilik berkenaan.

5. Jika laluan utama dihalang dengan api dan asap, anda boleh berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap. Sebelum membuka tingkap, pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api merebak.

6. Sekiranya berada ditingkat satu cuba turun dengan cara yang selamat bagi mengelakkan kecederaan, keluarkan kaki dan cuba rendahkan diri lalu keluar melalui tingkap secara membelakang. Bergayut seketika pada sisi tingkap dan kemudian terjun.

7. Anak-anak boleh dikeluarkan dengan cara menghulurkan mereka ke bawah jika ada orang yang membantu. Jika tiada, cuba turunkan anak anda ke paras bawah sejauh mungkin dengan berhati-hati. Jangan terjun dulu dan meninggalkan anak-anak dengan tanggapan mereka akan mengikut anda, mungkin anak-anak enggan terkejut dan kemungkinan mereka tidak dapat diselamatkan.

8. Jika terperangkap dan anda berada di tingkat bawah, di nasihatkan supaya membuka tingkap sedikit di bahagian atas dan bawah bagi membolehkan asap keluar melalui bahagian atas dan udara bersih masuk di bahagian bawah.

9. Tutup ruang di bawah pintu dengan cadar, selimut, tuala bagi mengelakkan asap masuk ke ruang bilik. Jika ada telefon di dalam bilik, hubungi bomba dan jiran terdekat dan maklumkan kedudukan anda untuk memudahkan kerja menyelamat. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap atau gunakan lampu picit atau kibarkan kain berwarna putih, terang supaya mudah dikesan.

10. Ketika kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas dan gas beracun turun ke lantai manakala udara bersih di zon selamat untuk bernafas adalah satu hingga dua kaki (30 hingga 60 sentimeter) dari paras lantai.

11. Apabila asap memenuhi ruang, cara terbaik menyelamatkan diri adalah dengan merangkak dan kepala berada di zon selamat.

12. Jika pakaian terbakar, jangan berlari sebaliknya rebahkan badan, tutup muka dan berguling di lantai bagi memadamkannya. Apabila nampak orang lain terbakar, rebahkan mereka dan tutup dengan kain selimut atau guni basah bagi memadamkan kebakaran.
Yong ramal keuntungan Petronas RM90 billion


KOTA KINABALU: Dengan harga minyak mentah dunia mencecah lebih daripada AS$140 setong barubaru ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengambil langkah untuk meramalkan keuntungan terkini Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dan mengatakan ia mungkin berjumlah RM90 bilion bagi tahun ini.

Katanya keuntungan berkenaan jauh lebih besar berbanding RM40 bilion yang dicapai syarikat berkaitan kerajaan itu pada tahuntahun lepas.

"Sekiranya keuntungan Petronas berjumlah RM90 bilion, manakah wang selebihnya kerana subsidi minyak hanya RM13.7 bilion," beliau bertanya ketika berucap dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Taklimat IsuIsu Semasa Politik di Kampung Unggun, Menggatal dekat sini hari ini.

Yong berkata kenaikan harga minyak barubaru membebankan rakyat.

Bercakap kepada pemberita mengenai surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) barubaru ini kepada SAPP, Yong berkata pihaknya belum menerima surat tunjuk sebab itu dan cuma akan membuat ulasan selepas menerimanya.

Turut berucap dalam majlis berkenaan ialah Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun yang juga Timbalan Presiden SAPP.

Eric menjelaskan beliau tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 23 Jun lepas ketika usul kenaikan harga petroleum dan barangan dibentangkan kerana kehadirannya boleh dianggap menyokong usul itu. BERNAMA
Liwat: Usaha terancang sekat kemaraan Pakatan kuasai Putrajaya
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Isu dakwaan liwat kononnya dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap usaha terancang pihak tertentu bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dalam masa terdekat ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tuduhan liwat kali kedua terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu disifatnya sebagai usaha menyekat kemaraan kerajaan baru yang semakin mara ke Putrajaya.

“ Akibat keutuhan kerjasama dan pengaruh Pakatan, pihak lawan menghidupkan semula pertuduhan lapuk dengan harapan sekali lagi Anwar cuba dibuktikan melakukan kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dilaporkan mendakwa diliwat oleh Ketua Umum KeADILan terbabit. Bagaimanapun Anwar menafikan segala tuduhan itu.

Husam berkata, pertuduhan pertama pada 1998 yang masih segar di ingatan rakyat sehingga meninggalkan kesan yang besar kepada senario politik negara.

“ Betapa ia bukan sekadar hampir meranapkan karier politik Datuk Seri Anwar, bahkan keaiban yang sudah pasti mencemar nama baik dan maruah beliau serta keluarga.

“ Secara sedar atau tidak, kezaliman yang terhasil dan implikasi pertuduhan yang melibatkan banyak pihak tentunya memberi kesan yang negatif kepada semua individu yang terbabit,” ujarnya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkeyakinan penuh konspirasi terbaru yang terdesak itu tidak akan berjaya memandangkan rakyat dapat menilai sendiri.

Oleh itu kata beliau jaminan terbaik untuk memastikan keadilan ditegakkan dalam dakwaan itu Islam menetapkan empat saksi perlu dibawa bagi menyokong tuduhan dibuat.

“ Penekanan terhadap soal keadilan dan soal memperhalusi setiap pertuduhan boleh membawa mereka yang menuduh diambil tindakan sekiranya tuduhan itu ternyata palsu.

“ Peristiwa di mana lima Adun PAS Kelantan diculik pada 1964 seharusnya dijadikan peringatan dan saya pasti sikap rasional semua pihak dapat mengelakkan peristiwa seumpama itu berulang kembali,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik berhujah isu itu kemungkinan besar dicetus bagi menenggelamkan banyak konflik membabitkan pemimpin kanan Umno termasuk akuan bersumpah blogers, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa pembabitan isteri Timbalan Perdana Menteri dalam kes Altantuya.

Selain itu, perpecahan dalaman Barisan Nasional (BN) di mana Parti Maju Sabah (SAPP) secara jelas menyatakan sudah tidak yakin lagi dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“ Sepatutnya konspirator yang mencetus isu tersebut belajar sejarah kegagalan BN pada pilihan raya umum lalu dan 1999 kerana isu yang hampir sama dicetus hari ini.

“ Kesilapan strategi ini akan menyebabkan kerajaan BN semakin cepat tumbang apabila rakyat tidak mampu lagi membendung kebencian mereka,” . - mj _
PKR: Nyawa Anwar dalam bahaya
Muda Muhd Noor & Jimadie Shah Othman


Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk 'menyembunyikan' Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi "kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri".

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.

Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan Anwar berlindung di sebuah kedutaan, beliau berkata menegaskan Anwar berada dalam negara.

Katanya, Anwar menafikan dakwaan liwat terhadapnya. Syed Husin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "satu percubaan yang paling jelik dan hina".

Manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata Anwar berada dalam negara dan nyawanya dalam bahaya.

"Kita akan bincang dengan peguam. Apa yang beliau hadapi adalah ancaman kematian. Perkara ini serius. Ini merupakan konspirasi politik yang kedua dalam negara kita.
Buka mata

"Sebelum ini, pada 1998. Apa mereka buat, badan kehakiman, polis. Kami keluar IPCMC, tiada apa yang berlaku. Kami dapati tiada sebab untuk percaya badan kehakiman. Jadi apa pilihan? Kami mesti membuat pilihan ini. Kami mesti melindunginya.

"Ramai rakyat Malaysia mencari pemimpinan Anwar dan kita mesti melindunginya. Bukan sebab dia suami saya dan bapa kepada anak-anak, tetapi dia pemimpin kita semua," katanya.

Beliau yang juga isteri Anwar berkata, ketua umum PKR itu tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman.

"Kali pertama ia membuka mata bahawa kehakiman kita tidak boleh dipercayai dan polis. Bukan semua, saya tidak kata semua sebab sekarang sudah ada hakim macam Ian Chin. Pada masa dahulunya menunjukkan kita tidak boleh percayai sistem kehakiman," tambahnya.

Wan Azizah turut mendedahkan gambar pembantu Anwar, Saiful Bahari dengan pegawai khas Datuk Seri Najib TUn Razak - Khairul Anas Yusof - yang berlatarbelakangkan pejabat timbalan perdana menteri (TPM).

Gambar tersebut diambil dari blog Malaysia Today.

Ditanya sama ada TPM terlibat dalam konspirasi itu, Wan Azizah hanya berkata: "Gambarnya berlatarbelakangkan pejabat TPM."

Ahad, 29 Jun 2008

Konspirasi politik cuba jatuhkan imej Anwar - Nik Aziz
Lanjusoh


PENGKALAN CHEPA (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu konspirasi politik.

“ Ini kerja-kerja politik belaka. Geng-geng politik semua, kerana tidak beriman. Dalam blog pun dibuat macam-macam tuduhan.. apa ni, “ katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dilaporkan mendakwa diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri terbabit.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu yang dianggap cuba mengulangi kes serupa pada 1998.

Beliau dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatannya pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dengan perbuatan liwat.

Kemudian pada 1999 Anwar dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada 2000 dikenakan hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun pada 2004 Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan sekaligus membebaskan Anwar.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, di negara ini tuduhan liwat terhadap seseorang bagi menjatuhkan karier politiknya seperti menjadi amalan biasa.

“ Di Malaysia sudah jadi begitu suka tuduh menuduh. Berapa kali telah dibuat tuduhan begitu.

“ Liwat ini bukan orang buat di atas jalan raya, perbuatan itu dilakukan secara sulit sekiranya benar ia berlaku. Mengapa pula senang-senang hendak tuduh orang lain.

“ Allah Taala akan kenakan bala ke atas orang yang menuduh, “ ujar beliau.

Menurutnya juga dalam Islam ada lima perkara yang mesti dikenakan hudud iaitu murtad kerana ia terlibat dengan akidah, dan mencuri membabitkan harta benda orang lain.

Manakala tuduhan zina boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Beliau berkata, tuduhan zina mesti ada sekurang-kurang empat orang saksi kalau tidak, boleh dirotan atau denda terhadap orang yang membuat tuduhan.

Menurutnya hakim sudah melepaskan Anwar terhadap tuduhan liwat sebelum ini dan sekarang tuduhan serupa pula cuba diulangi.

“ Tuduhan zina ini berkehendak kepada saksi, tidak boleh tidak, “ katanya. Beliau juga mengakui tuduhan yang dibuat itu secara tidak langsung boleh menjejaskan imej pembangkang.

“ Bukan itu sahaja malah boleh menjejaskan imej negara, apa sebab hendak buat tuduh menuduh begini,” katanya.

Beliau berkata begitu juga dengan tuduhan rasuah terhadap seseorang mesti ada bukti yang jelas dan tidak boleh dibuat sesuka hati. - mj _
Minyak: Pemuda Umno sambut baik debat Shabery-Anwar anjuran Agendadaily di DBP
Oleh Bernama


IPOH: Pergerakan Pemuda Umno menyambut baik debat mengenai harga minyak antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia akan memberi peluang kepada rakyat menilai antara realiti dengan janji yang dibuat pembangkang.

Naib Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata debat itu akan memberi peluang kepada rakyat menilai janji-janji yang dibuat oleh pembangkang untuk menurunkan harga minyak.

"Sebelum ini mereka bercakap dalam ceramah sahaja tiada siapa tanya apa kaedah...kini kerajaan boleh bertanya mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin akar umbi dari enam bahagian Pemuda Umno di sini hari ini.

Debat bertema "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agenda Daily itu dijadualkan pada 15 Julai depan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Shabery dan Anwar telah mengesahkan penyertaan mereka dan debat itu juga mungkin akan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen.

Khairy berkata debat itu baik kerana ia memberi peluang kepada wakil kerajaan untuk memberi pandangan dan penjelasan berhubung isu berkenaan.

"Saya rasa ini peluang baik untuk kerajaan membuat penjelasan serta bertanyakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai janji menurunkan harga minyak," katanya.

Anwar sebelum ini telah beberapa kali membuat kenyataan termasuk semasa kempen pilihan raya umum pada Mac lepas bahawa pembangkang akan menurunkan harga minyak jika memerintah.
MCA Selangor minta kadar tol dikurangkan atau dihapuskan


SHAH ALAM — MCA Selangor hari ini memohon kerajaan supaya mengurangkan atau menghapuskan bayaran tol di lebuh raya di Selangor bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi MCA Selangor Datuk Tang See Hang berkata penghapusan atau pengurangan tol dapat dilaksanakan jika kerajaan membeli balik syarikat konsesi lebuh raya.

Untuk tujuan itu, kerajaan boleh menggunakan pembayaran subsidi untuk petrol yang telah dijimatkan dan keuntungan yang diraih oleh Petronas hasil daripada peningkatan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa yang mencecah US$142 setong semalam, katanya.

Oleh kerana Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 74.05 peratus ekuiti dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), MCA Selangor mencadangkan kerajaan persekutuan membeli PLUS dan seterusnya memansuhkan atau meminimumkan pembayaran tol, katanya kepada pemberita di sini.

Tang berkata:” Jika kerajaan berhasrat untuk membeli PLUS, ia cuma perlu membeli sebanyak 1.3 bilion saham jika mengikut harga pasaran pada 20 Jun lepas iaitu RM2.82 sesaham, kerajaan hanya perlu menggunakan wang sebanyak RM3.67 bilion untuk memiliki syarikat PLUS sepenuhnya.”

Katanya Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak tol di mana daripada 28 syarikat konsesi lebuhraya yang beroperasi di Malaysia, 15 daripadanya mengendalikan lebuhraya di Selangor manakala kadar tol lebuhraya PLUS perlu dinaikkan setiap tiga tahun dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jika kadar tol tidak dinaikan.

Kontrak ini dilihat sebagai sesuatu yang menganiaya rakyat dan adalah tidak adil dan tidak munasabah kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS semakin meningkat setiap tahun, kata Tang.

“Impak rantaian yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan, elektrik dan bahan yang akhirnya menyebabkan harga barangan naik (inflasi) secara keseluruhannya. MCA telah menerima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat...ini menyebabkan rakyat merasa kecewa dan marah terhadap kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata MCA Selangor akan menghantar memorandum kepada Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamad pada 7 Julai ini berhubung pengurangan dan penghapusan bayaran tol di lebuh raya dalam negeri Selangor.— BERNAMA
Makin ramai guna kad kredit isi minyak -Pembelian petrol secara hutang di luar bandar naik 30 peratus
Oleh Ziauddin Sharuddin


KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi minyak awal bulan ini.

Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.

Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus.

Malah, katanya penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Beliau berkata, kad kredit digunakan kerana mudah dimiliki berikutan syarat kelayakan yang minimum seperti hanya perlu berpendapatan RM1,500.

"Antara sebab peningkatan penggunaan ini ialah pengguna tidak perlu membayar tunai, sebaliknya boleh dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran kad kredit.

"Selain itu, mereka boleh terus mengisi minyak tanpa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.

Abdul Wahid berkata, ramai menyangka pengusaha stesen minyak mendapat untung apabila pelanggan membayar menggunakan kad kredit, sedangkan pihak sebenar yang mengaut keuntungan adalah bank.

Katanya, pengusaha terpaksa membayar komisen satu peratus kepada bank, iaitu jika pelanggan membayar RM100, pengusaha mendapat RM99 dan RM1 dibayar kepada bank.

"Satu peratus kelihatan kecil, tetapi katakan satu peratus daripada sejuta liter yang dijual sebulan, iaitu sebanyak 10,000 liter. Ini bermakna caj yang dibayar kepada bank adalah RM27,000," katanya.

Selain itu, katanya pengusaha terpaksa menanggung kos kertas cetakan kad kredit. Satu gulung hanya RM6, tetapi peningkatan bilangan pelanggan menggunakan kad kredit menyebabkan ada pengusaha yang menanggung hingga RM700 sebulan hanya untuk kos kertas.

Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, mengakui kad kredit digunakan secara meluas kerana memudahkan pengguna ketika berurusan di stesen minyak.

Katanya, kad kredit digunakan di seluruh dunia dan adalah sebahagian ciri kemajuan di sesebuah negara.

"Pengguna memang mempunyai hak untuk membeli apa saja, tetapi jika terperangkap dalam bebanan hutang, janganlah menangis. Paling baik adalah wang tunai tetapi tidak akan timbul masalah jika digunakan secara bijak," katanya.

Beliau berkata, pengguna hanya perlu memperuntukkan sebahagian wang untuk bayaran minyak kerana sudah tahu penggunaan purata minyak setiap bulan.
KDEB: Kenyataan media Rusli Ibrahim


KUMPULAN Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebuah entiti perniagaan yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

Sebagai sebuah entiti perniagaan KDEB bertanggungjawab penuh kepada pemegang saham dan menguruskan urusan perniagaan sebaik mungkin demi tanggungjawab terhadap pemegang saham.

Kewujudan jawatan sebagai penasihat kepada Presiden mana – mana syarikat bukan satu yang asing dan begitu jugalah kepada Presiden KDEB.

Sejak September 2004, sebaik sahaja selepas dilantik menerajui KDEB, cabaran Dato’ Karim Munisar selaku presiden KDEB cukup besar.

Sasaran Presiden baru pada ketika itu ialah menaikkan daya saing dan produktiviti KDEB dan entiti dibawahnya yang sememang dalam keadaan tidak memberansangkan pada ketika itu.

Akaun syarikat dan pelaburan syarikat perlu disusun untuk itu telah dilantik penasihat kewangan kepada Presiden KDEB untuk menyusun semula perancangan strategik berkaitan kewangan.

Selain itu demi mendepani perbagai masalah berkaitan undang – undang maka penasihat undang undang korporat kepada Presiden KDEB juga telah dilantik.

Ternyata tindakan dan pemilihan penasihat yang betul telah membantu Presiden KDEB memacu syarikat sehingga KDEB dan entiti di bawahnya khususnya.

Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad telah berjaya menjadi entiti perniagaan yang berdaya saing dan disegani semula.

Dunia perniagaan perlu bergerak seiring dan berubah segera sebagai respon terhadap persekitaran untuk mengekalkan daya saing. Seiring dengan perubahan dan meneliti impak PRU 12 maka beberapa perubahan perlu dilakukan.

Seperti KDEB perlu memainkan peranan besar dalam membantu memenuhi tanggungjawab terhadap pemegang saham utama iaitu kerajaan negeri yang telah berjanji untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor.

Maka sudah tentu Presiden KDEB memerlukan satu penasihat khas untuk meneliti ke arah merialisasikan perkara ini.

Pada April 2008 saya telah dinamakan sebagai Penasihat Khas kepada Presiden KDEB. Maka kenyataan yang menyatakan saya sebagai Penasihat KDEB ialah fitnah dan tidak berasas.

Saya merupakan kakitangan KDEB yang bertanggungjawab terus kepada Presiden KDEB. Saya tidak punya kuasa eksekutif dan bukan ahli lembaga pengarah mana – mana syarikat dibawah KDEB.

Selain saya seorang penasihat Ekonomi juga telah dinamakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada KDEB.

Bidang tugasan saya ialah untuk mengukuhkan dan membina hubungan dan jaringan kerja baik antara pemegang saham, pengursan sumber, pelabur juga sektor korporat dan awam.

Saya juga diberi amanah untuk memerhatikan dan menasihati Presiden KDEB perubahan strategik khususnya untuk Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.

Dengan pengalaman dan hubungan baik saya dengan perbagai pihak di dalam dan luar negara khususnya Timur Tengah saya juga diamanahkan untuk menasihatkan Presiden KDEB mengenai peluang pelaburan baru dan mempertingkatkan keuntungan pelaburan sedia ada.

Lantikan saya dalam KDEB ini adalah tanpa pengetahuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kemasukan saya demi mempertingkatkan keuntungan syarikat dan memastikan KDEB akan terus menyumbang seiring dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

Namun setelah desas desus fitnah dan manipulasi jahat ini timbul dan saja juga telah berbincang secara mendalam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim saya telah mengemukakan surat perletakkan jawatan pada 25 Jun 2008, 3 petang kepada Presiden KDEB

Sekian penjelasan saya.
Rusli Ibrahim
Larangan media, perang mulut Nazri-BNBBC masih berterusan
Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, terus berlarutan.

Selepas melabelkan BNBBC seperti kebudak-budakan, Rabu lalu, Nazri semalam mencabar pula kelab itu supaya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memecat beliau sebagai menteri.

"Jika mereka tidak mahu berbuat demikian Isnin ini, jangan banyak cakap. Kalau tidak tahu peraturan, duduk diam-diam," tegasnya dalam satu laporan media semalam.

Nazri membuat cabaran itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing, kelmarin, yang membidas beliau kerana mengkritik kelab itu mengambil keputusan sendiri membuka pita menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen.

Tindakan yang dilihat mengingkari keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, itu dibuat oleh BNBBC kerana mereka tidak bersetuju dengan peraturan yang menyusahkan petugas media.

Rabu lalu, Nazri yang kecewa dengan tindakan BNBBC itu, menganggap perbuatan berkenaan seperti kebudak-budakan dan contoh buruk kerana keputusan membuka atau menutup kawasan lobi daripada petugas media belum diputuskan Speaker.

Tiong bagaimanapun membalas kritikan Mohamed Nazri yang disifatkannya sebagai melampau dan BNBCC dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan tindakan yang akan diambil berikutan kenyataan menteri berkenaan.

Isu itu bermula pagi Selasa lalu apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat terkejut dengan kewujudan pita halangan yang menghalang mereka memasuki Lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan 'bercelaru'.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik balik semula keesokan harinya berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama wakil media.

Mohamed Nazri yang mempertahankan kenyataannya terhadap BNBBC menjelaskan kelab itu tidak pernah menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

"Mereka sebaliknya bertindak melulu tanpa berjumpa saya sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, untuk mendapatkan penjelasan. Mereka perlu ingat ini Parlimen, kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

"Kalau tidak puas hati, bawa isu itu ke dalam Dewan Rakyat dan bukannya bertindak seperti itu. Bagaimana sebuah kelab yang dilantik oleh Perdana Menteri lebih tinggi kuasa daripada Speaker," katanya.

Mohamed Nazri juga kesal dengan tindakan Ting yang dianggap seperti 'kacang lupakan kulit' kerana beliau sendiri yang mencadangkan Ahli Parlimen Bintulu itu mengetuai BNBBC./wann _
Ramai tidak tahu ada tabung mangsa serangan haiwan buas


PENDANG - Jika anda menjadi mangsa serangan binatang buas, anda sebenarnya layak menuntut sumbangan sehingga RM20,000 dari sebuah tabung yang telah diwujudkan oleh kerajaan sejak lima tahun lalu tetapi masih belum diketahui ramai.

Syaratnya, anda atau waris mestilah warga Malaysia, orang awam (bukan anggota keselamatan), dan bukan kakitangan awam yang sedang bertugas dan bukan pemburu.

Bukti tabung itu kurang mendapat sambutan ialah apabila permohonan pertama untuk sumbangan hanya diterima tiga tahun selepas ia dilancarkan manakala sehingga ini hanya 15 peratus daripada dana permulaan RM1 juta itu telah digunakan.

Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas yang dilancarkan sejak lima tahun lalu, digunakan setakat ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Noriah Kasnon mengakui Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas itu mungkin tidak diketahui umum.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, beliau berkata, jumlah bayaran ditentukan oleh kes dengan kematian atau kecacatan kekal boleh mendapat amaun maksimum.

Katanya, haiwan buas yang dimaksudkan ialah gajah, seladang, babi hutan, harimau, beruang, ular sawa, ular berbisa, binatang primid seperti beruk, siamang serta ungka dan buaya.
Bekas pegawai Menteri Besar nafi tuduhan Ezam
Sinar Harian


SHAH ALAM - "Ezam berbohong. Tiada sebarang kutipan wang disalurkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sempena Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Selangor seperti yang didedahkannya," kata bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Shari kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan tiada wang yang masuk ke dalam akaun PKR yang disumbangkan oleh syarikat swasta di negeri itu seperti yang didakwa bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor sebelum ini.

"Setelah diadakan musyawarah dalam Mesyuarat PKR Selangor semalam (kelmarin) semua bukti telah saya kemukakan bagi membuktikan semua dakwaan yang dibuat oleh Ezam itu adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi semalam.

Namun begitu katanya, beliau tidak berhajat mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Ezam walaupun pembohongan itu telah menjejaskan kredibilitinya kerana beliau percaya kebenaran pasti terserlah suatu hari nanti.

"Biar Allah yang menentukan. Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini juga jelas bertentangan kerana beliau tidak pernah merujuk kepada saya mengenai akaun tersebut. Saya tidak pernah diberi peluang untuk menjelaskannya," katanya.

Beliau yang bertindak sebagai urusetia penganjur Sambutan 100 Hari Pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini menjelaskan, sambutan berkenaan dibuat adalah atas kapasiti parti politik dan bukannya anjuran kerajaan negeri.

Namun memandangkan pada ketika itu parti tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menganjurkan sambutan berkenaan, katanya, pihaknya menghantar surat kepada semua syarikat swasta awal Mei lalu bagi mengutip sumbangan bagi merealisasikan sambutan berkenaan.

"Bagaimanapun kita hanya menggunakan kepala surat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan bukannya kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor seperti yang didakwa oleh Ezam.

"Bukan itu sahaja kaedah digunakan untuk mengutip sumbangan, kita turut mencari penaja kepada buku cenderamata dengan niat untuk menjayakan sambutan berkenaan yang kurang diberi perhatian pada awalnya," katanya.

Namun katanya, tiada satu pun syarikat swasta yang memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Menjelaskan mengenai penggunaan akaun PKR untuk tujuan penyaluran wang derma itu, Yahya menjelaskan ia adalah satu-satunya akaun yang sah untuk dimasukkan wang derma berkenaan.

"Pada masa itu kita belum mempunyai akaun Pakatan Rakyat (PR), jadi hanya akaun PKR yang paling sesuai, bagaimanapun tiada sebarang jumlah derma yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

"Saya merasakan isu ini telah berjaya diselesaikan secara dalaman dengan baik kerana tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang dilakukan," katanya lagi.
"Malaysia perlu beralih kepada tenaga suria" Pakar
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengenal pasti sumber tenaga paling menjimatkan dan berkekalan sambil menyusun langkah untuk mengurangkan kebergantungannya terhadap sumber fosil, kata seorang pakar.

Fellow Utama Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Dr Mohamad Yusof Sulaiman berkata ini berdasarkan kepada fakta bahawa rizab minyak negara dijangka hanya mampu bertahan sehingga 22 tahun lagi jika Petronas gagal menemui telaga minyak baru dalam eksplorasinya.

Beliau memberitahu Bernama di sini tenaga suria adalah antara tenaga boleh dibaharui yang lebih selamat, mesra alam dan tidak akan habis seperti sumber tenaga konvensional iaitu minyak dan gas.

Kebanyakan negara maju seperti Jerman, Jepun dan Switzerland telah menggunakan tenaga suria untuk menjana kuasa elektrik.

Melalui teknologi suria fotovoltan (PV), tenaga suria akan diserap oleh sel solar sebelum dijana menjadi kuasa elektrik.

Namun begitu, teknologi suria PV masih mahal (kira-kira RM100,000 bagi satu set) kerana menggunakan silikon (pasir), sebagai komponen utama, yang kini mendapat permintaan tinggi di Eropah dan Amerika bagi membuat komponen elektronik.

"Kita sedang menjalankan kajian untuk menurunkan harga PV dengan menggunakan Kadmium Telluride (bahan kimia yang bertindak sebagai semi-konduktor) menggantikan silikon," kata Mohamad Yusof.

Panel suria yang menghasilkan kuasa eletrik 100 watt dijual pada harga RM5,000 tetapi harga itu akan kurang kepada sekitar RM1,500 jika dibeli secara pukal.
Proton keluar kereta NGV Oktober
Oleh AZMAN IBRAHIM


SHAH ALAM – Proton Holdings Bhd. (Proton) akan mengeluarkan kenderaan berkuasa gas asli (NGV) bagi semua model keluarannya bermula Oktober ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Menurutnya, semua model Proton yang dilengkapi dengan kemudahan NGV itu nanti akan dipasang di kilangnya.

Bagaimanapun katanya, harga untuk model yang menggunakan NGV itu belum diputuskan, tetapi ia dijamin lebih rendah daripada yang ditawarkan syarikat lain.

“Kami sudah berbincang dengan kerajaan dua hari lalu dan bersetuju untuk mengeluarkan kereta NGV pertama negara pada Oktober ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kualiti Kesalahan Sifar Proton di kilang pengeluaran Proton di sini hari ini.

Setakat ini, semua pemilik kenderaan keluaran Proton hanya mempunyai pilihan untuk memasang tangki NGV berdasarkan konsep tenaga yang diperbaharui (RE) dan pengguna tidak mendapat pakej pemasangan lengkap yang lebih murah di kilang.

Syed Zainal Abidin menambah, pemasangan NGV di kilang juga diberi perlindungan oleh Proton selain menawarkan kualiti pemasangan yang lebih baik berbanding syarikat lain.

“Penggunaan NGV sudah diuji di Proton dan kami sentiasa memastikan penggunaannya menepati peraturan, selain dapat memberi kepuasan kepada pelanggan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, kenderaan NGV itu nanti akan dijual di semua pusat jualan dengan harga pakej iaitu kos NGV termasuk dalam harga jualan.

Dengan itu katanya, kos untuk pemasangan tangki NGV lebih murah.

“Jika kita memasang tangki NGV di luar, pelanggan perlu membayar lebih dan tidak dapat menikmati pemotongan bayaran pendahuluan selain ia sebahagian daripada harga jual beli kenderaan Proton,’’ ujarnya.

Ketika ditanya mengenai usaha Proton untuk menembusi teknologi enjin hibrid, Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya masih menimbang perkara tersebut.

Beliau meminta semua pihak memberi sedikit masa kepada Proton bagi memikirkan mengenai penggunaan teknologi berkenaan memandangkan enjin Lotus telah mempamerkan keupayaan tersendiri.

“Lotus terkenal dengan keupayaan enjinnya. Malah, masih terlalu awal untuk kami memikirkan mengenai penggunaan teknologi hibrid di negara ini,’’ katanya.
Bukti akan didedah di mahkamah , kata Raja Petra
siasahdaily


KUALA LUMPUR: Pengendali laman web Malaysia-today.net berkata, beliau akan mendedahkan segala bukti yang dinyatakan dalam akuan berumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu semasa perbicaraan berlangsung kelak.

Bagi beliau, mendedahkan segala bukti yang ada dimahkamah lebih penting dari menjawab segala kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak sekarang.

Raja Petra turut memberikan alasannya yang tidak melaporkan dakwaan terbarunya itu kepada polis.

Beliau berkata tindakannya itu disebabkan laporan yang pernah dibuatnya pada tahun 2002 tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis, bahkan mendakwa dipukul oleh seorang pegawai polis – oleh itu, beliau tidak yakin lagi untuk melaporkannya kepada polis.

Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika ini bertambah hangat dengan akuan berkanun yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin pada 18 Jun 2008 yang lalu.

Dalam akuan tersebut Raja Petra menyatakan;

* Rosmah Mansor isteri Najib merupakan salah seorang daripada tiga individu yang ada di tempat kejadian. Dua orang lagi ialah Leftenan Kolonel Aziz Buyong (pakar letupan C4 – orang yang b ertanggung meletakkan C4 pada tempat-tempat tertentu badan Altantuya, dan isteri Aziz, yang juga pengawal peribadi Rosmah.

* PM Abdullah ada menerima laporan bertulis dari pihak perisikan tentera dan beliau menyerahkan laporan tersebut kepada menantunya untuk disimpan dengan selamat.

* Seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan. Dalam akuan tersebut, nama-nama seperti Rosmah Mansor (isteri TPM), Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Khairy Khairy Jamaluddin disebut dengan jelas. Malah Rosmah dikaitkan secara langsung dalam pembunuhan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan telah mengambil keterangan daripada Khairy Jamaluddin, Rosmah dan dua individu lagi yang dikaitkan dengan kes ini, seperti yang dinyatakan dalam akuan Raja Petra, iaitu seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, pengawal peribadi Rosmah.

Namun akuan bersumpah itu segera dinafikan oleh mereka. Abdullah dengan tegas menyatakan tidak menerima apa-apa laporan bertulis dari pihak perisikan tentera, bahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin turut menafikan ada menyimpan laporan tersebut. Pada masa yang sama Khairy turut menyifatkan akuan berkanun tersebut berniat jahat dan mencemarkan kredibiliti beliau.

perdana menteri Datuk Seri Najib Razak turut menafikan bahawa isterinya Rosmah terbabit dalam pembunuhan Altantuya seperti didakwa oleh Raja Petra Kamarudin pengendali blog Malaysia Kini.

Dalam perkembangan lain, suatu usul tergempar dikemukakan oleh ahli parlimen DAP, bagi membincangkan dakwaan Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu. Lim berkata akuan bersumpah penulis tersebut sesuatu yang serius.

Namun usul tergempar yang diserahkan oleh wakil Ipoh Timur, bagi membincangkan dakwaan yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu ditolak.

Timbalan yang dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul Lim Kit Siang itu dengan alasan subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang sedang berlangsung.
Paksa anak minum racun
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Hadzlihady Hassan


SUBANG JAYA: Bebanan hutang dan tekanan perasaan dikatakan menjadi punca seorang ibu sanggup bertindak di luar batasan dengan cuba membunuh dua anak kandungnya di Seri Kembangan dekat sini, kelmarin.

Dia yang bekerja sebagai jururawat dipercayai memaksa kedua-dua anak perempuannya yang berusia enam dan empat tahun minum racun rumpai selepas mendakwa cecair itu hanya air kosong.

Bagaimanapun, dia hanya sempat memberi racun itu kepada anak yang berusia enam tahun selepas seorang lagi menjerit dan menangis sekuat hati.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis masih menyiasat kejadian itu dan motif wanita berkenaan melakukan perbuatan terbabit. Dia kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita berusia 39 tahun terbabit membawa kedua-dua anaknya itu menaiki kereta sebelum berhenti di tepi jalan.

Namun, katanya, perbuatan wanita itu disedari orang awam yang melihat kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan selepas terdengar jeritan dan tangisan anaknya berusia empat tahun.

Ketika itu, dia sempat memberi anaknya meneguk racun rumpai terbabit.

“Wanita itu panik lalu segera memberhentikan kereta berikutan seorang lagi anaknya menangis selepas melihat keadaan kakaknya.

“Perbuatan itu disedari orang awam yang melalui kawasan itu sebelum polis dimaklumkan.

“Polis yang bergegas ke lokasi kejadian menemui sebuah Proton Wira di tepi jalan sebelum pemeriksaan mendapati ada seorang wanita dan dua kanak-kanak di dalamnya dengan seorang daripadanya kelihatan lemah,” katanya.

Selepas mengesyaki perkara buruk, kata sumber itu, polis menahan wanita itu manakala dua anaknya dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Wanita berkenaan dibawa ke balai polis berhampiran.

Sumber itu berkata, mangsa diberikan racun rumpai ketika berada dalam kereta yang didakwa ibu mereka hanya air kosong.

“Kanak-kanak terbabit yang tidak mengetahui cecair itu racun terus meneguknya sebelum dia menjadi lemah,” katanya.

Difahamkan, hasil siasatan awal, wanita yang mempunyai tiga anak itu memberitahu dia melakukan perbuatan berkenaan kerana mengalami tekanan perasaan dan menanggung hutang yang banyak.

Tinjauan Harian Metro pula di wad kanak-kanak Hospital Serdang mendapati kedua-dua anak wanita berkenaan ditemani seorang wanita dipercayai anggota keluarga mereka.
Kantin tidak dibenarkan naik harga


SEREMBAN - Kementerian Pelajaran tidak bersetuju menyemak untuk menaikkan harga jualan makanan di kantin sekolah-sekolah kerana harga yang ditawarkan ketika ini sebenarnya telah dipersetujui antara pengusaha kantin dan seko- lah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong berkata, semua terma perjanjian kantin sekolah adalah berdasarkan persetujuan yang telah dicapai bagi kedua-dua pihak dan pengusaha perlu akur dengan keadaan itu.

"Pengusaha kantin sekolah perlu akur serta bertimbang rasa kepada murid di sekolah dan tidak menaikkan harga jualan dengan sewenang-wenangnya.

"Bagi tujuan penyemakan ini, pengusaha boleh merujuk semula melalui sebut harga pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pengurusan Kantin Berkualiti Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan di Dewan Seri Kandi, Sekolah Menengah Puteri di sini semalam.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Jaba- tan Pelajaran negeri, Abdullah Mohamad.

Tambah beliau, kenaikan harga barangan jualan makanan di sekolah memberikan kesan langsung kepada murid-murid di sekolah, sekali gus menjadi masalah ibu bapa dan penjaga terutamanya yang berpendapatan rendah.
Peningkatan insentif 600% kepada atlet tidak masuk akal, kata Gerak
Anis Nazri


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Peningkatan insentif sebanyak 600 peratus bagi atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam sukan Olimpik akan datang dilihat sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal.

Demikian ditegaskan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dalam kenyataannya, kepada Harakahdaily, hari ini.

Setiausaha Gerak, Faridah Samad berkata dalam keadaan negara sekarang, peruntukan yang besar perlu lebih terarah kepada perkara-perkara yang dapat membantu meringankan beban rakyat marhaen.

"Kita bimbang sekiranya wujud unsur penyelewengan dan ketidaktelusan dalam menguruskan pemberian insentif ini. Kita juga mahu agar kerajaan lebih telus dan transparen dalam membentangkan peruntukan kewangan pentadbiran memandangkan rakyat kini terbeban dengan kenaikan kos hidup seharian," kata beliau.

Katanya, rakyat sudah pasti tertanya-tanya apakah asas utama dan rasional kenaikan melampau insentif tersebut kerana difahamkan segala kos latihan dan sara diri atlet sepanjang kejohanan berlangsung ditanggung sepenuhnya kerajaan.

Sehubungan itu, Faridah berkata Gerak menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci jumlah insentif tersebut, selain menyemak dan mengkaji semula keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Gerak turut menyeru agar budaya kemewahan yang melampau dan berlebih-lebihan ini dihentikan sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat, di samping menjejaskan ekonomi negara. - mns_

Sabtu, 28 Jun 2008

Rozali yakin pengguna dapat terima kenaikan tarif di Lembah Klang


SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sedang berbincang untuk mengemukakan cadangan kenaikan tarif air di Lembah Klang berikutan peningkatan kos yang dihadapi oleh syarikat pembekal air itu.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata syarikat itu perlu meneliti aspek seperti kenaikan kos barangan dan perkhidmatan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel barubaru ini dan impaknya terhadap harga air, sebelum menghantar cadangan itu kepada Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.

"Kita sedang berbincang dengan semua pihak berkaitan mengenai impak semua kenaikan kos berkaitan seperti bekalan elektrik, kimia dan peralatan, dan sekarang kita juga sedang melihat kepada gaji (kakitangan) dan sebagainya.

"Sekarang ini adalah satu tempoh yang sukar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung kali kedua Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN) oleh Timbalan Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum di sini hari ini.

Ditanya mengenai kadar kenaikan yang dicadangkan itu, Rozali berkata :"Ini saya tak dapat sahkan kerana kami masih berbincang. Belum tahu lagi."

Sebelum ini, akhbar melaporkan pengguna air di Lembah Klang dijangka berhadapan dengan kenaikan sebanyak 37 peratus iaitu RM1.90 bagi setiap meter padu mulai tahun depan.

Pada masa ini, pengguna membayar 57 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama, RM1.03 setiap meter padu bagi 20 meter padu berikutnya dan RM2 bagi penggunaan melebihi 35 meter padu.

Tarif baru itu dijangka berkuatkuasa 1 Jan tahun depan iaitu kali kedua dalam tempoh hampir tiga tahun lepas, selepas tarif air dinaikkan 15 peratus bagi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 1 Nov 2006.

Rozali berkata beliau yakin pengguna dapat menerima kenaikan tarif air kerana semasa Syabas mengambil alih pengurusan air di Selangor lima tahun lepas, industri air di negeri ketika itu berada dalam keadaan teruk.

"Kehilangan air tanpa hasil (NRW) hampir 45 peratus, kami buat pinjaman untuk bayar bil tertunggak RM4.5 bilion, orang ramai curi air. Sepanjang 6,000 km paip asbestos perlu diganti, paip pecah di sana sini.

Kami telah mengeluarkan banyak wang untuk membaiki keadaan, dan saya yakin pengguna faham.

"Dan sekarang, selepas lima tahun, kadar elektrik naik, kos bahan kimia naik dan semuanya naik. Kami harus imbangkan antara masalah yang kami hadapi, kenaikan kos 3040 peratus dan harga yang akan dikenakan kepada pengguna," katanya.
BERNAMA
Pemuda PAS Selangor sangkal Mat Taib
Oleh Ariffuddin Ishak, Mstar


Petaling Jaya: “Itu pandangan naif dari seorang veteran dalam politik,” kata Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sallehen Mukhyi mengenai kenyataan yang diberikan oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berhubung kedudukan Pas Selangor dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sebaliknya Sallehen menasihatkan pemimpin Umno itu memperkukuhkan dahulu kepimpinan dalaman Umno sebelum membuat percaturan mengenai kedudukan Pas.

Beliau berkata demikian kepada mStar Online bagi mengulas mengenai laporan media berhubung kenyataan Muhammad yang tidak menolak kemungkinan Pas Selangor akan keluar dari PR di negeri itu berdasarkan masalah dalaman serta salah faham antara parti-parti yang berkaitan.

“Saya melihat kelantangan kami (Pas) menyuarakan pendapat kepada kerajaan negeri adalah sesuatu yang dinamik.

“Inilah demokrasi yang diamalkan PR kerana semua pihak berhak untuk menyuarakan pandangan yang berbeza,” katanya.

Beliau menyifatkan kebebasan bersuara secara terbuka yang diamalkan PR berupaya memperkukuhkan lagi kepimpinan PR di Selangor.
Mufti tegur pemimpin membazir dan salah guna harta negara
Bashir Ishak


KANGAR (Hrkh) - Mufti kerajaan negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menegur sikap golongan yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan terpaksa ditanggung oleh rakyat bawahan.

"Negeri ini barangkali akan menghadapi pilihan rya kecil tak lama lagi, janganlah sekali lagi kita jadi tengelam dalam hal ini. Ambillah pengajaran wahai orang-orang politik.

"Sesungguhnya ketakburan, kesombongan dan penyalahgunaan kuasa akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat dan akhirnya akan menimbulkan keresahan yang berpanjangan," katanya ketika berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengah hari tadi.

Menyentuh tentang bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga minyak, beliau menegur tentang pembaziran dan penyalahgunaan harta negara memandangkan negara ini adalah sebuah negara yang kaya dengan hasilnya.

"Hari ini rakyat semua terpaksa menanggung kesusahan akibat kenaikan harga minyak dunia dan di negara ini pada hal negara ini adalah sebuah negara yang kaya dan negara pengeluar minyak.

"Tetapi hasil pemborosan dan pembaziran serta salah guna harta negara, maka negara yang kaya menjadi susah dan yang susah itu bukan sahaja mereka yang memegang kuasa, dukacitanya ianya membabitkan rakyat berbagai peringkat.

"Tidak hairanlah bila Allah menyamakan pembazir ini dengan saudara syaitan. Maka syaitan bersama orang yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan ditanggung orang dibawah.

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan," katanya memetik ayat 27 dari Surah Al-Isra'.

Selain itu dalam khutbahya beliau terus menggesa agar pemimpin-pemimpin politik umat Islam di negara ini duduk semeja berbincang tentang kepentingan dan masa depan umat Islam di dalam negara ini melebihi kepentingan politik masing-masing.

"Dalam banyak hal, orang-orang politik di negara ini lebih memikirkan masa depan politiknya lebih daripada masa depan umat Islam. Sebahagian mereka telah mewakafkan sebahagian hidupnya untuk politik tanpa memikirkan benar ataupun salah. Sehingga meminggirkan prinsip-prinsip, ajaran Allah s.w.t dalam al-Quran dan as-Sunnah.

"Kita tak suruh mereka bubarkan parti dan leburkan cita-ciata perjuangan mereka jika benar, tapi ada perkara-perkara tentang Islam yang tak boleh ditinggalkan. Malangnya ada ahli politik yang lebih pentingkan parti dan survival politiknya daripada masa depan umat Islam," kata beliau.

Menurutnya, pemimpin politik umat Islam di negara ini perlu duduk berbincang agar memastikan segala perbezaan pendapat, perbalahan dan pergeseran ini tidak akan merosakkan masa depan umat Islam dan jika dibiarkan nanti pihak lain akan mengambil kesempatan.

"Tak bolehkah mereka duduk berbincang tentang 30 atau 40 perkara dan jika hanya 5 atau 10 perkara sahaja yang dipersetujui, itu sangatlah baik.

"Pilihan raya dah berlalu dan sudah menunaikan hasrat rakyat dengan golongan yang sombong dan takabur telah dihukum. Tetapi manusia tak akan hidup dalam proses hukuman semata-mata, tapi mesti kepada proses perubahan dan perubahan ini memerlukan kekuatan umat," serunya lagi. - mns _
"Ayuh bersatu singkir pemimpin yang bawa celaka" Mahathir
Oleh Darwis Said


Kuala Lumpur : Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi mengulangi gesaannya kepada anggota Umno supaya bersatu dan 'menyingkir pemimpin yang telah bawa kecelakaan kepada parti dan negara'.

Gesaan itu seolah-olah ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sambil merujuk kepada prestasi Umno yang mengecewakan dalam pilihan raya Mac lalu.

Ini sedang cawangan-cawangan Umno di seluruh Malaysia bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pemimpinnya tidak lama lagi.

'Umno hari ini tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air.

'Ia berjuang untuk pengekalan kuasa dan kesejahteraan Presidennya. Perpaduan yang dituntut hanya untuk menyokong Presiden,' kata Dr Mahathir.

'Ini baik jika Presiden dapat membawa parti dan negara ke arah kejayaan dan kebaikan.
Tetapi apa yang dilihat ialah keburukan dan kehinaan bagi parti dan negara.

'Dibawah kepimpinan Presiden ini Umno dan Barisan Nasional (BN) telah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008,' tambahnya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ulasan terbarunya dalam bahasa Melayu, yang diisarkan di blognya, www.chedet.com, semalam dengan tajuk 'Perpaduan'.

Menurutnya, perpaduan dalam Umno 'sudah berkecai', parti-parti komponennya juga kalah di Semenanjung Malaysia dan Umno tidak lagi dianggap relevan di kalangan generasi muda di negara itu.

'Negara Malaysia tidak lagi dianggap sebagai negara contoh oleh negara-negara membangun lain. Wilayah milik negara telah terlepas ke tangan negara kecil di selatan... Ekonomi negara kucar-kacir sehingga pelabur Malaysia pun tidak ingin melabur di Malaysia,' kata beliau.

'Jika kita harus ada perpaduan, ianya hendaklah dengan tujuan memulih semula maruah dan kejayaan bangsa dan negara. Tidak ada sebab yang kepimpinan yang ada sekarang harus diperkuatkan dengan perpaduan di belakangnya,' tegasnya.
Empat tonggak Pemuda MIC Kedah letak jawatan


KULIM: Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar dan tiga lagi pegawai kanan pergerakan itu di negeri itu meletak jawatan hari ini kerana membantah tindakan parti itu mengarahkan Ketua Pemuda pusat MIC S.A Vigneswaran supaya berundur.

Setiausaha Pemuda MIC Kedah, T.M Ganesan, Bendahari, M.Selvan dan Ketua Penerangan, S.Somasunther turut mengumumkan keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak berpuas hati bahawa Vigneswaran diarah berundur kerana faktor usianya yang sudah menjangkau 41 tahun walaupun tempoh perkhidmatannya hanya berakhir pada 2009.

Bercakap pada satu sidang akhbar di sini, Nantha Kumar, 39, juga meminta Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu meletak jawatan memandangkan kekalahan di kawasan Parlimen Sungai Siput dalam pilihan raya umum Mac lepas merupakan satu petunjuk bahawa sudah sampai masanya bagi Samy Vellu menyerahkan kepimpinan parti kepada pemimpin pelapis.

"Jika sebelum ini Presiden MIC itu marah kerana pembangkang sahaja yang meminta beliau mengundurkan diri tetapi kini, saya dan rakan-rakan saya dari Pemuda MIC Kedah menyeru Datuk Seri Samy Vellu supaya meletak jawatan dengan kadar segera," katanya.

Nantha Kumar berkata beliau sedia menghadapi risiko dikenakan tindakan kelak.

Katanya langkah kepimpinan MIC meminta Vigneswaran meletak jawatan adalah satu penghinaan kepada semua perwakilan yang telah memberi mandat kepada Ketua Pemuda MIC itu memimpin pergerakan itu dari 2006 hingga 2009.

"Lebih memalukan lagi adalah kerana pengumuman kemenangan Vigneswaran ketika itu telah dilakukan Datuk Seri Samy Vellu sendiri selaku Presiden MIC pada persidangan kebangsaan MIC 2006 lalu," katanya.

Nantha Kumar berkata beliau menjangkakan pemimpin muda di peringkat bahagian MIC akan turut mengambil tindakan meletak jawatan selepas ini.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap badan perhubungan MIC Kedah kerana memberi laporan tidak tepat kepada Presiden MIC bahawa sebilangan besar Bahagian Pemuda MIC Kedah menyokong penuh kepimpinan Samy Vellu.

Setiausaha Agung MIC Datuk S.Subramaniam dilaporkan berkata pada 19 Jun lepas bahawa Vigneswaran dan beberapa pemimpin pemuda parti itu perlu segera meletak jawatan kerana umur masing-masing melebihi 40 tahun.

Vigneswaran bagaimanapun mempertikai takrif umur itu yang dibuat oleh parti.
BERNAMA
Guan Eng vs Azizan
Roslan SMS


Isunya mudah. Kedah perlukan hasil untuk menguruskan negerinya. Kedah bukan seperti Pulau Pinang, Perak atau Selangor yang rata-rata berupaya berdiri di atas kaki sendiri serta memiliki "reserve" kewangan. Kerajaan Persekutuan telah berjanji akan membayar kerajaan negeri RM100 juta setahun kerana memelihara kawasan tadahan airnya di sekitar kawasan hutan simpan Ulu Muda. Malangnya sejak dari BN berkuasa dahulu khabarnya hanya sekali bayaran itu dibuat ketika Syed Razak menjadi MB dan sejak itu tiada bayaran lagi yang dibuat.

Lalu kerajaan negeri setelah membuat kajian dan mendengar pandangan dari pakar-pakarnya memutuskan untuk melakukan proses pembalakan di sebahagian kawasan berkenaan dengan impak paling minima ke atas alam sekitar.

Saya percaya rakyat negeri Kedah dibelakang keputusan kerajaan negeri memandangkan kemelut yang ditanggung oleh kerajaan kerana mewarisi kerajaan dari BN. MB ustaz Azizan di dalam akhbar NST hari ini dipetikn sebagai berkata:

Why is everone so kalut (panicky)?

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah antara orang pertama mengeluarkan kenyataan membantah keputusan kerajaan negeri Kedah itu. Alasannya sumber air Pulau Pinang datangnya dari kawasan berkenaan dan beliau bimbang ianya akan terjejas. Dalam kenyataannya semalam Guan Eng melemparkan pelbagai tuduhan dan kenyataan keras terhadap Azizan termasuklah bahawa kerajaan BN dahulu pun tidak berani melakukannya kerana bimbang kepada sentimen rakyat, tetapi Ustaz Azizan sanggup. Selain itu Guan Eng turut mendakwa Azizan telah bersetuju menyerahkan konsesi balak di kawasan berkenaan kepada sebuah syrikat yang mempunyai hubungan baik dengan BN.

Menurut laporan beliau berkata:

Tidak sangka kerajaan Kedah sanggup bekerjasama dengan syarikat pembalakan dari Sarawak sedangkan dari segi politik mereka adalah mush.

Berhubung hal itu Azizan berkata:

Tidak salahnya walaupun syarikat pembalakan itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan BN. Malah kebanyakan syarikat di negara ini baik dengan BN.

Berbalik kepada isu utama, semua pihak perlu menyedari keadaan yang sedang dialami kerajaan Kedah, apakah Pulau Pinang atau negeri-negeri lain sanggup membantu dengan menghulurkan RM100 juta setahun sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan kepada Kedah itu bagi meringankan beban mereka?

Saya melihat kritikan secara terbuka oleh pemimpin kerajaan negeri Pakatan terhadap pemimpin Pakatan di negeri lain seumpama ini sesuatu yang tidak sihat, sebagaimana diulas oleh penganalisa politik Khoo Kay Peng dalam runagannya di akhbar The Star:

Pakatan Rakyat must develop a harmonious internal decision making process
(PR perlu membentuk satu proses membuat keputusan dalaman yang harmoni)

Masing-masing negeri memiliki hak untuk menentukan sesuatu yang baik untuk negeri dan rakyat mereka. Mengkritik secara terbuka apalagi mempertikaikan keputusan dan membangkitkan syak wasangka yang negatif hanya akan mengeruhkan hubungan sesama Pakatan. Saya hairan bagaimana Guan Eng boleh memperlekehkan keputusan Azizan itu dengan menyatakan yang keputusan yang diambil itu: "....is the result of lack of advice (keputusan dibuat hasil dari kekurangan nasihat).

Dari BN terus mengeksploitasi isu ini, lebih baik Guan Eng memohon maaf kepada Azizan dan pihak tertinggi Pakatan perlu segera memikirkan garispanduan hubungan dan kerjasama sesama kerajaan negeri agar perkara yang malang seumpama ini jangan berulang lagi.
KDEB: Adik Anwar letak jawatan secara mengejut
Oleh Malaysiakini


AHLI keluarga terdekat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan jawatannya secara mengejut daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat besar milik kerajaan Selangor, semalam.

Saudara kandung Anwar, yang tidak dinamakan, menyerahkan surat meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam, kata sumber-sumber PKR.

Tindakan adiknya dibuat setelah ditegur oleh penasihat PKR itu bagi mengelakkan tugasnya di syarikat itu "mencemarkan imej" beliau dan parti, kata mereka.

Sumber-sumber itu memberitahu Malaysiakini hari ini, Anwar tidak tahu-menahu mengenai pelantikan adiknya itu sehinggalah beberapa hari lalu.

Selain memaksa adiknya meninggalkan tugasnya di KDEB, menurut sumber-sumber lagi, Anwar juga memaklumkan perkara itu kepada menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka bagaimanapun tidak mengetahui jawatan atau tugas sebenar adik Anwar di syarikat senaraian awam itu.

"Beliau diambil bekerja dan tidak salah untuk bekerja (di KDEB) tetapi Anwar tidak mahu ia merosakkan imej parti," kata sumber-sumber sewaktu diminta mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas setiausaha politik Anwar itu berkata pelantikan saudara kandung mantan timbalan perdana menteri itu dibuat "beberapa minggu, bulan lalu".

"Apakah betul ada ahli keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat KDEB?
"Saya mahu penjelasan mereka sebelum saya membuat kenyataan lanjut," kata bekas ketua Angkatan Muda PKR itu kepada media selepas ceramah 'Sirih Pulang ke Gagang' di Sungai Besi malam tadi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar.

Difahamkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat lembaga pengarah dan kemungkinan mengambil masa yang panjang.

Jumaat, 27 Jun 2008

Kerajaan tidak bercadang tukar Pengerusi SPR


KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang cadangan mengenai calon untuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas perkhidmatannya tamat hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat bila tiba masanya nanti.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menimbang pelantikan seorang hakim dalam perkhidmatan menjadi Pengerusi SPR selepas persaraan Abdul Rashid nanti.

Abdul Rashid yang bersara wajib pada 31 Disember lalu disambung perkhidmatannya selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 bagi membolehkan umur persaraan anggota SPR dilanjutkan daripada 65 kepada 66 tahun Disember lepas.

Beliau yang menyambut ulang tahun ke-65 pada 31 Disember lalu telah memegang jawatan pengerusi SPR sejak 2000.

Sebelum itu beliau bertugas sebagai Setiausaha SPR dan berpengalaman menguruskan tujuh pilihan raya umum. BERNAMA
PKR Selangor tekad sokong Khalid selesai kemelut - Anwar


KUALA LUMPUR: Kemelut kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor menurut Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah selesai dengan parti itu menyatakan sokongan kepada beliau dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar sendiri telah menghadiri mesyuarat khas tersebut yang diadakan malam tadi.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali dan Naib Presiden Azmin Ali serta Khalid sendiri hadir.

"Alhamdulillah mesyuarat berakhir dengan muafakat menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid di Selangor, menghargai jasa dan khidmat Mohd Yahya Mat Sahri (bekas pegawai tugas-tugas Menteri Besar).

Kata Anwar, sementara pihaknya maklum keperluan Yahya Sahri membersihkan namanya, sumbangan beliau kepada PKR khususnya di Selangor masih diperlukan.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas Anwar pulang dari menunaikan umrah petang semalam.

Kelmarin beliau dikatakan mengadakan pertemuan berasingan dengan Khalid dan Yahya Sahri.

Selain itu, kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid.

“Tidak dinafikan bukan hanya masalah pengagihan jawatan yang dipertikaikan, tetapi mereka mahu kebajikan ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Bahron kelmarin.

Dalam pada itu, Yahya Shari berkata, Khalid menggantung jawatannya tanpa mengikut prosedur.

Yahya ketika dihubungi mStar Online berkata bekas, ketuanya itu sepatutnya merujuk kes beliau kepada Jawatankuasa Khas kerajaan negeri sebelum apa-apa tindakan diambil.

“MB tidak boleh menggantung tugas saya begitu sahaja. Dia perlu rujuk jawatankuasa dulu sebelum buat tindakan,” katanya.

Bagaimanapun Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam memutuskan agar isu tersebut diselesaikan secara berhemah setelah mendengar penjelasan Yahya dan Khalid.

Yahya sendiri menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Anwar yang mempengerusikan mesyuarat itu menasihatkan agar Yahya Shari dan Khalid menyelesaikan masalah yang timbul secara aman tanpa perlu melibatkan pihak media.

“Datuk Seri minta masalah ini diselesaikan dengan bijak. Oleh itu saya akur dan berjanji akan terus berkhidmat untuk kepentingan parti,” katanya.

Yahya menjelaskan, keputusannya meletakkan jawatan kerajaan negeri adalah muktamad tetapi beliau masih memegang jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR.

“Sekarang saya akan menumpukan kepada tugas-tugas untuk memperkukuhkan parti. Walau apa jua yang berlaku, parti akan tetap diutamakan,” katanya.
Ahli Parlimen BN marah Nazri hina mereka


KUALA LUMPUR: Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana melabelkan anggotanya yang mengalihkan sekatan terhadap wartawan di lobi Parlimen pada Selasa sebagai "kebudak-budakan dan dari kelab samseng".

Pengerusi BNBCC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, wakil rakyat BN merasa terhina dianggap sedemikian sedangkan apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.

"Setelah kami gagal mendapat penjelasan (mengenai arahan sekatan itu) daripada Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia), jawatankuasa peraturan Parlimen dan menteri itu sendiri, kami merasakan sekatan itu perlu dialihkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Dua hari lepas, Nazri mengutuk perbuatan beberapa Anggota Parlimen daripada BN yang mengalihkan sekatan itu di kawasan lobi Parlimen tempat sidang akhbar diadakan, sambil menyifatkan mereka sebagai "kebudak-budakan dan dari kelab samseng".

Tiong berkata, tidak wajar bagi Nazri menganggap Anggota Parlimen sebagai samseng dan budak-budak kerana mereka merupakan wakil rakyat.

Katanya, BNBCC akan berbincang Isnin ini mengenai tindakan yang akan diambil seterusnya kerana mereka melihat kenyataan Nazri itu "melampau".

Naib Pengerusi BNBCC, Datuk Bung Moktar Radin pula berkata, isu sekatan terhadap wartawan itu turut dibangkitkan oleh wakil rakyat BN dan bukan hanya oleh wakil pembangkang.

"Pada masa rehat waktu makan tengah hari, kami pergi berjumpa Tan Sri Speaker, dan memandangkan tidak ada keputusan, barulah kami bertindak mengalihkan sekatan itu," katanya.

Ekoran bantahan oleh wakil-wakil media, pihak pentadbiran Parlimen semalam membenarkan mereka berada semula di situ. BERNAMA
Penjenamaan semula BN


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan empat jawatankuasa khas memperkasa Barisan Nasional (BN) termasuk merangka strategi bagi penjenamaan semula parti pasca Pilihan Raya Umum ke-12.

Perdana Menteri berkata, penubuhan kesemua jawatankuasa itu juga adalah sejajar dengan usaha penting untuk mempertingkatkan hubungan antara parti-parti komponen.

Kata beliau, empat jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Kerangka Penyelidikan Untuk Penjemaan Semula BN yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusuh, Jawatankuasa Memperkasa Pentadbiran BN oleh Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Dua lagi jawatankuasa katanya, ialah Penjenamaan Semula dan Sistem Penyampaian Khidmat Awam yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong dan Jawatankuasa Pengaruh Media dan Penghakisan Jenama BN oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nasar.

"Wakil daripada Pergerakan Wanita dan Pemuda akan menyertai setiap kumpulan (jawatankuasa) dan ahli setiap kumpulan boleh ditambah ikut kesesuaian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, penubuhan empat jawatankuasa itu adalah perkara penting yang diputuskan untuk memperkukuhkan parti.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat kali ini turut memberi perhatian terhadap isu-isu dan perkara yang dibangkitkan tentang pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama berkaitan pembentangan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Dalam perbincangan tadi, saya dimaklumkan usaha-usaha akan diteruskan untuk tingkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak di mana pembangunan di kawasan-kawasan pedalaman diberikan perhatian," katanya.

Tambah beliau, Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan sebuah mesyuarat khas untuk mempertimbangkan beberapa perkara bagi meningkatkan penyertaan dan status pembangunan kaum India di negara ini.

"Datuk Seri Samy Vellu (Presiden MIC) akan turut hadir (dalam mesyuarat berkenaan) mewakili kaum India," katanya.

Katanya, Najib yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Menangani PATI akan memanggil mesyuarat pemimpin parti komponen BN Sabah dan Sarawak bagi merangka strategi menangani masalah itu.
Khalid mula bersihkan Selangor.


Setelah menamatkan khidmat Pengarah MuzIum Selangor, kini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghunus pedang pemutus sekali lagi.

Kali ini pancungannya keras dan tuntas sekali.

Dalam mesyuarat Lembaga Universiti yang diadakan lewat petang Khamis Naib Canselor Unisel, Prof. Dato’ Dr. Razali Agus diberitakan diberikan notis berhenti 24 jam.

Serentak itu, Timbalan Naib Canselor, Pro. Dr. Rustam Abbas juga ditamatkan tempuh pinjaman dan dikembalikan semula ke UiTM.

Prof. Razali Agus mula berkhidmat dengan Unisel sejak Bulan Ogos 2007. Tokoh ini terkenal dengan penglibatannya dengan UMNO dan merupakan sangat kontroversi ketika menjadi TNC Universiti Malaya.

Mengikut sumber Unisel, Razali sebenarnya tidak diserapkan ke jawatan hakiki dan dalam tempuh ke dua percubaan.

Bagaimanapun sumber lain mengatakan bahawa Razali telah didapati menulis sepucuk surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Khaled Nordin mengatakan bahawa dia tidak selesa dengan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau adalah pengerusi PEMANTAU yang berperanan besar menjatuhkan Khalid semasa Pilihanraya Kecil Ijuk 2007. Khalid menebus kekalahannya pada PRU 12 yang lalu, sekaligus dilantik menjadi Menteri Besar Kerajaan Campuran Pakatan Rakyat Selangor.

Sementara itu Dr Rustam dikembalikan ke Uitm atas alasan siasatan BPR. Beberapa pihak yang ditemui tertanya-tanya samada BPR sudah mengemukakan pertuduhan atau tidak terhadap Rustam.

Dalam perkembangan yang sama beberapa pegawai di Universiti ini yang dikaitkan dengan UMNO juga diberitakan kepanasan dengan tamatnya dahan pergantungan, Razali Agus.

Mengikut laporan sumber dalaman Unisel, Razali mengujudkan kumpulan-kumpulan UMNO di Unisel.

Mereka beritakan ada di semua jabatan seperti Jabatan Pendaftar, Bendahari, Perpustakaan, Korporat, Komunikasi Korporat, HEP, dan Sumber Manusia sebagai cara untuk mengawasi suara-suara PR di Unisel.

Dengan ini, proses pembersihan pengaruh UMNO sudah bermula di Selangor.
Rebat tunai fasa kedua dilaksana 1 Julai


KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan persendirian, khususnya yang memperbaharui cukai jalan mulai 1 Jun lepas, boleh menuntut rebat tunai bahan api dalam fasa kedua pengagihan rebat tunai Pos Malaysia Berhad (PMB) yang dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Ketua Operasi PosNiaga, Atikah Ramli berkata, kesemua pemilik yang layak mendapatkan rebat itu mempunyai pilihan sama ada datang sendiri ke pejabat pos atau melantik wakil bagi pihak mereka.

Katanya, pemilik kenderaan yang mahu menuntut sendiri rebat berkenaan perlu mengisi borang Pos Akaun 1 dan membawa kad pengenalan atau kad polis/tentera bersama borang tuntutan untuk pengesahan di pejabat pos.

Bagi pemilik yang ingin melantik wakil, mereka dikehendaki mengisi maklumat pemilik kenderaan termasuk nombor telefon dengan jelas pada borang Pos Akaun 1.

"Selain membawa bersama kad pengenalan atau kad polis/tentera, mereka dikehendaki mengoyak bahagian bawah borang (Bahagian C) sebagai rujukan sebelum memasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai pembayaran rebat tunai kenderaan persendirian di sini hari ini.

Subsidi tunai RM625 diberikan kepada pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc; dan RM150 kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc yang memperharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dari tarikh 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembayaran rebat tunai subsidi petrol dan diesel kini diperluas kepada pemilik kenderaan persendirian dengan enjin berkapasiti sehingga 3,000cc di Sabah dan Sarawak.

Selain menggunakan satu jenis bahan bakar sama ada petrol atau diesel, rebat tunai adalah terhad kepada lima kenderaan sahaja mengikut spesifikasi enjin.

Menurut Atikah, pemilik yang tidak layak untuk menerima rebat tunai itu akan dihubungi PMB manakala kiriman wang akan dihantar kepada pemilik yang layak dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Mengulas mengenai pemilik kenderaan yang menetap di luar negara, beliau memberitahu, mereka perlu melalui prosedur sama.

"Bagi pemilik (kenderaan) di luar negara, mereka perlu memiliki akaun bank di dalam negara bagi membolehkan rebet tersebut dipindah masuk ke dalam akaun. PMB menerima semua jenis bank untuk tujuan ini," katanya.

Sementara itu, semasa berucap Pemangku Pengarah Urusan PMb, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pengagihan fasa pertama yang bermula pada 12 Jun lepas berjalan lancar.

"Sehingga semalam, sebanyak RM528.3 juta rebet tunai telah diagihkan kepada 1.2 juta pemilik, dan jumlah ini adalah 68 peratus daripada jumlah pemilik kenderaan persendirian yang layak menerima rebet tunai bagi fasa pertama," katanya.

Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian fasa pertama masih belum menuntut rebat tunai mereka, kata beliau. BERNAMA
Harga minyak dijangka meningkat AS$170 setong


PARIS - Harga minyak mentah dunia dijangka meningkat antara AS$150 (RM487.50) hingga AS$170 (RM552.50) setong musim panas ini, kata Presiden Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC), Chakib Khelil.

Beliau dipetik sebagai berkata demikian ketika ditemu bual stesen televisyen Perancis hari ini.

Tambahnya, segalanya bergantung kepada polisi Bank Pusat Eropah terhadap mata wang euro serta sama ada Barat akan memberikan tekanan kepada pengeluar minyak Iran berhubung krisis nuklear negara itu.

''Saya melihat harga minyak kemungkinan berada pada paras antara AS$150 (RM487.50) dan AS$170 (RM552.50) pada musim panas ini, namun ia dijangka akan turun menjelang akhir tahun ini,'' katanya.

Harga minyak mentah berkualiti tinggi Light Sweet bagi penghantaran Ogos, di paras AS$135.10 (RM439.07) setong dalam dagangan elektronik di New York Mercantile Exchange pada tengah hari ini di Eropah.

Ketika ditanya, sekiranya harga minyak mentah akan mencecah paras AS$200 (RM650) setong, beliau menolak kemungkinan itu.- AP