Peningkatan insentif 600% kepada atlet tidak masuk akal, kata Gerak
Anis Nazri
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Peningkatan insentif sebanyak 600 peratus bagi atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam sukan Olimpik akan datang dilihat sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal.
Demikian ditegaskan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dalam kenyataannya, kepada Harakahdaily, hari ini.
Setiausaha Gerak, Faridah Samad berkata dalam keadaan negara sekarang, peruntukan yang besar perlu lebih terarah kepada perkara-perkara yang dapat membantu meringankan beban rakyat marhaen.
"Kita bimbang sekiranya wujud unsur penyelewengan dan ketidaktelusan dalam menguruskan pemberian insentif ini. Kita juga mahu agar kerajaan lebih telus dan transparen dalam membentangkan peruntukan kewangan pentadbiran memandangkan rakyat kini terbeban dengan kenaikan kos hidup seharian," kata beliau.
Katanya, rakyat sudah pasti tertanya-tanya apakah asas utama dan rasional kenaikan melampau insentif tersebut kerana difahamkan segala kos latihan dan sara diri atlet sepanjang kejohanan berlangsung ditanggung sepenuhnya kerajaan.
Sehubungan itu, Faridah berkata Gerak menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci jumlah insentif tersebut, selain menyemak dan mengkaji semula keputusan tersebut.
Dalam pada itu, Gerak turut menyeru agar budaya kemewahan yang melampau dan berlebih-lebihan ini dihentikan sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat, di samping menjejaskan ekonomi negara. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan